Messi ‘Tembak’ Abidal

Lionel Messi mengkritik pengarah sukan Barcelona, Eric Abidal kerana mengatakan pemain-pemain tidak berusaha keras semasa di bawah kendalian bekas jurulatih Ernesto Valverde.

Valverde telah pun dipecat pada Januari sekalipun Barcelona berada di puncak La Liga dan digantikan oleh Quique Setien.

Abidal yang juga bekas rakan sepasukan Messi telah mengeluarkan komen tersebut ketika ditemubual oleh akhbar tempatan, Diario Sport.

Namun Messi ternyata kecewa dan tidak berpuas hati lalu membalas kenyataan tersebut dengan ‘menembak’ semula Abidal.

“Apabila kamu bercakap mengenai pemain, kamu harus menamakan pemain tersebut. Jika tidak, ianya sekadar cakap-cakap kosong dan kamu sebenarnya memburukkan kami semua.” kata Messi.

Dalam temubual bersama akhbar tersebut, Abidal mengatakan kebanyakan pemain tidak berpuas hati dan tidak beraksi dengan bersungguh-sungguh dan berlaku masalah komunikasi dalaman.

“Hubungan jurulatih dengan pemain di bilik persalinan baik-baik sahaja tetapi sebagai bekas pemain, saya dapat menghidu ada sesuatu yang tidak kena. Saya telah memaklumkan kepada kelab apa pendapat saya dan kami telah mencapai keputusan [untuk memecat Valverde].” ujar Abidal.

Pemenang Ballon d’or enam kali itu kemudian memberikan responnya dalam akaun Instagram yang jelas memberitahu Abidal supaya bersikap bertanggungjawab di atas keputusan yang dibuat [memecat Valverde] dan tidak menuding jari kepada pemain.

“Pemain bertanggungjawab untuk apa yang berlaku di atas padang dan kami adalah orang yang pertama sedar apabila kami kami tidak beraksi dengan baik. Tetapi ketua kepada unit sukan perlu bertanggungjawab di atas segala keputusan yang dibuat,” tegas Messi.

Bagaimanapun dalam temubual itu, Abidal berpendapat Messi masih gembira di Barcelona dan kontrak baharu sedang dirangka untuk memastikan pemain Argentina itu kekal di Nou Camp untuk beberapa tahun lagi.

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply