Mikel Arteta: Arsenal Miliki Masa Depan Yang Cerah

Kerjasama Semuanya BOLA

Arteta Arsenal

Pengurus Arsenal, Mikel Arteta tanpa berselindung mengakui beliau gembira melihat perkembangan yang ditunjukkan skuad kendaliannya selepas hampir setahun membimbing kelab tersebut.

Arteta yang beraksi selama lima musim bersama Arsenal dan seterusnya mengumumkan persaraan daripada kancah bola sepak profesional telah dilantik sebagai pengurus The Gunners pada 20 Disember 2019 bagi menggantikan pengendali terdahulu, Unai Emery.

Cabaran besar dihadapinya kerana beliau masih belum memiliki sebarang pengalaman bergelar pengurus pasukan. Arteta bagaimanapun beruntung kerana sebelum itu beliau menjadi pembantu kepada pengurus Manchester City, Pep Guardiola.

Selepas hampir setahun, Arteta mengakui Arsenal memiliki masa depan yang cukup cerah tetapi memerlukan kerja keras untuk memastikan kelab London tersebut dapat merakamkan lebih banyak kemenangan.

”Terdapat banyak perkara yang perlu dilakukan, dalam jangka masa pendek dan sederhana,” ujar Arteta menurut laporan Goal.

”Kami telah melihat banyak perubahan berlaku tidak hanya di atas padang tetapi struktur kelab ini juga telah banyak berubah. Keadaan yang benar-benar sukar, ia menjadi waktu yang mencabar dalam tiga atau empat bulan terakhir ini, banyak perkara telah berlaku.”

”Kami perlu untuk menyelesaikannya dan semua orang perlu sedar di mana kami berada pada ketika ini tetapi saya melihat masa depan yang sangat cerah di sini.”

”Saya merupakan seorang yang sangat positif dan saya cenderung untuk lebih banyak belajar apabila sesuatu perkara itu tidak berjalan dengan baik dan kami telah mengalami kekalahan seperti tempoh hari [bertemu Aston Villa] yang mana sangat menyakitkan selepas persembahan yang kami tunjukkan di Old Trafford [menumpaskan Manchester United].”

”Kami harus memahami apa yang telah berlaku, untuk menjadi sangat-sangat kritikal dengan diri saya sendiri dan cuba memahami pemain saya dengan baik dan memberikan mereka lebih banyak jalan penyelesaian untuk memenangi lebih banyak perlawanan,” tambah Arteta lagi.

Arsenal yang ketika ini menghuni tangga ke-11 dengan 12 mata akan berkunjung ke Elland Road pada awal pagi Isnin depan untuk aksi kesembilan kempen Liga Perdana Inggeris 2020/21.

Kredit featured image: Stuart MacFarlane/Arsenal FC via Getty Images

Baca artikel lain dari kami mengenai Mikel Arteta:

Statistik Tunjukkan Perbezaan Arteta Dengan Emery Selepas 38 Perlawanan

Mikel Arteta Dedah Kegagalan Pertamanya Di Arsenal

Mikel Arteta Tak Faham Satu Perkara Selepas Kalah Kepada Leicester

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram