Memphis Depay: “Siapa Kata Saya Menyesal Sertai Barcelona?”

Memphis Depay Barcelona

Memphis Depay bingung memikirkan dakwaan yang mengatakan beliau menyesal memilih untuk menyertai Barcelona pada musim ini.

Bintang Belanda itu merupakan di antara pemain bintang yang tiba di Nou Camp secara percuma pada jendela pepindahan musim panas lalu ekoran masalah kewangan yang sedang dihadapi oleh kelab Catalan tersebut yang terbeban dengan hutang berjumlah €1.4 bilion (RM6.78 bilion).

Situasi kritikal itu turut menyebabkan pemain legenda mereka Lionel Messi terpaksa meninggalkan pasukan selepas Barcelona tidak mampu untuk membayar gajinya disebabkan peraturan kawalan ekonomi (ECP) yang ditetapkan oleh La Liga.

Sudahlah Kalah, Gaji Siling Pemain Barcelona Terpaksa Dipotong Lagi

Hasilnya pasukan berkenaan begitu bergelut sejak awal musim ini terutamanya dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) di mana mereka tewas 3-0 dalam dua perlawanan pertama peringkat kumpulan sebelum ini sebelum tewas pula kepada Atletico Madrid dalam aksi liga tempoh hari.

Keadaan ini memberikan tekanan kepada pengurus Ronald Koeman yang dilihat agak buntu dalam membentuk ‘Barcelona baharu’ pasca ketiadaan Messi.

Namun bagi Depay, ia tidak sama sekali bermaksud beliau menyesal berpindah ke Barcelona.

“Macam mana awak bolah kata begitu? Ini Barcelona,” kata pemain berusia 27 tahun itu dalam temubualnya bersama ESPN.

“Saya tak rasa awak faham betapa besarnya kelab ini dan apa maknanya bagi seorang pemain jika dapat menyertai kelab seperti ini. Saya takkan sama sekali menyesalinya. Walauapun keputusan beberapa perlawanan tidak begitu baik, saya sangat gembira dapat berada di sini.

“Mungkin ini tempoh sukar untuk pasukan, saya tidak mahu bercakap terlalu banyak mengenainya, tetapi semua orang bercakap seolah-olah musim ini sudah berakhir. Ada banyak lagi perlawanan, segalanya masih terbuka.

Depay menikmati permulaan hebatnya pada awal musim ini dengan menjaringkan dua gol dalam tiga perlawanan pertama La Liga, tetapi sejak kebelakangan ini beliau seolah-olah agak buntu untuk mendapatkan kembali rentak terbaiknya.

Beliau kini fokus untuk membantu skuad kebangsaan Belanda dalam aksi kelayakan Piala Dunia menentang Latvia pada Sabtu ini di tempat lawan sebelum menanti kunjungan Gibraltar empat hari kemudian.

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply