Melaka United Sedia Beri Cabaran Lebih Sengit Musim Depan

Melaka United

Pasukan Liga Super, Melaka United (MU) kini sudah melupakan kekecewaan mereka pada musim ini dengan fokus sudah diletakkan pada musim hadapan.

Selepas terpaksa berhempas-pulas sebelum disahkan tidak tersingkir dari Liga Super selepas 21 perlawanan, kini sudah tiba masanya untuk MU kembali mencabar kejuaraan.

Menurut pemilik kelab, Datuk Wira Justin Lim Hwa Tat, perancangan telah giat dilakukan dengan mereka berazam untuk mencabar segala kejuaraan yang ada dalam saingan tempatan.

“Pasukan ini tidak lagi muncul sebagai pencabar kejuaraan selepas kali terakhir memenangi Liga Premier pada 2016.”

“Kita sudah tiba masa untuk skuad Hang Tuah kembali berdaya saing dan kompetitif,” kata beliau menerusi laman rasmi Melaka United.

Melakukan peningkatan

Demi mencapai sasaran yang disasarkan, MU merancang untuk mendapatkan pemain-pemain tempatan dan luar negara yang berkualiti tinggi.

Dalam masa yang sama, Justin juga merancang untuk meningkatkan beberapa fasiliti pasukan untuk membolehkan Zainal Abidin Hassan menyerlahkan potensi yang ada dalam pasukan mereka.

“Kami juga berhasrat mengeluarkan sejumlah peruntukan khusus bagi menaiktaraf pasukan antaranya menambahbaik fasiliti latihan pasukan termasuk peralatan latihan dan sebagainya.”

Dalam masa yang sama, MU merancang untuk memajukan lagi kelab bersama-sama rakan kerjasama mereka sambil membawa pelabur-pelabur yang berpotensi untuk menaikkan lagi nama pasukan.

Walaupun fokus untuk musim hadapan sudah mula diadakan, tetapi MU tetap tidak melupakan saingan Piala Malaysia yang bakal ditandingi mereka.

Justin berharap MU akan memperoleh keputusan yang positif dalam saingan bola sepak tertua Asia itu.

Melaka United bakal bertanding di saingan Liga Super 2022 yang merupakan musim ketujuh berturut-turut buat mereka.

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply