MFL Mohon Pertimbangan Kerajaan Hanya Perlu Kuarantin Pemain Positif Sahaja

MFL

Penganjur liga, Malaysian Football League (MFL) telah membuat permohonan kepada pihak kerajaan Malaysia bagi menringankan syarat kuaratin kepada pasukan-pasukan bertanding.

Hal ini kerana, sejak liga bersambung semula sudah dua perlawanan Liga Malaysia tertangguh akibat kes positif Covid-19 melibatkan para pemain dan pegawai pasukan.

Perlawanan melibatkan Kedah Darul Aman (KDA) dan Kuching City (KC) terpaksa ditangguhkan selepas terdapat pemain dan pegawai yang positif dalam kem mereka.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan, permohonan telah dibuat kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Kementerian Belia & Sukan (KBS).

Permohonan yang dilakukan MFL adalah supaya hanya pemain dan pegawai yang disahkan positif sahaja perlu menjalani kuarantin dan bukannya keseluruhan pasukan.

Ini bertujuan supaya mereka yang tidak terkesan atau didapati negatif boleh meneruskan perlawanan liga.

Keputusan ini dibuat selepas mengambil kira prosedur operasi standard (SOP) yang diamalkan di kejohanan-kejohanan bola sepak utama dunia yang hanya mengasingkan pemain dan pegawai yang positif sahaja.

Sementara yang negatif dibenarkan untuk terus terlibat dengan aksi kejohanan atau liga yang disertai.

Premier League, Serie A dan juga Euro 2020 adalah contoh kejohanan yang hanya mengasingkan pemain dan pegawai yang positif sahaja dan bukannya satu pasukan.

“MFL telah mengusulkan agar hanya pegawai dan pemain yang positif Covid-19 sahaja dikuarantin manakala pegawai dan pemain yang disahkan negatif dibenarkan untuk berlatih dalam pada yang sama meneruskan perlawanan liga seperti yang dijadualkan,” kata Ghani menerusi laman MFL.

Tambah Ghani lagi, sekiranya permohonan ini berjaya diluluskan maka ia dapat membantu MFL untuk merencana semula jadual bagi perlawanan melibatkan KDA dan KC yang tertangguh.

Sebelum ini aksi KDA menentang Penang dan KC melawan Terengganu II antara perlawanan yang terkesan akibat kes positif Covid-19 melibatkan dua pasukan tersebut.

Sumber:

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply