MFL: Hanya 7 Hari Diberikan Kepada Perlis Untuk Membuat Rayuan

PETALING JAYA, 21 Februari: Malaysian Football League (MFL) memberikan tempoh tujuh hari kepada Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) untuk mengemukakan rayuan selepas penyertaan mereka dalam kempen Liga Malaysia musim ini dibatalkan semalam.

Menerusi keputusan Ahli Lembaga Pengarah MFL, penyertaan Perlis dalam aksi Liga Premier dibatalkan selepas mendapati skuad Singa Utara itu tidak memiliki kewangan kukuh untuk mengharungi musim ini selain berdepan masalah tunggakan gaji pemain.

Bagaimanapun MFL memberikan kelonggaran melanjutkan tarikh pendaftaran buat pemain Perlis untuk tempoh 30 hari bagi mengintai pasukan baharu memandangkan tarikh perpindahan pemain ditutup semalam.

Mengulas lanjut, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam yang menegaskan keputusan pembatalan penyertaan Perlis masih kekal dan rasmi, berkata permohonan rayuan itu adalah proses normal selepas sesuatu hukuman telah dibuat.

“Kami telah memberikan tempoh tujuh hari kepada PFA walaupun kebiasannya adalah 14 hari tempoh rayuan bagi urusan pentadbiran tetapi memandangkan ia satu kes serius, kami memberikan tujuh hari sahaja.”

“Bagi saya sudah tentu jika apa-apa keputusan yang diputuskan kepada mana-mana pihak, mereka akan cuba sedaya upaya untuk membuat rayuan.”

“Dalam kes ini jika satu rayuan mahu dibuat, ia harus memiliki alasan cukup kukuh untuk kita ambil kira sebelum keputusan rayuan dibuat.”

“Wakil PFA datang hari ini untuk lebih memahami apa yang telah dipertimbangkan dalam keputusan itu dan saya telah membuat penerangan yang mana mereka akan mengadakan mesyuarat bersama Exco PFA bagi mendapatkan tindakan susulan selepas mendapat penjelasan ini daripada pihak MFL.”

“Buat masa ini, pihak MFL berharap apa-apa perancangan mereka di masa depan akan berjaya dan pemain-pemain akan mendapat pasukan baharu selepas MFL turut membuka ruang bagi mereka mendaftar bagi tempoh 30 hari,” kata Kevin selepas pertemuan dengan wakil PFA di Petaling Jaya, hari ini.”

Dalam perkembangan berkaitan, Kevin menegaskan keputusan rayuan PFA itu sama ada berjaya atau sebaliknya bergantung kepada Ahli Lembaga Pengarah MFL yang akan membuat keputusan dalam tempoh dua hari daripada tujuh hari proses rayuan tersebut.”

“Lembaga Pengarah MFL yang membuat keputusan ini, bukannya sekretariat dan jadi saya tidak berkata satu keputusan itu akan bertukar selagi Lembaga Pengarah tidak menukar sesuatu keputusan.”

“Seperti saya katakan tadi buat masa ini keputusan telah dibuat semalam adalah keputusan rasmi dan kekal, “ katanya.

Sementara itu, Kevin turut memberitahu tiada pasukan yang akan menggantikan posisi Perlis di Liga Premier sebagaimana keputusan bermain 11 pasukan telah berlaku sebaik Kuantan FA digantung liga pada musim lalu.

“Jika ada mana-mana pasukan dikeluarkan, berdasarkan keputusan yang telah dibuat pada musim lepas kita tidak akan menggantikan mana-mana pasukan.”

“Jika kita terburu-buru untuk menggantikan pasukan, kita tidak mahu berdepan masalah yang sama dengan pasukan yang kita masukkan itu.”

“Jadi sama seperti tahun lalu, kita akan berjalan dengan 11 pasukan dan tiada pasukan ganti.”

“Status tiga perlawanan membabitkan Perlis sebelum ini akan terjawab selepas tamat tempoh permohonan rayuan ini dan untuk aksi Perlis menentang Kelantan esok statusnya ditunda bukannya dibatalkan,” katanya

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply