Menteri Sukan UK Sokong EPL Disambung Semula Secepat Mungkin

Menteri Kebudayaan, Media dan Sukan United Kingdom (UK), Oliver Dowden berkata beliau telah membuat perbincangan dengan Liga Perdana Inggeris (EPL) mengenai sasaran untuk menyambung semula aksi bola sepak di atas padang secepat mungkin.

Bercakap dalam sesi menjawab soalan di perlimen, Dowden berkata perbincangan dengan badan pengurusan liga itu adalah berkisar tentang beberapa kaedah untuk memastikan perlawanan bola sepak dapat diteruskan secepat yang mungkin bagi membantu komuniti bola sepak di negara itu.

Fokus utama kepada perancangan tersebut yang dilabel sebagai ‘Project Restart’ adalah untuk memastikan baki saingan EPL musim ini dapat dilengkapkan sepenuhnya.

“Namun sudah tentu kami faham, sebarang keputusan perlu selaras dengan saranan dan panduan dari pihak autoriti kesihatan,” katanya.

EPL telah pun ditangguhkan sejak 13 Mac lalu dan ia masih kekal digantung sekurang-kurangnya sehingga hujung bulan ini, namun perintah berkurung di UK masih berkuat kuasa sehingga 7 Mei.

Tetapi beberapa kelab seperti Arsenal, West Ham United, Tottenham Hotspur dan Brighton telah pun membuka pusat latihan mereka untuk pemain dan pegawai kejurulatihan mereka menjalankan latihan dengan mematuhi protokol penjarakan sosial.

Kelab-kelab tersebut memberi jaminan, pemain-pemain akan menggunakan kemudahan padang untuk latihan persendirian dan tidak akan membuat sebarang aktiviti secara berpasukan atau berkumpulan.

Perkembangan terbaharu melaporkan semua kelab EPL akan bermesyuarat pada Jumaat ini untuk kembali membincangkan tarikh yang sesuai untuk menyambung semula perlawanan dan kemungkinan besar seawal-awalnya adalah pada 8 Jun, iaitu sebulan selepas tamatnya perintah berkurung di UK.

Dengan larangan berkumpul di tempat awam dijangka tidak akan ditarik balik, semua perlawanan dijangka akan berlangsung secara tertutup tanpa kehadiran penyokong di stadium, tetapi ianya akan tetap bersiaran secara langsung di televisyen.

Namun, untuk memastikan projek ini dapat dilaksanakan, ia melibatkan prosedur yang cukup rumit terutamanya untuk memastikan semua pemain dan pegawai perlawanan yang terlibat tidak bercampur dengan orang awam.

Ideanya adalah semua perlawanan hanya akan berlangsung di gelanggang berkecuali dan berdekatan stadium itu mestilah mempunyai fasiliti pusat latihan dan tempat tinggal seperti hotel yang berdekatan bagi memudahkan pergerakan setiap pasukan bertanding.

Jadi di antara isu yang diperdebatkan dalam mesyuarat pada Jumaat ini adalah stadium mana yang akan diluluskan untuk dijadikan venue berkecuali tersebut.

Baca juga artikel kami yang lain mengenai Liga Perdana Inggeris:

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply