Menjawab Stigma Messi Akan Gagal Bersama Kelab Lain Selain Barcelona

Ia amat hampir. Namun akhirnya tidak berlaku. Musim panas lalu, Lionel Messi dikhabarkan akan meninggalkan Nou Camp dan akan berhijrah ke Manchester City untuk menyertai Pep Guardiola.

Desas desus perpindahan tersebut seolah-olah bakal menjadi kenyataan setelah krisis Messi bersama pihak pengurusan Barcelona. Pemain itu bagaimanapun terpaksa tunduk dengan baki kontrak setahun dan kekal di Nou Camp.

Perpindahan Messi menyertai Manchester City sekali lagi menjadi bualan pada Januari ini. Namun ia semakin jelas jika perpindahan tersebut berlaku, maka semua pihak harus menunggu sehingga musim panas 2021.  Man City kekal sebagai pasukan pilihan untuk Messi di sebalik minat sama ditampilkan PSG untuk pemain tersebut kerana faktor Pep Guardiola.

Di sebalik kisah Messi bakal beraksi bersama Man City, tidak kurang juga sebenarnya yang memperlekehkan kemampuan bintang Argentina itu yang tidak pernah diuji beraksi bersama pasukan lain di liga lain.

Mampukah Lionel Messi beraksi dalam keadaan cuaca sejuk, pada malam yang basah kerana hujan di England?

Kapten Argentina itu telah melalui banyak musim yang menakjubkan sepanjang beliau bersama Barcelona.

Namun kemampuan Lionel Messi untuk menyerlah di Liga Perdana Inggeris adalah satu soalan yang sering menjadi perdebatan di kalangan penyokong.

Rekod Messi vs pasukan Inggeris

Untuk kita jadikan rujukan, Messi sebenarnya mempunyai rekod yang amat baik membolosi gawang pasukan Inggeris ketika bersama Barcelona.

Beliau telah menjaringkan gol dalam pertemuan menentang Manchester United pada 2009 dan perlawanan akhir Champions League pada 2011.

Tidak dilupakan juga, Messi telah menjaringkan empat gol dalam perlawanan menentang Arsenal pada 2010.

Berdasarkan rekod daripaa OPTA, pemain produk akademi La Masia itu telah menjaringkan 26 gol ketika berhadapan lawan dari England.

Walaupun dengan rekod baik itu, masih ramai yang meragui kemampuan Messi.

Perdebatan Petit & Lineker

Pada Februari, bekas pemain Arsenal Emmanuel Petit berpendapat Messi bukan pemain yang sesuai untuk aksi di Premier League.

“Secara jujur saya katakan dia tidak sesuai untuk intensiti di England,” kata Petit kepada Mirror.

“Dia tidak suka ruang ditutup, dan dicabar. Di Sepanyol, Messi dilindungi.”

Pendapat tersebut bagaimanapun disanggah oleh Gary Lineker yang turut pernah beraksi bersama Barcelona pada pertengahan 1980an.

Berkongsi pendapat beliau di Twitter, Lineker berpendapat apa yang Petit katakan tidak berasas.

“22 gol dari 30 perlawanan menentang enam pasukan terbaik dari Liga Inggeris,” kata Lineker.

“Ianya tidak berasas untuk berkata beliau [Messi] tidak akan mampu memusnahkan mana-mana pasukan lain di sini.

“Beliau juga mempunyai kekuatan seperti seekor seladang…. menjadikan beliau seorang GOAT.”

Itu adalah antara perdebatan yang dpat dilihat. Kami pasti anda juga mempunyai pendapat masing-masing dalam hal ini.

Rumusan

Malang sekali kita masih belum berkesempatan untuk melihat aksi Messi di Premier League.

Beliau akan berusia 33 tahun pada Jun nanti dan memilih untuk bersama Barcelona pada ketika prestasi terbaik beliau kini berada di penghujung.

Messi turut pernah berkata beliau akan kembali ke Argentina untuk beraksi kelab yang beliau sokong sejak zaman kanak-kanak, Newell’s Old Boys.

“Ia adalah Newell’s, tidak ada tempat lain lagi. Saya mahu beraksi di sana sekurang-kurangnya selama 6 bulan, tetapi anda tidak akan pernah tahu apa yang akan berlaku pada masa depan.

Secara harfiahnya, Messi sudah tidak ada apa-apa lagi untuk dibuktikan. Dan mungkinkah beraksi dalam keadaan cuaca sejuk, pada malam yang basah kerana hujan di England adalah cabaran yang melampau untuk Messi?

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply