MFL Rancang Liga Malaysia Bersambung September Ini

Liga Malaysia

Malaysian Football League (MFL) telah merangka perancangan baharu kalendar Liga Malaysia bagi musim 2020 selepas saingan domestik ditangguhkan sejak 16 Mac lalu selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan oleh kerajaan pusat susulan wabak pandemik COVID-19.

Perubahan kalendar Liga Malaysia 2020 dibuat dengan mengambil kira keputusan Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan PKP yang telah dipengerusikan oleh Menteri Kanan Pertahanan, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob semalam sebagai rujukan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan MFL dalam menyusun perjalanan liga musim 2020.

Berdasarkan keputusan mesyuarat berkenaan, permohonan MFL untuk menyambung semula saingan Liga Malaysia pada Ogos 2020 dengan sesi latihan pasukan bermula pada Julai 2020 tidak diluluskan.

Keputusan berkenaan disampaikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina kepada Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan dan Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam dalam satu pertemuan di Putrajaya semalam.

Justeru, Ahli Lembaga Pengarah MFL telah membuat keputusan berhubung perancangan baharu Liga Malaysia 2020 berpandukan kepada maklum balas MKN, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan KBS serta perbincangan bersama Rakan Kongsi Liga pada 19 April 2020.

1. MFL merancang untuk meneruskan pertandingan CIMB Liga Super, Liga Premier pada 1-2 September 2020 dan akan berakhir pada 26-27 September 2020 dengan saingan secara separuh liga sahaja. Menerusi format itu, liga akan bersambung dari perlawanan kelima hingga perlawanan ke-11 dengan semua perlawanan mengikut jadual asal seperti yang telah ditetapkan.

2. TM Piala Malaysia pula akan berlangsung pada 17-18 Oktober 2020 dan akan berakhir pada 7 November manakala Shopee Piala FA dan Challenge Cup dibatalkan. Format pertandingan TM Piala Malaysia akan dirombak di mana tiada saingan peringkat kumpulan dengan saingan 16 pasukan akan berlangsung secara kalah mati satu pusingan termasuk suku akhir dan separuh akhir. 11 pasukan terbaik CIMB Liga Super dan lima pasukan terbaik Liga Premier (kecuali pasukan Reserve Team) yang layak beraksi dalam saingan TM Piala Malaysia akan diundi untuk menentukan perlawanan awal dan juga pasukan tuan rumah.

3. Semua pasukan akan memulakan sesi latihan pada Ogos 2020 mengikut SOP kendalian latihan dan perlawanan Liga Malaysia yang akan dikeluarkan oleh FAM dan MFL berdasarkan arahan MKN, KKM dan KBS serta garis panduan daripada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

4. Setiap perlawanan akan diadakan mengikut SOP Perlawanan Tanpa Penonton seperti yang ditetapkan oleh MKN dan KKM disebabkan penularan wabak COVID-19.

5. Tiada tempoh perpindahan pemain dibuka pada pertengahan Liga Malaysia 2020 jika saingan bermula pada September.

6. Saingan Liga Malaysia 2020 akan dibatalkan jika MKN, KKM dan KBS tidak membenarkan perlawanan bersambung semula sehingga September 2020.

7. Status Liga M3 kelolaan Amateur Football League (AFL) akan diputuskan pada Jun 2020 memandangkan banyak faktor sedang dikaji dan diperhalusi kerana perlawanan saingan kelab amatur itu diadakan di padang terbuka.

Menurut Dato’ Ab Ghani, hasil perbincangan MFL bersama pemegang taruh jelas rata-rata mereka memberikan isyarat positif dalam usaha meneruskan kembali saingan Liga Malaysia bagi musim 2020 namun segala perancangan ini masih tertakluk kepada arahan dan saranan terbaharu daripada MKN, KKM dan KBS.

Beliau berkata, badan induk Liga Malaysia itu sentiasa meletakkan keutamaan pada aspek kesejahteraan masyarakat namun dalam masa yang sama perlu mengambil kira penglibatan ramai pihak dalam industri bola sepak yang besar di negara ini serta impak terhadap sukan nombor satu negara jika Liga Malaysia tidak dapat diteruskan musim ini.

“MFL menghormati pandangan pelbagai pihak mengenai status perjalanan Liga Malaysia musim ini, tetapi MFL sudah mengkaji dan meneliti secara mendalam bagi menyusun semula kalendar baharu Liga Malaysia.

“Kita sedia maklum bahawa ramai pihak bergantung kepada sumber ekonomi mereka dalam industri bola sepak tanah air. Justeru ketika ini, MFL masih berpandangan positif untuk memulakan kembali saingan liga yang terpaksa ditangguhkan selepas kerajaan mengeluarkan arahan PKP pada 18 Mac lalu.

“Keprihatinan MFL dan FAM dalam aspek keselamatan pemain, pegawai dan penyokong berkenaan wabak COVID-19 diterjemahkan apabila membuat keputusan supaya perlawanan CIMB Liga Super, Liga Premier, serta Liga M3 dijalankan tanpa penonton pada 14 dan 15 Mac 2020 sebelum semua saingan termasuk Shopee Piala FA ditangguhkan pada 16 Mac 2020 iaitu dua hari sebelum PKP diumumkan oleh kerajaan,” katanya.

Berdasarkan perancangan baharu kalendar Liga Malayaia 2020, jika pertandingan CIMB Liga Super, Liga Premier dan TM Piala Malaysia dapat diteruskan maka MFL menetapkan juara CIMB Liga Super kekal untuk meraih slot automatik ke Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2021 manakala juara TM Piala Malaysia dan naib juara CIMB Liga Super akan mendapat slot ke Piala AFC 2021.

Bagaimanapun jika MKN, KKM dan KBS masih tidak membenarkan saingan Liga Malaysia diteruskan sehingga September 2020 akibat wabak COVID-19, semua pertandingan domestik terpaksa dibatalkan di mana kelayakan pasukan Liga Malaysia ke pertandingan kelab anjuran Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2021, ditentukan berdasarkan merit dengan juara Liga Super 2019 akan mendapat slot automatik ACL 2021 manakala naib juara Liga Super dan juara Piala FA 2019 akan mendapat slot ke Piala AFC 2021.

Bagaimanapun Dato Ab Ghani menegaskan bahawa pelan perancangan ini akan dikaji semula pada Jun depan berdasarkan perkembangan semasa wabak COVID-19.

“Kita akan memantau situasi semasa isu wabak COVID-19 dan akan mengemukakan permohonan semula mengenai perancangan jadual Liga Malaysia 2020 berdasarkan arahan terbaharu MKN, KKM dan KBS pada Jun nanti.

“Pihak MFL juga akan menitikberatkan soal keselamatan semua pihak yang terlibat dengan SOP perlawanan lebih ketat mengikut saranan MKN, KKM dan KBS andai Liga Malaysia musim 2020 dapat diteruskan seperti yang dirancangkan itu.

“Perancangan Liga Malaysia dan SOP ini juga sudah MFL bentangkan dalam pertemuan dengan Datuk Seri Reezal pada 23 April lalu dan ini membuktikan bahawa MFL sentiasa bersedia berbincang dan mengikuti segala saranan serta arahan daripada MKN, KKM dan KBS sebelum membuat sebarang keputusan,” katanya.

Perancangan baharu kalendar Liga Malaysia 2020 itu turut mengambil kira faktor-faktor seperti penundaan tarikh Pusingan Kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023, penundaan tarikh  ACL 2020 yang melibatkan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan tarikh baharu kejohanan Piala AFF Suzuki 2020 yang dijangka bermula pada 21 November sehingga 15 Disember 2020.

Dato’ Ab Ghani berkata, perancangan itu juga dilihat dapat mengurangkan kepadatan jadual dengan merombak format pertandingan serta membatalkan saingan Shopee Piala FA dan Challenge Cup.

“Jadi dengan pengumuman penjadualan Liga Malaysia 2020 ini diharap dapat membantu semua pasukan membuat persediaan bagi menghadapi sebarang kemungkinan yang berlaku apabila pihak MKN, KKM dan KBS membuat ketetapan baharu mengenai perkembangan wabak COVID-19 kelak.

“Apa yang jelas di sini bahawa, Ahli Lembaga Pengarah MFL memiliki kuasa untuk merombak dan meminda format pertandingan atas sebab isu-isu wabak COVID-19 dan PKP oleh pihak kerajaan.

“Dan diharap dalam jangkamasa lebih tiga bulan sebelum perancangan ini dijalankan, keadaan wabak COVID-19 yang melanda negara ini akan beransur pulih serta PKP dapat dilonggarkan jadi marilah sama-sama kita berdoa agar keadaan kembali pulih seperti biasa,” katanya.

Kenyataan & kredit foto: Malaysian Football League

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram