Melihat Kepada Kemungkinan ‘Perjanjian’ Pinjaman Pemain Antara Kedah, JDT

Sumareh Liridon JDT Kedah 2021 Pinjaman

Semua tahu ‘permusuhan’ antara Kedah Darul Aman (KDA) FC dan juara Liga Super tujuh kali berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT), beberapa tahun kebelakangan ini.

Ini kerana, kedua-duanya dilihat sebagai pasukan terkuat di saingan Liga Malaysia (Liga M). Di bawah kendalian Aidil Sharin, Kedah berjaya merangkul Piala FA 2019 selain menamatkan saingan musim lalu di kedudukan kedua, di belakang JDT.

Telahpun berlegar khabar angin mengenai urusan perjanjian pinjaman dan pertukaran pemain antara Kedah dan JDT melibatkan dua pemain naturalisasi negara iaitu Mohamadou Sumareh dan Liridon Krasniqi. Menurut pendedahan Sukanz, Hijau Kuning akan pinjamkan Sumareh, sementara JDT bersetuju meminjamkan Liridon.

Mohamadou Sumareh

Kedah dikhabarkan berjaya mendapatkan khidmat Sumareh yang tidak dilanjutkan kontrak oleh Police Tero di Thai League 1. Semuanya BOLA sebelum ini cuba untuk merungkai satu perkongsian di laman Twitter seorang wartawan, Craig Morraies.

Menurutnya, Sumareh hanya ‘tumpang’ berlatih di Police Tero FC dan segalanya sudah dirancang lebih awal untuk beliau mendapatkan semula tahap kecergasan yang sepatutnya. Dan beliau bakal kembali ke Liga M dan pasukannya belum didedahkan.

Semuanya BOLA menjangkakan ianya melibatkan JDT dek kerana satu kenyataan ‘memohon restu’ terlebih dahulu daripada Sri Pahang FC yang berbalik kepada JDT.

Dengan perkhabaran Kedah yang berjaya mendapatkan Sumareh, ianya nampak meleset tetapi agak janggal kerana Kedah sudah memiliki tiga pemain untuk bermain di posisinya iaitu calon utama, Rabih Ataya, Faizat Ghazli dan Azamuddin Akil.

Kedah telah membawa masuk pemain tengah dari Singapura, Anumanthan Mohan untuk posisi tengah dan dijangka bakal berganding bersama Amirul Hisyam Awang Kechik dan kapten, Baddrol Bakhtiar, menjadikan Rabih Ataya bakal bermain di posisi terkuatnya, sayap kanan menyerang, posisi yang juga adalah milik Sumareh.

Mungkin atas faktor itu, Kedah memilih untuk meminjamkannya kepada JDT. Namun, timbul pula persoalan mengapa Kedah mendapatkan semula bekas pemain, Liridon?

Liridon Krasniqi

Untuk Liridon pula, kedudukannya semakin tergugat selepas JDT membawa masuk pemain FELDA United, Danial Amier Norhisham. Pemain tersebut sudah lama menjadi idaman Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) untuk dibawa masuk ke JDT.

Musim lalu, Liridon tidak berjaya memecah masuk ke skuad utama Harimau Selatan dan mendapat tentangan sengit untuk posisi tengah oleh Afiq Fazail, Natxo Insa, Leandro Velazquez, Nazmi Faiz, Syamer Kutty Abba dan Gary Steven Robbat. Kini, Hariss Harun juga sudah kembali daripada kecederaan yang dialaminya.

Bermain di JDT II, di Liga Premier, dilihat mungkin ‘merendahkan’ statusnya sebagai calon pemain yang bakal terlibat bersama skuad kebangsaan dalam masa terdekat. Sudah tentu beliau mahukan minit permainan di Liga Super bagi memastikan dirinya kekal kompetitif untuk bersama skuad Harimau Malaya bagi kelayakan Piala Dunia.

Namun, mengapa pula skuad Hijau Kuning mahukan khidmatnya? Mereka telahpun membawa masuk pemain asal Singapura, Anumanthan Mohan untuk posisi tersebut.

Sebaliknya, jika mereka ‘berniat’ untuk meletakkan pemain yang mesra dipanggil Anu itu di posisi pertahanan tengah milik pemain yang masih belum diketahui masa depannya dengan Kedah, Renan Alves, ia tampak seakan-akan tidak mustahil.

Kedah bekerjasama dengan JDT?

Adakah benar JDT mahu bekerjasama dengan Kedah, ‘musuhnya’ dalam persaingan liga? Sebagai pasukan berpengaruh dan antara terkuat di rantau ASEAN, agak janggal jika mereka terlibat dalam urusan meminjam pemain, sedangkan mereka yang seharusnya meminjamkan pemain mereka. Lain halnya jika Liridon itu bakat muda.

Sebagaimana di Kedah, dengan lambakan pemain sayap menyerang kanan di JDT juga, menimbulkan persoalan mengapa mereka perlu meminjam Sumareh? Harimau Selatan memiliki Safawi Rasid dan pemain meningkat naik, Ramadhan Saifullah.

Ada juga terdengar yang kedua-dua pemain tersebut datang dari JDT ke Kedah, bukan pinjaman dua hala antara kedua-dua pasukan seperti yang disebut-sebut itu.

Walaubagaimanapun, urusan ini masih khabar angin. Tiada pengesahan daripada kedua-dua pasukan mengenainya dan ianya mungkin hanya akan diketahui selepas pengumuman senarai lengkap pasukan selewat-lewatnya penghujung Januari depan.

Bagaimana pandangan pembaca mengenai isu pinjaman dan pertukaran pemain antara Kedah dan JDT ini? Adakah ianya sesuatu yang mustahil atau tidak?

KREDIT FEATURED IMAGE: ASIA UNITED

Baca lagi artikel mengenai Mohamadou Sumareh dan Liridon Krasniqi:

Debut Cemerlang Sumareh Bantu Malaysia Bangkit Atasi Sri Lanka

Liridon Dapat Kad Pengenalan Malaysia

Tiada Tempat ‘Mudah’ Untuk Sesiapa Termasuk Liridon Krasniqi

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply