Melaka United ‘Korbankan’ Kuota Pemain Import ASEAN

Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
Share on whatsapp
Share on email
Melaka United

Melaka United hanya akan membariskan empat pemain import bagi menghadapi saingan Liga Malaysia 2020 selepas memilih untuk tidak mengisi kekosongan kuota pemain dari Asia Tenggara (ASEAN).

Menurut sumber Bernama, keputusan itu disahkan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA), Yang Berhormat (YB) Damian Yeo Shen Li.

Selepas mendapatkan sentuhan Shahdan Sulaiman dari Singapura serta pemain skuad kebangsaan Filipina, Patrick Reichelt pada musim 2018 dan 2019, Damian melihat tiada keperluan mendesak untuk mendapatkan pemain daripada negara serantau itu.

“Kami sudah berfikir panjang dan membuat keputusan hanya akan menggunakan empat pemain import untuk musim ini selepas Patrick Reichelt tidak menyambung kontrak bagi kuota pemain Asia Tenggara.”

Patrick Reichelt cuba melepasi kawalan P. Gunalan dalam aksi Liga Super 2019 yang berlangsung di Stadium Hang Jebat, Melaka.

“Kami mendapati ramai lagi pemain Malaysia yang baik dan berkualiti setanding pemain import Asia Tenggara, oleh itu kami putuskan tidak akan mendapatkan pemain dari negara tersebut, sekaligus dapat menjimatkan perbelanjaan pasukan.”

Dalam perkembangan lain, Damian turut mengesahkan Deshorn Brown dan Uche Agba bersetuju untuk menyertai Melaka United dan kedua-duanya dijangka akan menandatangani kontrak pada minggu ini.

Uche merupakan penyerang bagi pasukan PDRM dalam saingan Liga Premier musim ini manakala Deshorn yang berasal dari Jamaica pernah menyarung jersi dua kelab Major League Soccer (MLS), DC United dan Rapid Colorado.

Melaka United sebelum ini telah mendapatkan khidmat pemain import dari Colombia, Romel Morales serta turut mengekalkan khidmat pertahanan Korea Selatan, Jang Suk Won.

Kredit foto: Suffi Sahar I Tiger Super Sports