Memahami Perang Liverpool Dan New Balance Kerana Nike

Baru-baru ini New Balance telah menyuarakan bahawa mereka mahu mengambil tindakan perundangan ke atas Liverpool, jika pasukan tersebut meneruskan rundingan dengan Nike, tanpa membuka pintu persaingan kepada mereka.

Perkara ini sebenarnya harus difahami secara mudah. Kontrak semasa Liverpool dan New Balance akan berakhir pada musim ini. Oleh itu, Liverpool bebas dalam mencari penaja baharu untuk jersi mereka.

Dalam kontrak pula termaktub bahawa, New Balance harus diberikan peluang untuk mengemukakan bidaan sebaik sahaja ada pembuat jersi yang lain melakukan bidaan mereka.

Dalam kes ini, Liverpool sebenarnya telah mengawal situasi. Dan New Balance pula cuma mahu memastikan Liverpool transparen dengan mereka tentang angka tajaan.

Berikut adalah kenyataan oleh New Balance:

“New Balance bangga menjadi penaja kit rasmi Liverpool Football Club Sejak 2011, apabila kami mulai menaja kelab dengan rekod tajaan –  kami telah menghasikan dua jersi ‘home’ dengan jualan tertinggi untuk peminat Liverpool – dan kami terus memadankan cita-cita dengan pencapaian kelab ini kerana ia bertambah kuat.”

“Sebagai penaja lama dan penaja yang komited, kami berminat untuk meneruskan perkongsian kami dengan Liverpool dan memperbaharui perjanjian kami pada tahun 2020. Ini selaras dengan klausa kontrak yang kami ada sekarang, kami menyamaai tawaran yang dibuat oleh Nike.”

“Sebagai sebahagian daripada proses pembaharuan kontrak, LFC telah mewujudkan beberapa persoalan dalam perjanjian [kontrak]. Oleh itu kami meminta mahkamah menjelaskan kepada kami mengenai kes ini.”

“Kami dan kelab berminat untuk menyelesaikan sebarang pelanggaran kontrak secepat mungkin dan telah bersetuju dengan proses di mahkamah dipercepatkan.”

“New Balance bersemangat dan yakin untuk mengekalkan penajaan ke atas Liverpool Football Club dan kami berharap dapat meneruskan kejayaan kami sebagai pembekal kit LFC.”

Daripada kenyataan ini, kami tidak nampak sebarang keburukan situasi ini kepada Liverpool. Malah ia telah memberikan kesedaran kepada dunia, bahawa Liverpool kini telah menjadi rebutan 2 jenama.

New Balance dengan jelas mahu mendapatkan kejelasan daripada mahkamah dan  cuba untuk mendapatkan pampasan jika ada unsur-unsur pelanggaran kontrak. Ini kerana, menurut pandangan mereka berlaku kelompongan pada pihak Liverpool yang membelakangkan mereka dalam perbincangan ini.

Namun harus diingat, Liverpool mengawal keadaan lebih daripada Nike mahupun New Balance. Dan ini secara tak langsung memberikan kesedaran kepada Nike bahawa mereka tidak ada ruang selesa dalam perbincangan ini.

Jenama yang dianggap kerdil iaitu New Balance sudah bersedia untuk ‘all-in’ menyaingi jenama gergasi seperti Nike. Ia kes yang menarik.

Kuasa ekonomi

Dari segi kuasa ekonomi, agak sukar untuk New Balance menandingi Nike. Ini bukan soal rekaan jersi lawa, ataupun mempertimbangkan mereka sudah bersama Liverpool sejak 2011 lagi.

Ramai penyokong menyatakan, New Balance telah bersama Liverpool ketika mereka jatuh dan bangun. Jika mahu berbicara soal jatuh bangun Liverpool, Adidas lebih berhak untuk bercakap tentangnya. Biar penulis ingatkan anda dengan gambar ini.

Dan ketika Liverpool diambil alih oleh FSG, ia adalah transisi kepada Liverpool yang lebih baik. Dan ketika itu, Warrior menjadi penaja jersi Liverpool.

Selepas itu, barulah New Balance, memperluaskan lagi jenama mereka dalam tajaan pasukan bola sepak, ketika Liverpool mulai menstabilkan semula kelab mereka. Liverpool boleh dikatakan pasukan paling besar dalam senarai tajaan New Balance di lapangan bola sepak.

Sebaliknya, Liverpool berhak menerima kredit dalam kejayaan New Balance meningkatkan pasaran dan jualan mereka berbanding dengan kredit yang dinyatakan di perenggan di atas, walaupun Liverpool bukanlah pihak yang menggerakkan perniagaan New Balance. Ianya kerana kuasa publisiti.

Kejayaan Liverpool di atas padang tidak boleh diambil kredit berlebiha oleh New Balance. Garis ‘claim’ itu hanyalah pada nilai sentimental dan emosi. Di mana para penyokong akan teringat jersi keramat yang digunakan menjulang UCL itu sampai bila-bila.

Ianya lebih kepada usaha pengurusan dan juga pengurus seperti Jurgen Klopp yang melakukan transisi kepada pasukan.

Van Dijk
MADRID, SPAIN – JUNE 01: Virgil van Dijk of Liverpool lifts the Champions League Trophy after winning the UEFA Champions League Final between Tottenham Hotspur and Liverpool at the Wanda Metropolitano in Madrid, Spain on June 01, 2019.
(Photo by Burak Akbulut/Anadolu Agency/Getty Images)

Jika mahu mempertimbangkan New Balance telah bersama Liverpool dalam membentuk kejayaan Liga Juara-Juara Eropah, secara tak langsung Liverpool telah menggunakan emosi berbanding dengan rasional dalam mempertimbangkan tawaran.

Hakikatnya, Liverpool telah menjadikan New Balance sebagai jenama yang lebih kukuh berbanding sebelum ini, terutama sekali di arena bola sepak. Liverpool telah membuatkan New Balance mengaut banyak keuntungan sepanjang tempoh kontrak tajaan dengan jualan pelabagai jenis produk, dan menggunakan pemain Liverpool secara eksklusif.

Bukan New Balance yang bermain di pentas final UCL. Tetapi Liverpool yang bermain dengan menggunakan jersi buatan mereka.

Kenapa Liverpool perlukan tajaan mega?

Liverpool perlu untuk mendapat tajaan mega ini. Mereka bukannya seperti Manchester United yang memiliki sumber kewangan yang sangat besar.

Kejayaan Liverpool menjuarai Liga Juara-Juara Eropah dan juga kejayaan mereka berada di pertandingan utama kelab Eropah telah menjadikan Liverpool magnet penaja besar sekali lagi.

Secara tak langsung Liverpool telah menunjukkan mereka benar-benar berada di landasan yang tepat dalam projek mereka.

Buat masa ini, Liverpool menerima tajaan £45 juta semusim daripada New Balance. Dan Nike telah memulakan perbincangan dengan kontrak sekitar £75 juta semusim, sebagai pembuka bicara. Itu merupakan angka yang diterima oleh Manchester United dengan Adidas pada ketika ini.

Jika perbincangan dilakukan dnegan lebih baik, Liverpool boleh mendapat tajaan yang lebih tinggi daripada £75 juta semusim itu.

Senario tajaan jersi di Eropah

Kelab EPL, Man City musim ini berjaya mendapatkan tajaan daripada Puma dan meninggalkan Nike. Tanpa perlu kisah tentang Nike berjaya berkongsi detik manis bersama mereka meraikan kejuaraan treble domestik.

Arsenal turut meninggalkan Puma dengan menerima tawaran Adidas dengan rekod  £300 juta secara keseluruhan.

Manchester United beberapa musim lalu, berjaya mendapatkan tajaan £750 daripada Adidas untuk 10 tahun. Ini bermakna, Adidas membayar mereka £75 juta semusim.

Pada November 2018, Real Madrid berjaya memecahkan rekod tajaan dengan Adidas. Di mana Real menerima tajaan £98 juta semusim. Dan musim lalu Barcelona mengatasi semula Real Madrid dengan rekod tajaan £100 juta semusim.

Musim lalu, peguam sukan – yang pakar dalam analisis tajaan seperti ini – Jake Cohen menyatakan tajaan jersi yang tinggi sangat penting.

“Tajaan jersi bukan lagi tajaan yang berbentuk tradisional. Ianya melibatkan banyak perkara termasuk perlesenan, dan kebenaran untuk sesebuat pembuat jersi memasarkan jersi mereka.”

“Kelab akan menerima bayaran dengan kaedah tradisional. Sebagai contoh, Manchester United menerima tajaan tahunan £75 juta, Chelsea – £60 juta. Kemudiannya, 10-15% daripada jualan jersi ini akan dibahagikan kepada kelab dan pemain.”

Anda jangan terkeliru dengan menyatakan bahawa kelab medapat berpuluh juta daripada penjualan jersi. Itu tak berlaku kerana bayaran sudah dibayar untuk tajaan.

Malah, dalam kebanyakan situasi, pemain nama besar seperti Ronaldo, Messi ataupun Neymar mendapat hasil lebih tinggi daripada penjualan jersi ini – kerana hak imej. Nama mereka digunakan pada jersi, setiap kali pembeli membeli jersi dengan cetakan nama pemain.

Anda baca di sini, penjelasan tentang perkara ini: Jualan Jersi Pemain Boleh Membantu Membeli Pemain Lain, Fakta Atau Mitos?

Tambah Cohen lagi: “Tajaan jersi biasanya yang paling mewah, dengan alasan yang tersendiri. Pembuat jersi tidak akan menaja beratus juta hanya kerana logo kecil jenama mereka pada jersi. Namun ianya kerana pulangan yang sangat lumayan.”

“Sebagai contoh, CEO Adidas, Herbert Hainer menyatakan, Adidas boleh menjana keuntungan sekitar £1.5 billion hasil daripada tajaan bernilai £750 kepada Manchester United.”

“Jika benar-benar untung, kenapa kelab tidak membuat jersi sendiri? Jawapannya mudah, kelab bola sepak bukan perniagaan jersi. Mereka tidak ada rangkaian pengedar yang sistematik dan besar di seluruh dunia.”

“Mereka tidak ada kepakaran untuk menguruskan pembelian dan penghantaran jutaan unit jersi setiap tahun. Ini belum lagi aspek logisitik, operasi, peruncitan, jualan atas talian dan sebagainya.”

Oleh itu, pada hari ini Adidas dan Nike merupakan 2 kuasa yang sangat kuat dalam penajaan jersi kerana aspek kepakaran dan juga kuasa jenama mereka di dunia.

Rumusan

Berbalik kepada Liverpool dan New Balance. Jika New Balance mampu untuk menandingi tawaran oleh Nike, adakah Liverpool akan menerima tajaan mereka?

Banyak perkara yang diambil kira oleh Liverpool. Ini kerana, Nike merupakan jenama yang lebih besar dan ini memerlukan New Balance untuk membida harga lebih tinggi daripada Nike. Adakah Nike akan beralah jika benar New Balance menandingi harga yang mereka tawarkan?

Apabila perkara ini berlaku, ia memberikan pulangan lebih baik kepada kelab.

Dari sudut penyokong, pastinya kita semua sentiasa akan fokus kepada isu rekaan yang cantik ataupun tak cantik. Ini kerana kita bukannya orang yang mentadbir dan menguruskan kelab. Kita adalah pihak yang mahukan kepuasan tersendiri apabila membeli.

Lebih-lebih lagi, dalam masa beberapa tahun ini New Balance memberikan penyokong Liverpool sentuhan yang sangat memuaskan dari segi kualiti dan juga ‘finishing’ yang sangat baik.

New Balance juga sangat peka dengan beberapa perkara dalam rekaan jersi termasuk meletakkan tema berasaskan nama legenda Liverpool dan sebagainya.

Harus diingat, nilai sentimental itu bukan perkara yang akan menjadi pertimbangan utama dalam perniagaan. Liverpool mahu memastikan mereka berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan seteru-seteru utama mereka yang lain.

Ini secara tak langsung memberikan isyarat bahawa Liverpool masih lagi jenama yang berkuasa di mata penaja.

Jika soal rekaan itu, sebagai peminat Liverpool, saya berpegang kepada prinsip, setiap musim akan ada 3 jersi – sekurang-kurangnya dihasilkan, kita pilihlah mana satu yang kita rasa paling cantik dan memuaskan di antara ketiganya.

Bahkan dalam satu kajian, menyatakan, trend pembelian jersi pada hari ini, sudah ramai yang menjadikan jersi kedua dan ketiga dalam senarai keutamaan. Dan kemudian jika ada duit lebih, mereka akan beli jersi yang satu lagi.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN