‘Mereka Berdua Layak Jadi Kapten Pulau Pinang’

Azmi Muslim Casagrande Latiff Suhaimi Pulau Pinang 2020 Liga Premier

Berbaki dua hari sebelum sepak mula Liga Premier 2020, antara perkara menarik yang boleh dibicarakan adalah, siapa kapten skuad Pulau Pinang musim depan?

Dalam beberapa perlawanan persahabatan terkini, pengendali pasukan, Manzoor Azwira dilihat telah mencuba beberapa pemain antaranya Azmi Muslim dan juga Latiff Suhaimi sebagai kapten pasukan – kedua-duanya adalah muka baharu.

Adakah pemain yang baharu menyertai pasukan mampu menggalas tugas sebagai kapten Harimau Kumbang yang dalam misi penting, kembali ke Liga Super 2021?

Tiada masalah untuk melantik sesiapa menjadi ketua pasukan, yang penting adalah pemain tersebut berpengalaman dan dihormati semua pemain dalam pasukan.

Azmi Muslim dan Latiff Suhaimi, kedua-duanya sangat kaya dengan pengalaman bermain bersama pasukan-pasukan besar di Liga Super antaranya seperti Kedah dan Selangor. Itu kelebihan mereka disamping pernah mewakili skuad kebangsaan

Selain mereka, tiada lagi nama yang sesuai berada dalam senarai pemain di kem Pulau Pinang yang bakal didaftarkan untuk saingan Liga Premier musim hadapan.

Paling hampir mungkin adalah Syukur Saidin yang telah lama bersama pasukan sejak musim 2015, selepas meninggalkan Sime Darby FC yang diwakilinya sejak 2011.

Semuanya BOLA telah bertanyakan kepada Manzoor Azwira, sama ada beliau sudah menentukan kapten Harimau Kumbang untuk musim hadapan dan menurutnya, isu melantik kapten ini bukanlah perkara penting yang bermain di fikirannya saat ini.

Baginya, sama ada Azmi Muslim ataupun Latiff Suhaimi, kedua-duanya layak untuk mengetuai pasukan pada musim ini dan disebabkan itulah mereka telah diberikan peluang menjadi ketua pasukan dalam beberapa aksi persahabatan sebelum ini.

“Belum lagi [lantik kapten]. Tetapi, yang selalu dilantik jadi kapten, Azmi Muslim dan Latiff Suhaimi. Bagi saya, kedua-duanya kapten pasukan,” jelas Manzoor Azwira.

“Mereka layak untuk ketuai pasukan dan sesuai untuk jadi ketua pasukan. Masa perlawanan nanti kita akan tahu siapa kapten pasukan,” tambahnya lagi

“Macam saya katakan tadi, kedua-duanya layak. Dalam kebanyakan perlawanan [persahabatan], mereka adalah kapten,” jawab Manzoor Azwira lagi apabila diminta untuk memilih siapa yang lebih layak antara kedua-dua pemain tersebut.

Pada musim lalu, pemain import dari Korea Selatan, Kang Seung-jo merupakan kapten pasukan dan pada musim 2018, Azrul Ahmad adalah kapten – kedua-duanya kini telah menyarung jersi sebuah lagi pencabar di Liga Premier, Kelantan.

KREDIT FOTO: FA PENANG

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram