Mengimbau Kebangkitan Hebat Newcastle United Dalam Kempen Liga Juara-Juara Eropah 2002/03

Newcastle United

Newcastle United bukanlah sebuah pasukan yang kerap bersaing di pentas Liga Juara-Juara Eropah seperti kelab-kelab gergasi Inggeris yang lain.

Musim 2002/03 bagaimanapun memberikan makna yang cukup besar buat The Magpies apabila mereka berjaya meloloskan diri ke saingan paling berpestij di Eropah itu.

Newcastle mendapat peluang keemasan tersebut selepas menamatkan kempen Liga Perdana Inggeris 2001/02 di tempat keempat dengan Alan Shearer menjadi tunjang utama buat pasukan.

Sebelum merasai saingan sebenar, skuad yang ketika itu dibimbing mendiang Sir Bobby Robson berjaya melepasi pusingan kelayakan ketiga selepas menundukkan wakil Bosnia, FK Željezničar Sarajevo 5-0 secara agregat.

Tewas pada tiga perlawanan awal

Newcastle telah diundi dalam kumpulan E untuk bersama-sama dengan gergasi Itali, Juventus, Feyenoord dan Dynamo Kiev.

Beraksi di pentas Eropah bukanlah semudah yang disangka. Hal ini terbukti setelah Newcastle United mengalami kekalahan pada tiga perlawanan awal.

Soccer : Feyenoord – Newcastle, Emerton Brett, Shearer Alan, Bosvelt Paul, United Fc, Champions League, Uefa, (Photo by Tim De Waele/Getty Images)

Lebih parah buat Newcastle United apabila mereka gagal menjaringkan sebarang gol pada tiga perlawanan tersebut.

Mereka tumpas 0-2 di Kiev, 0-1 menentang Juventus dan 0-2 ketika berdepan Feyenoord.

Kebangkitan hebat untuk layak ke pusingan kedua

Walaupun peluang tampak cukup sukar buat Newcastle tetapi kejayaan menumpaskan Juventus 1-0 di St James’ Park pada 23 Oktober 2002 telah mengubah segalanya.

Pemain pertahanan, Andy Griffin muncul wira selepas jaringan tunggalnya pada minit ke-62 berjaya menghidupkan kembali sisa perjuangan Newcastle United.

NEWCASTLE – OCTOBER 23: Newcastle celebrate Andy Griffin’s goal during the UEFA Champions League, Group E match between Newcastle United and Juventus at St. James’ Park in Newcastle on October 23, 2002. (Photo By Stu Forster/Getty Images)

Berselang enam hari kemudian di gelanggang yang sama, penyokong Newcastle United terus melonjak kegembiraan hasil kemenangan 2-1 bertemu Dynamo Kiev.

Tersentak dengan jaringan pendahuluan pasukan pelawat menerusi Maksim Shatskikh ketika perlawanan babak kedua baru berusia dua minit, Newcastle United kembali menyamakan kedudukan pada minit ke-58 hasil jaringan mendiang Gary Speed.

Jaringan penalti Alan Shearer di minit ke-69 mengesahkan kemenangan kedua Newcastle United.

Perlawanan hidup mati & impak Craig Bellamy

Aksi terakhir peringkat kumpulan pada 13 November itu jelas merupakan ‘misi hidup mati’ buat Shearer dan rakan sepasukannya di mana Newcastle berdepan Feyenoord di De Kuip Stadium dan Dynamo Kiev menanti kunjungan Juventus.

Juventus sudah mengesahkan kemaraan ke pusingan seterusnya manakala Newcastle wajib mencatatkan kemenangan dan mengharapkan Dynamo Kiev tewas untuk mengiringi wakil Itali itu.

ROTTERDAM – NOVEMBER 13: Craig Bellamy of Newcastle United scores the first goal during the UEFA Champions League, Group E match between Feyenoord and Newcastle United at the De Kuip Stadium in Rotterdam, The Netherlands on November 13, 2002. (Photo by Stu Forster/Getty Images)

Segalanya seperti berada di landasan yang tepat buat Newcastle apabila mendahului Feyenoord 2-0 menerusi jaringan Craig Bellamy dan Hugo Viana.

Mariano Bombarda dan Anthony Petrus Lurling memadam kelebihan dua jaringan tersebut pada minit ke-65 dan 71.

Ketika Juventus sedang mendahului Dynamo Kiev 2-1, Bellamy melengkapkan malam gemilang buat The Magpies apabila beliau menolak masuk bola susulan percubaan awal diledakkan Kieran Dyer berjaya ditepis penjaga gol, Patrick Lodewijks untuk kemenangan 3-2 memihak Newcastle.

Kejayaan bermakna itu sekaligus membawa Newcastle United ke pusingan kedua peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Eropah.

Ia turut menjadikan Newcastle satu-satunya pasukan yang tewas pada ketiga-tiga perlawanan awal tetapi masih mampu layak ke pusingan seterusnya.

Rumusan

Pada pusingan kedua, Newcastle berada satu kumpulan dengan Barcelona, Inter Milan dan Borussia Dortmund.

Mereka bagaimanapun gagal meneruskan kemaraan ke saingan kalah mati selepas menamatkan saingan di tempat ketiga dengan tujuh mata.

Pencapaian ini mungkin tidaklah begitu membanggakan bagi pasukan gergasi Eropah tetapi apa yang telah dilakukan Newcastle United pada musim 2002/03 pasti akan menjadi antara kenangan indah di minda dalam kalangan The Toon Army.

Mungkinkah detik seperti ini akan sekali lagi dirasai Newcastle United?

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply