Mengenang Pertembungan Malaysia & Uzbekistan Lebih Sedekad Lalu

Malaysia Uzbekistan 2007 Piala Asia

Malaysia akan turun menentang Uzbekistan dalam aksi persahabatan malam ini dan tiga rekod pertembungan terakhir kedua-dua pasukan jelas langsung tidak memihak kepada Harimau Malaya dengan nota kekalahan.

Namun, dalam dua aksi terakhir, Malaysia sekurang-kurangnya telah berjaya merobek gawang mereka menerusi Baddrol Bakhtiar dan Zaquan Adha, kedua-duanya dalam pusingan kelayakan Piala Asia 2011 pada 2009 – Malaysia tewas 1-3 dalam kedua-dua perlawanan. Sebelum itu, Malaysia tumbang tiga kali iaitu 0-3, 0-5 dan 0-5.

Lebih sedekad yang lalu, Malaysia telah tumbang dengan kekalahan yang memalukan iaitu tewas 0-5 dalam aksi kedua Kumpulan C, Piala Asia 2007 pada 14 Julai di Stadium Bukit Jalil. Ia kekalahan kedua Malaysia.

Malaysia sah tersingkir daripada kejohanan yang pertama kali disertai atas tiket tuan rumah. Sebelum itu, Malaysia tewas 1-5 kepada China dalam aksi pembukaan – satu gol oleh Indra Putra Mahayudin.

Malaysia yang dibimbing Norizan Bakar ketika itu membuat empat perubahan dalam kesebelasan utama dengan kemasukkan dua pemain untuk kukuhkan benteng iaitu V.Thirumurugan dan K.Nanthakumar serta Mohd Ivan Yussof dan Indra Putra – pencetak gol selepas masuk sebagai pemain gantian berdepan China.

Bagi yang hadir ke stadium, anda tentunya masih ingat perlawanan ini. Berbanding aksi pertama, bilangan penyokong berkurangan mendadak daripada lebih 21,000 ketika berdepan China kepada lebih 7,000 sahaja.

Mungkin semua penyokong sudah kehilangan harapan selepas persembahan longlai dalam aksi pertama.

Malah ada di kalangan 7,000 yang hadir dalam perlawanan ini turut bersorak ketika Uzbekistan meledak gol.

Bagi yang menyaksikannya di kaca televisyen, semua pasti masih terkenang ulasan dua personaliti sukan tanah air yang kini sudah meninggalkan kita, Allahyarham Hasbullah Awang dan Allahyarham Azman Eusoff.

Ini perlawanan tumpuan dan ‘hidup mati’ skuad negara yang ketika itu diketuai oleh bek tengah, Kaironnisam Sahabudin dengan jersi nombor 7 – sebagaimana yang dipakai Aidil Zafuan Abdul Razak pada ketika ini.

Untuk rekod, sebelum aksi bermula, sejarah pertembungan Malaysia dan Uzbekistan tidak pernah memihak kepada Malaysia apabila Harimau Malaya tumbang tanpa berjaya meledak sebarang jaringan gol pun.

Malaysia tampil dengan permainan yang lebih berhati-hati dan bertahan sambil menanti peluang untuk membina serangan balas pantas ke kubu lawan. Namun, jentera tengah yang digerakkan oleh Shukor Adan, Shahrulnizam Mustapa, Hardi Jaafar dan Mohd Ivan Yussof tampak gagal untuk mencatur serangan balas.

Minit ke-10, kapten dan penyerang Uzbekistan, Maksim Shatskikh meletakkan mereka di depan apabila mudah menewaskan Azizon Kadir di sudut kanan gawang gol. Sepakan percuma Server Djeparov mudah melepasi kawalan benteng pertahanan skuad kebangsaan seterusnya menemui Shatskikh yang tidak dikawal.

Minit ke-30, rentetan terlepas kawalan bola di zon middle third oleh bek sayap, Thirumurugan dan Hardi Jaafar menyaksikan Timur Kapadze pula meledak jaringan kedua. Dan sebelum rehat, kesilapan Azizon Kadir keluar merempuh penyerang lawan menghadiahkan sepakan penalti yang disempurnakan Ulugbek Bakayev.

Malaysia berjaya mengekang lawan menambah jaringan sejak babak kedua bermula, namun lima minit menuju penamat, Harimau Malaya melepaskan dua lagi gol menerusi Aziz Ibrahimov (85′) dan Maksim Shatskikh (89′).

Apa yang boleh dipelajari daripada aksi tersebut? Perkara pertama adalah komunikasi di benteng yang tampak ‘hilang’ antara Kaironnisam Sahabudin dan Nanthakumar. Boleh lihat bagaimana gol kedua lawan terhasil.

Keduanya adalah kombinasi pergerakan dan kawalan bola yang tidak menjadi. Jentera tengah skuad negara ‘dimatikan’ terus oleh Uzbekistan. Ini yang kita harapkan tidak akan terjadi pada perlawanan malam nanti.

Seterusnya, penjaga gol Negeri Sembilan, Azizon Kadir yang gagal menampilkan prestasi baik apabila mudah memberikan lawan gol, malah menghadiahkan lawan sepakan penalti yang tak perlu. Beliau terlalu awal keluar meninggalkan posisinya walaupun terdapat dua pemain pertahanan ada untuk memberikan pelindungan.

Dan mungkin yang terakhir adalah, hormatilah pasukan kebangsaan kita waima bagaimana pun prestasi mereka. Sangat menyedihkan apabila pengulas berbahasa Inggeris di Fox Sport turut menyebut ”Even the Malaysian fans are cheering,” selepas Uzbekistan meledak jaringan terakhir perlawanan pada malam itu.

Melihatkan cara permainan saat berdepan Jordan tempohari, penulis terkenangkan apa yang boleh berlaku jika prestasi sebegitu berulang. Harimau Malaya mungkin akan menerima musibah yang sama seperti di Piala Asia.

Tidak dinafikan ini berlaku akibat perubahan besar dalam skuad kebangsaan oleh Tan Cheng Hoe. Diharapkan satu-satunya pemain yang berbaki daripada skuad tewas besar pada 2007 itu akan mempelajari sesuatu dan membimbing rakan-rakannya malam ini iaitu kapten, Aidil Zafuan – pemain termuda Malaysia ketika itu.

Dan yang menariknya, selepas tersingkir daripada Piala Asia inilah, Ultras Malaya rasmi tertubuh. Ketika saingan ini, mereka bersorak di stadium bersama sebuah laman forum penyokong, HarimauMalaya.com (HMC).

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN