Michael Ballack: Lagenda Yang Disumpah Badi Naib Juara

Jika anda adalah yang pertama dan juara, seluruh masyarakat di setiap penjuru dunia akan mengingati anda. Tetapi tiada siapa yang akan mengingati naib juara.

Semua orang mengenali Neil Armstrong, manusia pertama menjejak kaki ke bulan. Namun adakah sesiapa kenal atau mengingati manusia ke-dua yang menjejakkan kaki ke bulan ?

Michael Ballack; nama yang sangat dikenang bagi pecinta sejati Bayer Leverkusen.

Seorang pemain tengah berkelas dunia yang pernah mengemudi jentera tengah Bayer Leverkusen satu ketika dahulu dan merupakan ikon bola sepak negara Jerman.

Nama beliau tercatit dalam buku sejarah bola sepak sebagai pemain teragung yang pernah wujud di bumi Jerman. Namun sangat malang bagi beliau kerana sering terlepas untuk mengucup piala-piala berprestij.

Sumpahan naib juara

Pemain tengah lagenda ini mendapat jolokan ‘Mr Runner-Up‘ kerana seringkali menjadi naib johan dalam kebanyakan temasya bola sepak yang disertainya.

Michael Ballack bagai menerima sumpahan yang seringkali menghantui kariernya.

Semuanya bermula pada musim 2001/2002, Bayer Leverkusen yang diwakili Michael Ballack ketika itu dinobatkan naib johan bagi semua temasya bola sepak yang disertai kelab tersebut.

Kelab yang berpangkalan di utara Rhine-Westphalia ini menjadi naib juara di belakang Borussia Dortmund dalam merebut kejuaraan Bundesliga pada musim tersebut.

Dalam kejohanan DFB-Pokal, Bayer Leverkusen tumpas di tangan Schalke 04 dengan margin 4-2 pada perlawanan akhir yang berlangsung di Olympiastadion, Berlin.

Bagai menambah garam di luka, impian Ballack untuk mengucup piala Champions League dibunuh oleh jaringan epik Zinedine Zidane – hasil sepakan separa voli yang sangat padu menerjah jaring.

Bayer Leverkusen dan Michael Ballack mencatat hatrik naib juara dalam kejohanan Bundesliga, DFB-Pokal dan Liga Juara-Juara Eropah.

Lebih malang dan perit untuk ditelan bagi Michael Ballack, beliau meledak 17 gol dalam Bundesliga dan sekadar menjadi naib juara untuk meraih kasut emas – di belakang Marcio Amoroso dan Martin Max yang masing-masing meledak 18 gol.

Sumpahan berterusan

“Sumpahan naib-juara” terhadap Michael Ballack berterusan lagi beberapa bulan selepas itu.

Kali ini bumi Korea dan Jepun menjadi saksi apabila pasukan bukan pilihan Jerman tumpas kepada pasukan Brazil yang dibarisi barisan serangan 3RRonaldo, Rivaldo dan Ronaldinho.

Michael Ballack hanya menjadi penonton di Stadium Yokohama setelah menerima pergantungan perlawanan kerana mendapat layangan kad kuning ke-2 sepanjang kejohanan ketika peringkat separuh akhir menentang Korea Selatan.

Die-Mannschaft yang diketuai Michael Ballack pada temasya EURO 2008 nampak gagah melangkah ke pentas akhir.

Tetapi sumpahan naib juara terus menghantui apabila jaringan Fernando Torres melenyapkan impian suci lagenda Bayer Leverkusen ini. Kali ini sekali lagi beliau menjadi penonton kerana mengalami kecederaan.

Oleh sebab itu, Michael Ballack mendapat jolokan Mr Runner-Up kerana episod bola sepak tragis yang diharungi sepanjang kariernya.

Berikut adalah rekod sumpahan Michael Ballack:

  • 2002 Bundesliga-Naib Juara
  • 2002 DFB-Pokal-Naib Juara
  • 2002 CL-Naib Juara
  • 2002 World Cup-Naib Juara (digantung)
  • 2006 World Cup-Separuh-Akhir
  • 2008 CL-Naib Juara
  • 2008 Euro-Naib Juara (cedera)
  • 2009 CL-Separuh-Akhir

Nota editor: Artikel ini ditulis oleh Abdul Hadi (27 tahun), seorang penyokong tegar Bayer Leverkusen dari Sungai Koyan, Pahang. Beliau juga merupakan pengasas fanpage Bayer Leverkusen Fans Club Malaysia.

Jika anda boleh menulis artikel bola sepak dan mahu artikel anda dibaca oleh lebih 300,000 peminat bola sepak setiap bulan, hantarkan artikel anda (dalam MS Word) ke [email protected]

Baca juga: 9 Pemain Asia Yang Perlu Diberi Tumpuan Di Bundesliga 2015/2016

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram