Michu: Peledak Berbisa Yang Hampa Akibat Kecederaan

Michu

Andai membicarakan tentang Michu, sudah tentu kelibatnya pada musim pertama menyarung jersi Swansea City akan sentiasa menjadi buah mulut dalam kalangan peminat bola sepak khususnya bagi yang mengikuti rapat saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Meskipun bukanlah seorang pemain jentera serangan yang memiliki reputasi cukup hebat serta hanya beraksi untuk kelab di kelompok pertengahan, pemilik nama sebenar Miguel Perez Cuesta itu nyata begitu klinikal di hadapan pintu gol pasukan pelawat.

Jaringan demi jaringan yang dihasilkan pemain kelahiran Oviedo, Sepanyol tersebut pada ketika itu telah membuka mata kelab ternama di Eropah untuk mendapatkan khidmat beliau terutamanya sebuah lagi pasukan dalam kancah EPL iaitu Arsenal.

Permulaan karier di Real Oviedo

Sebagai anak jati Oviedo, pastinya beliau memasang impian untuk menyarung jersi pasukan kelab dari tanah kelahirannya itu. Perkara tersebut berjaya direalisasikan selepas pemain yang lahir pada 21 Mac 1986 mula menyertai skuad remaja Real Oviedo ketika berusia lapan tahun.

Setelah sembilan tahun dilalui dalam menjadikannya seorang yang bersedia untuk melangkah sebagai pemain bola sepak profesional, Michu dinaikkan pangkat ke skuad utama Real Oviedo pada tahun 2003 di mana kelab tersebut beraksi dalam saingan Liga Segunda.

Michu beraksi bersama kelab tersebut selama empat musim dan berjaya mencetak 13 jaringan dalam 100 penampilan.

Selepas itu, beliau telah dipancing oleh Celta Vigo B dan hanya selepas setengah musim, Michu terus diberikan peluang untuk membarisi skuad utama Celta Vigo yang beraksi dalam Liga Segunda seperti Real Oviedo.

Kalau dah rezeki tak kemana

Pada jendela perpindahan musim sejuk (musim 2010/11), Michu semakin hampir untuk beraksi dalam kancah La Liga apabila Sporting Gijon mahu membawanya ke El Molinon sebagai pengganti kepada Michel. Namun, kata sepakat gagal dicapai yang menyebabkan Michu terpaksa terus beraksi di liga divisyen dua itu.

‘Kalau dah rezeki tak kemana’, itulah pepatah yang sesuai bagi menggambarkan nasib Michu setelah beliau sah bergelar pemain Rayo Vallecano pada 27 Julai 2011 apabila memeterai kontrak selama dua musim.

Kehadirannya di Rayo Vallecano bukanlah sebagai pelengkap kuota pasukan kerana pengurus pada ketika itu, Jose Ramon Sandoval seringkali membariskan Michu di kesebelasan utama pasukan.

Embed from Getty Images

Kepercayaan itu dibalas Michu dengan jaringan sulung pada aksi ketiga La Liga ketika bertemu Getafe di gelanggang lawan. Lebih manis, gol yang dihasilkan Michu seawal minit keempat itu telah menghadiahkan kemenangan sulung buat Rayo Vallecano.

Michu turut berjaya mencuri tumpuan apabila berupaya menjaringkan dua gol dalam satu perlawanan ketika menentang Real Madrid, Racing Santander dan Osasuna.

Hanya semusim di La Liga, menyerlah pula bersama Swansea City

17 gol diledakkan dalam 39 perlawanan bagi semua kejohanan yang disertai ketika bersama kelab Sepanyol itu telah menarik minat Swansea City untuk membawanya merasai pengalaman beraksi di EPL.

Bekas pengurus Swansea, Micheal Laudrup hanya mengeluarkan dana sebanyak £2 juta untuk mendapatkan Michu dan beliau kemudiannya telah diberikan jersi bernombor sembilan.

Michu pantas membalas kepercayaan Laudrup sekaligus membuktikan sentuhan penyudah berbisa dimilikinya apabila menjaringkan dua gol pada aksi ‘debut’ menentang Queens Park Rangers (QPR) di Loftus Road bagi membantu kemenangan 5-0 kelab dari Wales itu.

Rentetan kecemerlangan itu berterusan pada dua lagi aksi awal apabila beliau menyumbangkan masing-masing satu jaringan pada pertemuan menentang West Ham United dan Sunderland.

Ketenangan serta begitu tajam di hadapan pintu gol lawan telah menobatkan Michu sebagai penjaring kelima terbanyak dalam saingan EPL 2012/13 dengan 18 jaringan dihasilkannya.

Bantu Swansea City juarai Piala Liga

Selain daripada 18 jaringan dihasilkan dalam kempen liga, kejayaan muncul juara Piala Liga turut pastinya menjadi antara detik manis dalam karier bola sepak Michu.

Kemaraan dari peringkat awal dihadapi skuad The Swans itu sebenarnya amat sukar kerana terpaksa berdepan Liverpool di pusingan keempat manakala Chelsea menanti di separuh akhir.

Namun, cabaran tersebut dihadapi dengan cukup mengagumkan apabila Swansea menundukkan Liverpool 3-1 manakala Chelsea pula menjadi mangsa dengan keputusan 2-0. Michu sendiri menjaringkan gol pembukaan ketika menumpaskan Chelsea di Liberty Stadium pada separuh akhir pertama.

Berdepan Bradford City pada aksi final, Michu turut menghasilkan jaringan yang menyaksikan Swansea menang mudah 5-0.

Aksi bertenaga ditampilkan dalam kancah domestik juga turut menarik minat pengurus Sepanyol, Vicente Del Bosque untuk memanggil Michu menyertai sesi latihan skuad kebangsaan selepas kecederaan dialami penyerang utama, David Villa. Beliau menikmati debut skuad kebangsaan ketika aksi kelayakan Piala Dunia 2014 bertemu Belarus di Mallorca.

Kecederaan merubah segalanya

Prestasi cemerlang Michu pada musim pertamanya membuatkan Swansea City tidak perlu berfikir panjang untuk menyambung kontraknya selama tiga tahun.

Kecemerlangan itu bagaimanapun tidak mampu diulangi oleh Michu apabila sekadar menjaringkan enam gol daripada 22 penampilannya pada musim 2013/14.

Perkara tersebut berlaku disebabkan kekurangan mendapat minit perlawanan susulan kecederaan yang kerap kali dialaminya. Beliau hanya berkesempatan beraksi dalam 15 perlawanan EPL (tidak termasuk dua perlawanan sebagai pemain gantian) dan tujuh lagi aksi di kempen Liga Europa.

Embed from Getty Images

Keadaan itu memaksa Swansea City untuk meminjamkan Michu ke SS Napoli dengan pilihan perpindahan secara tetap pada penghujung musim. Malangnya, kecederaan terus menjadi batu penghalang buat Michu untuk kembali mendapatkan sentuhan beliau dan hanya beraksi enam perlawanan ketika di Naples.

SS Napoli mengambil keputusan untuk tidak mahu mengaktifkan perpindahan secara tetap dan Michu perlu kembali semula ke Swansea. Sedar tidak banyak sumbangan yang bakal dapat diberikan oleh Michu, Swansea memilih untuk melepaskannya pada November 2015.

Kembali ke Sepanyol bawa duka

Selepas khidmatnya tidak diperlukan, Michu pulang ke kampung halamannya untuk beraksi bersama kelab amatur, UP Langreo. Selepas semusim, beliau menabur bakti bersama kelab yang bertanggungjawab mengasah bakatnya sejak berusia lapan tahun, Real Oviedo.

Merasakan dirinya sudah tidak mampu lagi untuk beraksi, beliau akhirnya mengumumkan persaraannya daripada kancah profesional sebaik sahaja tamat saingan liga musim 2016/17.

Cintanya terhadap bola sepak masih lagi mekar apabila kini beliau bertugas sebagai Setiausaha Teknikal Real Oviedo.

Kredit foto: Richard Heathcote/Getty Images

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply