Merungkai ‘Perang’ Axello Dengan Burn & 3 Perkara Yang Boleh Kita Pelajari

Dewasa ini anda boleh mendapatkan bahan bacaan bola sepak dari pelbagai sumber. Media cetak adalah antara yang terawal menjadi ikutan. Dewasa ini media elektronik dan media digital menjadi pilihan utama kerana maklumat mudah diperolehi – semudah di hujung jari.

Berbeza dengan pengisian media cetak yang lebih banyak melaporkan kejadian atau berita, media elektronik dan media digital pada hari ini tidak hanya menghadkan pengisian kandunagn kepada berita.

Antara kandungan lain yang turut menjadi kegemaran penyokong bola sepak di seluruh dunia termasuklah di Malaysia ialah kandungan berasaskan kajian, perbincangan, temuramah eksklusif, dan juga analisis artikel.

Ini bermakna penyampaian media yang membuat liputan di dalam bola sepak pada hari ini bukan sekadar melakukan penyampaian berasaskan kejadian. Lebih dari itu ia turut membantu menyebarkan pengetahuan kepada peminat bola sepak dan masyarakat amnya.

Ikon media

Lonjakan media digital pada era ini turut menampilkan ikon penyampai yang menjadi ikutan ramai.

Jika di luar negara, nama Melissa Reddy misalnya amat popular di kalangan penyokong Liverpool. Merupakan penulis kepada talkSport pada awal kariernya, Melissa pada hari ini adalah Senior Football Correspondent di The Independent.

Melissa adalah contoh wartawan bola sepak yang berjaya dalam penyampaian berita. Bagi peminat analisis taktikal, nama seperti Jonathan Wilson atau Michael Cox semestinya tidak asing lagi.

Masing-masing bermula sebagai penulis bebas dan menulis di blog sendiri sebelum disunting oleh syarikat-syarikat media yang lebih besar seperti ESPN, BBC, The Guardian dan sebagainya.

Media elektronik tidak terkecuali. Jeff Stelling adalah antaranya. Beliau adalah antara pundit dan penyampai yang sudah lama bersama Sky Sport. Jika untuk siaran di Malaysia, nama-nama seperti  Adam Carruthers, Michelle Lee, Reem Shahwa, Randeep Singh, Shaun Orange dan Ivan Loh juga pasti tidak asing.

Di sebalik semua nama-nama besar dalam industri media di atas, ada dua nama yang menarik perhatian netizen terutama di kalangan penyokong bola sepak di Malaysia pada minggu ini.

Mereka yang dimaksudkan ialah bekas penyampai Koppa TV dan bekas editor Semuanya BOLA yang kini bersama Vocket FC, Axello, dan personaliti Astro Arena yang terkenal dengan rancangan Berbulu Dengan Burn (BDB), iaitu Burn.

Perang mulut di antara kedua-duanya baru-baru ini telah  menarik perhatian ramai.

Perang Axello vs Burn 

Segalanya bermula dengan muat naik Axello di laman Facebook peribadi beliau mengenai pemain berusia 17 tahun Manchester United, Shola Shortire.

Axello, seorang peminat tegar Liverpool dan dikenali sebagai seorang penulis yang tidak berat sebelah memuji akademi bola sepak Manchester United. yang berani memberikan debut kepada pemain muda lepasan akademi mereka sendiri.

Perkara itu bagaimanapun disanggah oleh Burn yang bertanggapan Axello tidak menulis pendapat tersebut dengan fakta yang betul. Ini kerana Shola Shoretire pernah menyertai Newcastle United dan Manchester City sebelum memilih menyertai Manchester United pada usia 9 tahun.

Ia diikuti oleh satu tangkap layar yang dikongsi oleh Burn di akaun Twitter peribadi beliau sambil mendakwa Axello tidak buat homework sebelum memberi kredit kepada Manchester United.

Anda yang mengikuti kedua-duanya pasti ita tahu apa yang berlaku selepas itu. Walaupun kedua-duanya berada di platform media sosial yang berbeza, ia tidak menghalang perang dari berlaku. Ia ibarat perang cross-channel di media sosial di antara kedua-duanya.

Berikut adalah antara hujah kedua-duanya di dalam isu ini.

Perang di antara kedua-duanya menarik perhatian ramai netizen terutama di kalangan pengikut masing-masing.

Baiklah. Artikel ini enggan memihak kepada sesiapa walaupun secara peribadi, penulis juga mempunyai pendapat tersendiri.

Namun demikian ada tiga perkara yang menarik perhatian penulis mengenai ‘perang’ ini. Secara tidak langsung perang ini telah menyentuh tiga perkara iaitu anak jati, home-grown rules, dan fungsi akademi di dalam bola sepak.

Kalau ada yang masih berperang, sila buat gencatan senjata dulu dan kita ayuh kita kenali tiga perkara ini secara ringkas.

Anak jati dalam bola sepak

Konsep anak jati dalam bola sepak bermakna anak kelahiran negeri atau wilayah yang mewakili pasukan dari negeri dan wilayah kelahiran pemain.

Di era globalisasi, konsep anak jati di dalam bola sepak sudah dianggap tidak relevan. Seorang pemain yang lahir di Newcastle misalnya tidak semestinya akan beraksi untuk Newcastle United. Atau anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan tidak juga semestinya bersama TRW Kelantan FC.

Di Malaysia perkara ini adalah perkara biasa satu ketika dahulu ketika era semi pro dan sebelumnya. Namun ia tidak bermakna ia tidak diamalkan di luar negara. Althletic Bilbao misalnya masih mengekalkan pemain keluaran akademi Cantera ‘Made in Basque’ mereka.

Hanya pemain berasal dan berketurunan negara Basque sahaja yang layak bermain dengan mereka. Secara tidak langsung, Athletic Bilbao adalah kelab yang menghantar orang ‘negara’ Basque bermain mencabar pasukan lain di negara Sepanyol.

Secara geografinya, Basque ada 2 wilayah iaitu di Sepanyol dan juga di Utara Perancis. Untuk pengetahuan semua, dasar hanya Basque ini tidak ada tertulis dalam mana-mana peraturan dan perundangan kelab mereka.

Tetapi presiden kelab mereka menjadikan ia tanggungjawab sosial untuk meneruskan tradisi itu. Agak menarik kerana penyokong-penyokong Athletic Bilbao sentiasa berbangga dengan dasar ini.

Home-grown rules

Home-grown rules adalah merujuk kepada pemain yang dibangunkan oleh sesebuah kelab di England dan Wales. Peraturan ini mula diperketatkan pada sekitar 2011.

Ia wujud selepas aksi hambar England di kejohanan utama seperti Piala Dunia 2010 dan Euro sebelum itu.

FA mengambil langkah drastik dengan harapan peraturan ini akan membantu England dalam usaha untuk menjuarai Piala Dunia Qatar tahun hadapan. Home-grown tak semestinya berasal atau etnik daripada England atau Wales sahaja.

Namun mereka harus ada rekod didaftarkan bersama pasukan di England atau Wales sama ada secara 3 musim berterusan atau 36 bulan terkumpul sebelum mencecah usia 21 tahun ini merangkumi pasukan belia.

Contohnya, Fabregas dan Clichy masing-masing berasal dari Sepanyol dan Perancis tetap dianggap pemain home-grown Inggeris kerana mereka menyertai Arsenal pada usia belasan tahun dan didaftarkan di Arsenal lebih tiga musim.

Produk akademi

Rata-rata kademi bola sepak dunia yang dimiliki oleh kelab bola sepak selain akademi Cantera milik Athletic Bilbao tidak ambil peduli akan tempat kelahiran pemain.

Asalkan sahaja pemain itu mempunyai bakat, maka ia adalah tugas akademi untuk mengasahnya. Di England, akademi milik Manchester United dianggap paling berjaya kerana kesediaan pengurus skuad utama yang menitikberatkan isu pembangunan.

Buktinya di bawah kendalian Ole Gunnar Solksjaer sahaja, 13 pemain muda dari akademi Manchester United sudah pun merasai pengalaman beraksi bersama skuad utama.

Nama-nama seperti Marcus Rashford, Scott McTominay, Paul Pogba, Brandon Williams, Alex Tuanzebe, dan Mason Greenwood adalah antara pemain skuad utama Manchester United hasil dari akademi mereka sendiri sebelum ini.

Real Madrid pula dianggap sebagai kelab paling banyak menghasilkan pemain-pemain untuk skuad senior pasukan-pasukan dalam 5 liga terutama di Eropah (England, Itali, Sepanyol, Perancis dan Jerman) menurut laporan CIES Football Observatory pada 2017.

Hasil laporan ini merupakan testimoni kejayaan akademi Real Madrid, La Fabrica. Selama ini La Masia dianggap akademi paling prolifik di Eropah – selain akademi Ajax Amsterdam – dalam aspek penghasilan pemain-pemain muda berbakat.

Penutup

Anak jati atau tidak, atau sama ada pemain itu adalah dari kalangan home grown, akhirnya produk akhir yang akan diambil kira. Bukankah itu perkara yang lebih penting?

Dalam kita sedang dilanda kehangatan menjelang sepak mula Liga Malaysia yang rata-rata pasukan telah diswastakan, suka diingatkan agar peranan akademi turut diberikan penekanan oleh setiap pasukan.

Tiada gunanya kita gah dengan logo baharu dan jersi yang baharu dilancarkan andai akhirnya hanya memborong 7-10 pemain setiap musim – ibarat kitaran dan amalan wajib setiap tahun di Liga Malaysia.

Untuk Axello dengan Burn, anda boleh terus mengikuti mereka di platform masing-masing. Penulisan Axello boleh anda terus baca melalui Vocket FC dan Axello.Net, manakala rancangan Berbulu Dengan Burn pula adalah pada setiap Khamis jam 9 malam.

 

 

Page Semuanya BOLA yang lama kini sedang menghadapi masalah. Jadi untuk terus membaca artikel-artikel menarik dan berkualiti, jangan lupa like dan follow page baharu Semuanya BOLA (fb.com/semuanyabolaofficial) dan siaran Telegram (t.me/mysemuanyabola).

Baca juga artikel kami yang lain melalui pautan di bawah:

Kisah Ronaldinho Tertidur Dalam Kereta Sebelum Jaring 5 Gol Belasah Skuad Legenda Crespo & Scholes

5 Sebab Yang Boleh Sebabkan FSG Hilang Sabar Dan Pecat Jurgen Klopp Di Liverpool

3 Kelab Yang Boleh Disertai Dean Henderson Jika Terus Dipinggir Manchester United

5 Kelab Yang Mungkin Jadi Destinasi Sergio Aguero Yang Seterusnya

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply