MFL Mahu Pasukan Terus Patuhi Larangan MKN

MFL

Malaysian Football League (MFL) kekal dengan keputusan meneruskan larangan kepada pasukan-pasukan Liga Malaysia untuk mengadakan aktiviti bola sepak termasuk latihan pasukan sehingga mendapat kelulusan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan menegaskan, keputusan itu selaras tindakan pihak kerajaan yang telah memutuskan untuk melanjutkan arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga 9 Jun ini.

Kata lagi Dato’ Ab Ghani, MFL akan sentiasa mengikuti perkembangan dan saranan daripada MKN dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum memberikan kebenaran kepada pemegang taruh Liga Malaysia untuk melaksanakan aktiviti bola sepak jika aksi domestik kembali bersambung musim ini.

“Seperti semua sedia maklum, kerajaan telah memutuskan untuk melanjutkan arahan PKPB sehingga 9 Jun ini. Justeru, MFL berharap pasukan-pasukan akan terus mematuhi arahan ini sehingga kerajaan memaklumkan mengenai perkembangan terbaharu PKPB.

“Selain itu, buat masa ini sukan bola sepak tidak termasuk di dalam antara sukan yang diluluskan penganjurannya. Sehubungan dengan itu, sebarang aktiviti seperti latihan pasukan, perlawanan persahabatan dan pergerakan merentas negeri adalah tidak dibenarkan seperti yang telah dikuatkuasakan oleh MKN sebelum ini.

“Jika ada pasukan yang mengadakan sebarang aktiviti bola sepak tanpa kebenaran MKN, ia jelas melanggar peraturan di bawah Akta 342,” katanya.

Sebagai rekod, Liga Malaysia telah ditangguhkan sejak 18 Mac lalu selepas penularan wabak COVID-19 bermula awal tahun ini.

Dalam perkembangan sama, Dato’ Ab Ghani Hassan memberitahu MFL akan mengenakan tindakan keras kepada pasukan-pasukan Liga Malaysia jika mereka didapati bersalah melanggar arahan seperti mengadakan sesi latihan dalam tempoh PKPB.

“Selaras dengan surat pekeliling yang telah diedarkan kepada semua pemegang taruh Liga Malaysia, pasukan tidak dibenarkan mengadakan sebarang sesi latihan termasuk sesi latihan berskala kecil, sesi senaman di gymnasium atau sebagainya memandangkan ia adalah arahan daripada MKN, KKM dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

“MFL akan sentiasa mengikuti arahan dan Prosedur Operasi Standard (SOP) daripada pihak kerajaan dan tindakan tegas akan dikenakan kepada mana-mana pasukan yang didapati melanggar perintah tersebut daripada MFL menerusi Ahli Lembaga Pengarah.

“Diharap kesemua pasukan dapat bersabar terlebih dahulu untuk mengadakan sebarang program latihan di mana kita haruslah memenuhi tuntutan daripada pihak berkuasa dalam usaha memastikan semua pasukan mematuhi SOP seperti yang diarahkan oleh KKM,” katanya.

Tambah Dato Ab Ghani, pihak MFL akan menyediakan permohonan semula perancangan baharu kalendar Liga Malaysia 2020 beserta dengan SOP latihan pasukan dan perlawanan kepada MKN menerusi KBS selepas PKPB berakhir.

“Seperti yang dimaklumkan oleh Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media hari ini (Ahad), pihak MKN bersedia untuk meneliti permohonan daripada MFL mengenai penganjuran Liga Malaysia dan sudah pasti MFL bersama FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) akan bersedia dengan lebih awal mengenai segala perancangan dan SOP agar Liga Malaysia dapat bersambung semula tahun ini,” jelasnya.

Sebelum ini, MFL sudah mengumumkan perancangan untuk meneruskan pertandingan CIMB Liga Super, Liga Premier pada 1-2 September 2020 dan akan berakhir pada 26-27 September 2020 dengan saingan secara separuh liga sahaja manakala TM Piala Malaysia pula akan berlangsung pada 17-18 Oktober 2020 hingga 7 November sementara Shopee Piala FA dan Challenge Cup dibatalkan.

Jika perancangan itu mendapat kelulusan kerajaan, maka semua pasukan dijangka akan memulakan sesi latihan pada Ogos 2020 mengikut SOP kendalian latihan dan perlawanan Liga Malaysia yang akan dikeluarkan oleh FAM dan MFL berdasarkan garis panduan MKN, KKM, KBS, Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN