Micheal Feichtenbeiner: Sean Selvaraj ‘Orang Penting’ Dalam Sistem Saya

Sean Selvaraj Selangor PDRM Liga Super 2020

Selangor ‘berkenduri’ dalam perlawanan kedua terakhir CIMB Liga Super 2020 apabila membelasah PDRM FA dengan keputusan 7-0 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.

Ini merupakan kali pertama mereka menang dengan defisit lebih lima gol ke atas lawan mereka dalam saingan liga sejak kali terakhir melakukannya pada musim 2012. Pada musim itu, Selangor menang 6-1 ke atas Terengganu dan 5-0 ke atas T-Team FC.

Gol-gol The Red Giants diledak oleh Ifedayo Olusegun dan Sean Selvaraj, masing-masing dengan dua gol selain satu gol daripada Brendan Gan, Safuwan Baharudin serta Rufino Segovia. Pastinya yang mencuri tumpuan adalah Sean Selvaraj.

Sebelum ini, di bawah kendalian B. Satiananthan, Sean Selvaraj hanya mendapat peluang bermain sebagai pemain gantian dan sudah tampil dalam empat perlawanan, tetapi kini, Michael Feichtenbeiner menyenaraikannya dalam skuad utama.

Selain mencetak dua gol, pemain berusia 24 tahun itu juga telah menghasilkan tiga bantuan gol kepada rakan sepasukannya. Satu yang pastinya mengejutkan ramai kerana pemain yang kurang mendapat tempat itu mampu memberikan impak baik.

Tidak dinafikan, Selangor hanya berdepan PDRM yang sudah sah dikembalikan ke Liga Premier selepas semusim, namun ia tetap mengujakan untuk penyokong menyaksikan prestasi sebegitu. Sudah lama Selangor tidak meledak banyak gol sebegitu.

Adakah ianya salah Satiananthan? Bagi Feichtenbeiner, beliau tidak menyalahkan bekas pengendali tersebut dari segi pemilihan pemain kerana menurutnya, setiap jurulatih ada pemainnya sendiri yang sesuai dengan gaya permainannya.

“Ini adakalanya berlaku. Setiap jurulatih ada pemain yang dia rasa sesuai [dengan sistemnya]. Untuk saya, Sean [Selvaraj] memiliki beberapa skil yang boleh menguatkan taktikal saya. Ia sangat penting,” ujar pengendali sementara Selangor itu.

Selangor PDRM Liga Super 2020
Pilihan ‘segar’ dalam skuad Selangor untuk perlawanan menentang PDRM. FOTO: FA Selangor

“Untuk permainan bola sepak bertransisi sebegini anda perlu pemain yang pantas dan mereka juga perlu boleh bekerja ketika bertahan. Bersama bola atau tidak, mereka perlu bekerja untuk pasukan,” tambahnya lagi mengenai prestasi Sean Selvaraj.

“Setakat ini, dia telah mengambil peluang yang diberikan. Saya berikannya peluang tetapi jika dia malas, saya tidak akan berikannya lagi. Jadi hari ini, dia beraksi sangat baik. Ini yang kita perlukan daripadanya dalam sistem bola sepak yang kita main.

“Dia adalah pemain yang saya suka untuk masa depan [Selangor],” ujar pengendali berusia 60 tahun itu lagi mengenai pemain kelahiran Negeri Sembilan yang telah bersama Selangor selama tiga musim – sejak permulaan musim 2018 lagi.

Dalam pada itu, aksi malam tadi menyaksikan Brendan Gan dilantik sebagai kapten pasukan buat kali pertama dan debut pemain berusia 18 tahun, Mukhairi Ajmal.

KREDIT FEATURED IMAGE: FA SELANGOR

Baca lagi artikel mengenai Sean Selvaraj dan Selangor:

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN