Mikel Arteta Buru Pemain Kreatif, Adakah Mesut Ozil Tidak Cukup Kreatif?

skysports-mesut-ozil-arsenal_2020

Mungkin musim ini pengakhiran kepada karier Mesut Ozil di Arsenal. Pengendali, Mikel Arteta berkata yang beliau kini sedang memburu pemain tengah yang kreatif.

Adakah Ozil tidak kreatif? Tentunya bekas pemain skuad kebangsaan Jerman ini adalah seorang pemain tengah yang kreatif dan memiliki skil mengelecek yang baik. Malah, beliau pernah digelar ‘Raja Assist’ oleh pihak media kerana sumbangannya.

Contoh pemain terburuk di dunia?

Jadi apakah permasalahannya di Arsenal ketika ini? Beliau masih belum diberikan sebarang minit permainan oleh Arteta sejak liga kembali bersambung. Dan, dengan kontrak berbaki setahun lagi, mungkin beliau prospek untuk dijual musim ini.

Jika Arsenal masih berlengah, pemain yang dikatakan bergaji paling tinggi di Arsenal ini – £350 ribu seminggu – mungkin akan didapati oleh pasukan lain secara percuma menjelang bulan Januari hadapan. Pastinya mereka tidak mahu itu berlaku.

Bekas pemain Arsenal, Paul Merson sebelum ini pernah berkata yang Ozil adalah contoh pemain tengah terburuk di dunia jika bola tidak berada di kakinya. “Dia sangat tidak sesuai untuk bermain bersama Arsenal yang ada sekarang ini,” ujarnya.

“Dia langsung tidak membuat track back, tidak mengejar pemain lawan, dan anda hanya perlukannya ketika pasukan memiliki penguasaan bola lebih 70 peratus dan ketika itu barulah beliau boleh bermain,” jelas Paul Merson lagi mengenai Ozil.

Masalah sikap

Perkara yang sama ditekankan oleh lagenda Arsenal, Ian Wright apabila dipersoalkan tentang Ozil. Sikap malas pemain itu untuk bertahan mungkin menyebabkan kariernya di Arsenal akan berakhir kerana Arteta menyukai pemain yang rajin dan intensif.

“Saya rasa dia sudah ‘tiada’ lagi di Arsenal. Ini semua mengenai sikap. Masalahnya adalah ketika anda melihat Dani Ceballos, dia juga mempunyai masalah sikap, namun Mikel berjaya memperbetulkan pemain itu,” jelas Ian Wright lagi.

Arteta adalah pengendali yang menggemari pemain yang bekerja keras dalam latihan dan juga perlawanan. Ia dibuktikan apabila kita melihat komennya mengenai bek kiri, Kieran Tierney yang kini merupakan tonggak utama The Gunners sejak restart.

“Dia [Tierney] adalah antara perkara positif sejak saya menyertai pasukan. Mengenali dan melihat karekternya dan juga melihatnya berlatih serta memaksa dirinya untuk menjadi yang terbaik, adalah perkara yang kita perlukan saat ini,” ujar Arteta.

Nama Ozil tidak disebut

“Dia adalah seorang pemain yang saya suka dan saya sangat-sangat gembira dengannya. Dia telah melalui kesukaran ketika mula bersama pasukan, tetapi kini dia lebih gembira dan telah menyesuaikan diri,” tegas pengendali asal Sepanyol itu.

Bercakap kepada Sky Sport mengenai posisi yang akan diperbaikinya, Arteta tanpa berselindung menyatakan ianya adalah pemain tengah yang kreatif, “Lihat semula pemain yang kita miliki di posisi tersebut pada musim-musim terdahulu.”

“Anda akan dapat melihat kelibat Cazorla, kemudian Rosicky, kemudian [Andrey] Arshavin – ketika bermain di posisi itu, seterusnya [Aaron] Ramsey yang pernah bermain di situ, dan [Henrikh] Mkhitaryan – ketika dia menyertai pasukan.

“Malah Jack Wilshere juga pernah bermain di posisi itu sebelum ini. Kita perlu memperbaharui kitaran pemain untuk posisi itu, kerana mereka tidak lagi ada bersama pasukan,” jelas Arteta membayangkan Ozil tiada dalam perancangannya.

Sudah ada pengganti

Yang menjadi persoalan kini adalah, siapakah pemain yang sesuai dengan peranan nombor 10 di Emirates ketika ini? Yang disebut sedang diburu adalah pemain tengah bertahan, Thomas Partey, yang jelas bukan pemain untuk hub kreatif.

Menurut laporan Mirror, pengendali berusia 38 tahun itu sudah menemui pemain yang mampu mengisi kekosongan yang akan ditinggalkan Ozil. Dan, ianya bukanlah pemain luar melainkan prospek masa depan mereka yang telah menarik perhatiannya.

Pemain muda yang dipinjamkan ke kelab Championship, Huddersfield, Emile Smith Rowe dikatakan kini berada dalam perancangannya untuk saingan musim hadapan. Umum mengetahui, Arteta suka mengetengahkan pemain-pemain muda.

“Dia [Smith Rowe] adalah seorang pemain yang memiliki kebolehan spesifik untuk posisi tersebut, pemain tengah menyerang. Saya rasa, dia akan berada di tempat yang sesuai apabila kembali untuk sesi pra-musim nanti,” ujar Arteta lagi.

Penutup

Nampaknya, Ozil perlulah mencari pasukan baharu untuk musim hadapan jika masih berminat untuk beraksi di padang. Jika tidak, beliau akan terus dibekukan di bangku simpanan dan terus menanti pasukan yang mahukan khidmat ‘payung’nya.

Atau, masihkah ada masa untuk Ozil berubah? Yang pasti, sukar untuk dia mengubah gaya permainannya dengan usianya kini sudah menjangkau 31 tahun dan Arsenal tidak akan mengubah sistem mereka untuk sesuaikan dengan permainannya.

KREDIT FEATURED IMAGE: SKY SPORT

Baca lagi artikel mengenai Mesut Ozil dan Arsenal:

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram