Mengenang Skuad Legenda Double Treble Kedah 2007-2008 Yang Pulun Habis

Inilah skuad terbaik pernah Kedah miliki sepanjang 94 tahun penubuhan bola sepak Kedah dan 30 tahun sejak bergelar Sang Kenari.

Kita tahu mereka adalah Double Treble tapi adakah kita ingat lagi memori indah mereka? Jom ikuti perjalanan mereka disebalik kejayaan dikecapi.

30 Jun 2007 – Juara Piala FA

Menewaskan pasukan Perlis menerusi penentuan sepakan penalti.Kedah menang 4-2. Badi keatas Perlis harus dihapuskan terutama bola baling Adrian Jurad Chamrong masih menghantui kami penyokong Kedah sejak 2004.

Jalan jam 3 kilometer nak ke Stadium Batu Kawan. Kerabat diraja Sultan Kedah pun terpaksa jalan kaki selama 45 minit nak ke Stadium.

Manakala pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizzuddin lebih bernasib baik apabila dapat juga naik motosikal polis.

Wisel bermula, Azraai Khor tenang di tepi padang dengan berbaju merah jambu dan Kedah turun ke medan perang tanpa Marlon.

90 minit yang amat seram sejuk. Kedah banyak diasak oleh 2 awang import berbisa pasukan Perlis, iaitu Chipeta dan Simukonda.

Dalam penetuan penalti, Bunyamin mara dan skor. Simukonda gagal pada sepakan kedua Perlis. Hasmawi mara, dan gol.

Kemudiannya, Shafizan Pelam pun skor. Sabree ‘Abah’ melangsaikan badi sekaligus gol ke-4 Kedah. Kedah berpesta di Batu Kawan untuk Piala FA!

1 Julai 2007, angka 111

Ekoran persembahan cemerlang dari 2006 ke 2007,Kedah menerima pengiktirafan tertinggi pernah kelab Malaysia capai dengan berada diranking 111 dunia menerusi ranking keluaran International Federation Of Football.

Kedah memungut 108 mata dan naik dari nombor 163 ke nombor 111. Kedah mengatasi beberapa kelab-kelab liga utama Eropah seperti PSG, Man. City dan Racing Satander.

Sapa yang sempat sambar T-shirt edisi khas dulu. Kalau ada hari ini memang ia barang rare.

4 Ogos 2007 – Juara Liga Super

Kedah dan Perak terikat 49 mata berbaki 2 perlawanan. Perak seri bertemu Terengganu manakala Kedah menang 7-0 keatas Negeri Sembilan. Ini menjadikan mata kini Kedah 52 mata dan Perak 50 mata.

Perak menang ke atas Sarawak untuk 53 mata. Perlawanan Kedah pula sedikit lewat di negara jiran.Kami bersabar mendengar radio Kedah FM nun jauh di sini. Akhirnya goooolll oleh K.Soley (Solihin Kanasian).Kedah menang keatas Brunei untuk mata ke 55.Fuhh memang epik.

8 September 2007 – Juara Piala Malaysia

Kedah dan Perak lagi. 81,000 orang membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil. Dua penyerang sensasi bertemu Keita Mandjaou vs. Marlon Alex James.

Kedah menerusi 4-4-2 menentang Perak menerusi 3-5-2. Minit 21 Khyrill Muhymeen membuat Stadium gempak gempita apabila meledak gol pertama.

Baru bersorak dan dahaga,kami meneguk air coke dan tiba-tiba Marlon meledak half-volley padu minit ke-22, tumpah habis air coke atas baju.

Selepas rehat, Marlon melengkapkan koleksi 40 gol pada minit 83 perlawanan untuk Kedah muncul Treble musim 2007.

30 Mac 2008 – Juara TM Liga Super

Misi pertahan gelaran bermula.Minggu 21 Kedah sudah sah sebagai juara Liga Super. Musim ini bermula pada 18 November 2007.

Musim agak mudah buat juara bertahan ini dengan memungut 56 mata jauh didepan Negeri Sembilan ditangga ke-2 liga. Kedah menghasilkan 55 gol memperbaiki rekod musim lalu 48 gol.

Marlon menang Kasut Emas musim tersebut.

21 Jun 2008 – Juara Piala FA

Misi pertahan gelaran lagi. Sekali lagi final Piala FA tanpa Marlon. Selangor laung amaran untuk menuntut bela selepas Kedah membelasah mereka 6-2 dalam aksi Liga Super lalu.

Wisel bermula dan baru minit ke-2 gooll Fadzly Baharom entah dari mana tiba-tiba keluar kaki untuk gol awal.

Minit ke-13 Selangor bayar balik menerusi Amirulhadi selepas pertahanan Kedah terlena sekejap. Perlawanan terus rancak dihadapan 60,000 penyokong.

Minit ke-33 Khyril Muhymeen kembali meletakkan Kedah didepan menerusi gerakan satu dua bersama Nelson. Syafiq Jamal mengandakan kedudukan kepada 3-1 minit ke-50.

Penalti! Selangor merapatkan kedudukan 2-3 menerusi Frank Seator. Sabree ‘abah’ Abu masuk minit ke-70 dan minit ke-75 kena kad merah. Kedah terpaksa park the bus sebelum sah pertahan kejuaraan di Shah Alam.

11 Ogos 2008 – Baddrol tembusi gawang Brazil

Kedah bertemu Brazil. Negeri bertemu Negara. Satu perlawanan amal dianjurkan oleh Persatuan Keagamaan di Brazil bagi memungut dana mangsa ribut di Myanmar yang digelar Jelajah Brazil ke Asia Tenggara.

Kedah dipilih penganjur selepas muncul treble musim lalu. Perlawanan berat sebelah dengan Brazil mengasak Kedah dari awal sampai habis.

Kami bersorak setiap kali Brazil skor gol. Keterujaan melihat skuad Brazil didepan mata kot. Brazil bersamba dan Kedah tewas 4-1 tapi ia adalah sejarah yang ramai patut tahu hari ini. Nostalgia.

23 Ogos 2008 – Juara Piala Malaysia

Misi pertahankan treble kini meniti dibibir penyokong. Kedah benam Terengganu dan Selangor benam Johor FC. Di Bukit Jalil pula kali ini,lautan Hijau Kuning dan Merah Kuning bersatu tapi Kedah macam biasa lah lebih ramai dengan 40,000 sementara Selangor yang dekat pun 20,000 sahaja.

Wisel bemula dan sorakan bergema. Minit ke-6 sepakan percuma Indra Putra gagal ditangkap kemas oleh Helmi Eliza sebelum Frank Seator kuis bola masuk. Seator menari tango didepan penyokong Selangor.

Kedah tertekan dengan misi treble dan bermain santai. Minit ke-32 barulah Kedah pamer taring sebenar terutama selepas Sufian Abd Rahman cemerlang sebelum itu.

Marlon menerima thru ball dari Nelson sebelum memperdaya Evan Chisulo dan Razman Roslan sebelum merembat padu. Pengulas Zainal Abidin Rawop menyebut nama Usain Bolt kerana Marlon mencium kasutnya selepas meledak gol. Satu keraian yang ikonik dalam sejarah bola sepak kita.

Gegak gempita stadium diteruskan minit ke-33 apabila bola rebound Nelson umpama peluru bazooka menerjah gawang.

Selangor hilang arah dan minit ke-38 Fadzly Baharom menjadikan 3-1 selepas kecuaian Razman yang gagal mengeluarkan bola. Razman dilihat kena ‘sound’ dengan Sufian lepas gol itu.

Babak kedua, Kedah menurunkan tempo perlawanan dan lebih bersantai sehingga Safee Sali melakukan rembatan jurus angin minit 78 untuk gol ke-2 Selangor. Wisel ditiupkan dan tamat, Kedah melengkapkan misi pertahan treble dan muncullah gelaran double treble milik Kedah.

1 Oktober 2008 – Di ranking 157 dunia

Kedah nombor 157 dunia.International Federation Of Football mengeluarkan ranking pada Oktober 2008 dan Kedah berada di tangga 157 dunia.

Rekod Kedah musim 2008 lebih mendatar berbanding 2007 dan kutipan mata sedikit menurun. Kedah kekal mengatasi beberapa kelab eropah seperti Atletic Bilbao Ajax Amsterdam, West Ham dan Real Mallorca.

Mungkin ketiadaan medan laman sosial antara faktor cerita ini kurang diingati tapi bagi kami, setiap kejayaan itu masih tersemat difikiran buat selamanya.

2 tahun berturut-turut mereka menyapu bersih kesemua kejohanan major domestik. Ini antara wajah yang akan kami rindui

Nota Editor: Artikel asal daripada Don K-rul Izham dan disunting semula oleh semuanyaBOLA atas kebenaran pemilik artikel.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN