Melaka United Sedia ‘Tendang’ Perak Keluar Dari Liga Super

Melaka United Liga Super

Ketua pasukan Melaka United, Khairul Fahmi Che Mat, menganggap pertemuan dengan Perak di Stadium Hang Jebat pada Jumaat sebagai aksi terpenting buat pasukan itu dalam memastikan status mereka di Liga Super pada musim depan.

Biarpun satu mata mungkin sudah mencukupi buat Melaka untuk bagi memastikan mereka kekal di zon selamat namun Khairul Fahmi mengharapkan mereka mampu meraih kemenangan.

Jika berjaya meraih tiga mata di Hang Jebat, Melaka akan menamatkan kemarau kemenangan selepas lima perlawanan, manakala Perak pula akan tersingkir dari saingan Liga Super buat kali pertama dalam sejarah.

Tambah Khairul Fahmi, semangat juang yang dipamerkan rakan sepasukan setakat ini sejak akhir-akhir ini begitu mengagumkan apabila kerap kali berjaya bangkit pada tiap kali mereka di ambang kekalahan semasa mengikat Selangor (1-1) dan KL City (1-1).

“Perlawanan yang sangat mustahak kepada kami kerana banyak kehilangan mata-mata penting pada perlawanan sebelum ini maka diharapkan dengan Perak, kami tidak akan lagi keciciran sebarang mata,” ujarnya.

“Satu mata mungkin sudah mencukupi buat Melaka untuk kekal di Liga Super tetapi kami pergi dengan mahu mendapatkan kemenangan kerana kali terakhir kami menang semasa dengan Terengganu, sudah begitu lama.

“Semangat tidak cepat berputus asa dalam kalangan pemain begitu tinggi kebelakangan ini kerana mungkin mereka menyedari kedudukan kita di liga tidak begitu baik.

“Masing-masing tahu tanggungjawab mereka dengan pasukan, harap semangat yang sama dapat diteruskan pada perlawanan dengan Perak dengan kita akan cuba berjuang sehingga minit terakhir permainan.”

Melaka kini menduduki tangga kelapan dengan 18 mata, terikat bersama Sri Pahang dan PJ City dan berada dengan kelebihan lima mata dari zon penyingkiran yang kini sedang dihuni Perak FC menerusi pungutan 13 mata manakala UiTM, 9 mata.

Sembilan keputusan seri pada musim ini banyak memberikan kesan kepada kedudukan Melaka apabila hanya meraih empat kemenangan dari 20 perlawanan.

Berdepan Perak, skuad kendalian Zainal Abidin Hassan itu akan kehilangan khidmat Mohd Akmal Md Zahir yang digantung perlawanan ekoran kutipan tiga kad kuning sementara Gary Steven Robbat dan Ahmad Syamim Yahya belum pulih daripada kecederaan.

Mengenai kehadiran dua penyerang import terbaharu dari Brazil, Giovane Gomes dan Adriano, Khairul Fahmi berasakan mereka berdua banyak membantu pada aspek jentera serangan yang turut ditunjangi S. Kumaahran dan Sony Norde.

“Mereka berdua tampak semakin selesa dengan pasukan dan ditambah kami semua tinggal secara camp based, keserasian itu semakin dirasai dalam tiap perlawanan,” katanya lagi.

“Setakat ini, mereka beri banyak perubahan kepada gaya permainan kami dan harap faktor positif ini dapat diteruskan untuk kami hadapi Piala Malaysia selepas saingan Liga Super berakhir.” – MFL

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply