Melaka United Mahu Buat Kejutan Di Larkin

Melaka United tekad menjadikan juara Liga Super empat kali, Johor Darul Ta’zim (JDT) sebagai mangsa seterusnya untuk memburu kemenangan ketiga bagi mengukuhkan kedudukan dalam kelompok 5 terbaik Liga Super.

Biarpun sedar skuad Harimau Selatan bukan lawan mudah, lebih-lebih lagi JDT mempunyai rekod kebal di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin namun skuad bimbingan Eduardo Almeida yakin Sang Kancil mampu lakar kejutan.

“Para pemain perlu terus bekerja keras semasa latihan dalam mencari keserasian bagi membentuk sebuah pasukan yang benar-benar bersedia ketika berdepan JDT nanti.

“Setakat ini saya berpuas hati dengan rentak permainan yang ditunjukkan oleh pemain tanpa perlu kita menukar strategi untuk setiap perlawanan,” katanya kepada Kosmo.

Keyakinan itu diluahkan berdasarkan prestasi JDT apabila kecundang kepada pendatang baharu Liga Super, Kuala Lumpur 0-1 di Stadium Kuala Lumpur, Cheras minggu lalu.

Aksi Melaka United ketika menentang Kelantan. FOTO: Melaka United

Sementara itu, penyerang import Melaka United, Yahor Zubovich tak sabar merobek gawang pasukan JDT selepas mempamerkan prestasi cemerlang dengan 3 gol setakat ini.

Namun begitu, beliau akui bukan tugas mudah untuk memecahkan benteng pertahanan JDT kerana sedar dengan reputasi besar yang dimiliki oleh bekas juara Piala AFC 2015 itu.

“Tugas sebagai penyerang adalah menjaringkan gol dan sudah tentu saya sangat gembira dengan tiga gol yang sudah dihasilkan setakat ini.

“Malah, saya harap dapat menambah lagi jaringan bagi membantu pasukan mencipta kemenangan termasuk menentang JDT nanti.

“Namun, saya harus akui tanpa kerjasama rakan sepasukan, sudah pasti sukar untuk berbuat demikian,” katanya kepada Berita Harian.

Penyerang berusia 28 tahun itu bagaimanapun mengakui pasukannya perlu berhati-hati apabila bertandang ke Larkin.

“Walaupun JDT pasukan yang kuat, saya dan rakan sepasukan tetap menyimpan hasrat mengejutkan juara bertahan itu,” katanya

Musim Lepas, JDT menewaskan Melaka United 7-0 di Stadium Larkin. Kekalahan itu mengundang kritikan pedas dalam kalangan penyokong skuad Hang Tuah itu sehingga menyebabkan ketua jurulatih pasukan itu, Eric Williams direhatkan.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram