Melaka United Sah Pecat Ketua Jurulatih, Eduardo Almeida

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA), Datuk Mohd Yusof Mahadi mengesahkan pihaknya ‘merehatkan’ ketua jurulatih pasukan Liga Super Melaka United, Eduardo Almeida berkuat kuasa kelmarin dan tugasnya akan digalas sementara oleh pembantu jurulatih.

Menurut laporan daripada Bernama, jurulatih kelahiran Portugal itu menjadi ketua jurulatih kedua dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) selepas jurulatih Kelantan, Sathit Bensoh yang dipecat gara-gara prestasi hambar dan mengecewakan pasukan Melaka United musim ini.

Almeida juga tidak berada bersama skuad Melaka United ketika kalah 2-1 kepada Perak dalam saingan Liga Super rabu lepas.

Yusoff turut mengesahkan tempat Almeida kini diambil alih pembantunya, G Selvamohan dan Norizam Ali Hassan, bagi mengadapi satu lagi perlawanan Liga Super berdepan PKNS FC Sabtu ini.

“Pemain dilihat memperoleh keserasian dan memiliki semangat tinggi walaupun tewas 1-2 kepada Perak pada aksi tanpa Almeida semalam.

“Kami mengharapkan langkah berkenaan mampu menyuntik sesuatu yang lebih efektif untuk kecemerlangan pasukan selepas prestasi kian membimbangkan.

“Sehubungan itu, tiada zon selesa buat mana-mana pemain berdasarkan prestasi semasa dan saya tidak menolak kemungkinan menggugurkan mereka yang gagal meningkatkan keupayaan dalam menyumbang kepada kejayaan pasukan,” katanya.

Kesebelasan utama skuad Melaka United. FOTO: Melaka United

Yusoff turut memberi bayangan Melaka United akan melakukan rombakan pemain menjelang jendela perpindahan kedua pemain musim ini, termasuk menukar beberapa pemain import yang dilihat gagal menyerlah.

“MU perlu melakukan perubahan untuk bangkit kerana jika kekal dengan barisan sedia ada, kedudukan pasukan pasti akan tercicir lebih jauh,” katanya.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram