MFL Umum Play-Off Kuching Melawan Sarawak, Untuk Isi Slot Liga Premier 2020

Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
Share on whatsapp
Share on email

PETALING JAYA, 14 November: Malaysian Football League (MFL) telah menetapkan tarikh perlawanan playoff Liga Premier 2020 yang menemukan pasukan tangga ke-11 Liga Premier, Sarawak FA dan naib juara Liga M3, Kuching FA akan berlangsung pada 23 November ini.

MFL dalam satu kenyataan rasmi turut memaklumkan Stadium Sarawak, Kuching bakal menjadi venue playoff itu di mana perlawanan akan bermula jam 8.15 malam.

Jelas badan pentadbir Liga Malaysia itu, pihaknya akan menentukan Pasukan Tuan Rumah (PTR) melalui undian atau keputusan dibuat oleh Ahli Lembaga Pengarah MFL.

“PTR hendaklah bertanggungjawab ke atas organisasi teknikal perlawanan seperti yang telah ditetapkan.

“Berkenaan penggunaan pemain import, Sarawak FA hanya boleh menurunkan dua pemain asing sahaja manakala selebihnya adalah pemain gantian.

“Manakala pasukan Kuching FA dibenarkan menurunkan dua orang pemain asing sahaja.

“Setiap pasukan hanya dibenarkan untuk menggunakan dua pemain asing berada di atas padang pada satu-satu masa,” kata MFL.

Perlawanan playoff membabitkan wakil Liga M3 ke Liga Premier selaras dan termaktub Manual Liga M3 perkara 7; Promosi dan Relegasi menyaksikan dua aksi kelayakan playoff diadakan membabitkan pasukan menduduki tangga ke-11 dan 12 Liga Premier bertemu juara dan naib juara Liga M3.

Bagaimanapun, Juara Liga M3, Kelantan United layak ke Liga Premier musim 2020 secara bye selepas pasukan tercorot Liga Premier, Perlis FA tidak layak bermain di pusingan playoff dan turun ke Liga M3 musim 2020 selepas penyertaan mereka dibatalkan dalam Liga Premier musim lalu.