MSL 2018: Melaka United Berjaya Sekat ‘Hajat 3 Mata’ Pahang Di Hang Jebat

melaka

Melaka United berjaya menyekat hajat Pahang untuk meraih tiga mata selepas kedua-dua pasukan terikat dengan keputusan 2-2 dalam aksi unifi Liga Super 2018, sebentar tadi.

Ini merupakan keputusan seri ke-4 berturut-turut yang dicatatkan oleh skuad anak buah Dollah Salleh dalam saingan liga musim ini dan kali ke-2 berturut-turut buat pasukan Melaka.

Ketua jurulatih Melaka, E. Elavarasan Omenurunkan penjaring terbanyak mereka dengan 9 gol iaitu Yahor Zubovich bergandingan bersama Ifedayo Olusegun.

Sementara Pahang turun tanpa Mohamadou Sumareh yang digantung perlawanan dan diganti oleh Zuhair Aizat yang membuat penampilan keduanya dalam aksi liga.

Separuh masa pertama

Babak pertama berkesudahan dengan kedudukan 2-2 selepas kedua-dua pasukan dilihat sangat tajam di depan gol lawan namun terlalu rapuh di bahagian pertahanan.

Minit ke-5, Norshahrul Idlan Talaha membuat percubaan pertama ke pintu gol tuan rumah yang dikawal Khairul Fahmi Che Mat, namun tersasar ke sebelah kanan gol.

Issey Nakajima-Farran berjaya menjaringkan gol pertama Pahang pada minit ke-8 melalui kuisan mudah selepas menerima hantaran lintang daripada pemain sayap, Zuhair.

Zubovich berjaya melepaskan satu percubaan berbahaya dari luar kotak penalti ke pintu gol pelawat yang dikawal Helmi Eliza Elias pada minit ke-13, namun sedikit tersasar.

Dua minit kemudian, pemain sayap, R. Gopinathan berjaya menewaskan Helmi Eliza untuk gol pertama tuan rumah.

FOTO: MUSA

Hantaran jarak jauh Ifedayo ke bahagian sayap mereka berjaya memerangkap pertahanan pelawat yang gagal merantai pergerakan pemain lincah, Gopinathan.

Hasil serangan pantas Melaka di minit ke-25 membolehkan mereka menjaringkan gol kedua perlawanan hasil ledakan penyerang, Zubovich selepas menerima tolakan tipis Gopinathan.

Ia juga merupakan gol ke-10 penyerang daripada Belarus itu buat Sang Kancil dalam saingan liga musim ini.

Kali terakhir Tok Gajah merekodkan bolos dua gol adalah ketika menentang juara liga, Johor Darul Ta’zim (JDT) lebih sebulan yang lalu iaitu pada 12 Jun di Darul Makmur.

FOTO: MUSA

Pada minit ke-36, sepakan percuma Issey Nakajima langsung tidak menggugat Khairul Fahmi di gawang apabila bolanya itu sekadar tersasar ke bahagian kanan gol tuan rumah.

Di saat perlawanan hampir ditamatkan, penyerang import, Austin Amutu berjaya meledak gol penyamaan buat Pahang selepas menerima hantaran kemas Wan Zaharulnizam.

Separuh masa kedua

Kedua-dua pasukan jelas buntu untuk menambah gol dalam aksi babak kedua walaupun ada beberapa gerakan berjaya dicipta oleh jentera serangan masing-masing.

Sepuluh minit babak kedua menyaksikan kedua-dua pasukan memperlahankan tempo perlawanan. Kedua-dua benteng pertahanan memperbaiki kerapuhan babak pertama.

Norshahrul hampir memberikan gol ketiga buat pelawat namun percubaan pertama di babak kedua itu telah berjaya ditangkap kemas oleh Khairul Fahmi pada minit ke-56.

FOTO: MUSA

Berselang dua minit, giliran Sang Kacil pula mengasak dengan Ifedayo berjaya melepasi kawalan benteng lawan namun percubaannya diselamatkan oleh Helmi Eliza.

70 minit perlawanan berlalu, kedua-dua pasukan dilihat gagal untuk menambah asakan ke kubu pertahanan lawan dan bola tampak lebih banyak berlegar di zon middle third.

Antara percubaan terbaik adalah rembatan Zubovich pada minit ke-75 dan percubaan deras Issey Nakajima di minit ke-77 yang jauh tersasar dari palang gol lawan masing-masing.

Lima minit menuju penamat, pemain gantian, Faisal Halim nyaris meledak gol buat Pahang selepas berjaya menewaskan pertahanan dan juga memperdaya penjaga gawang, Khairul Fahmi.

FOTO: Pahang FA

Perlawanan ditamatkan oleh pengadil, Zulkarnain Zakaria dengan kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati berkongsi satu mata dalam perlawanan ke-20 liga ini.

Melaka pastinya lega dengan keputusan ini kerana berjaya menyekat hajat 3 mata Pahang yang sedang bersaing untuk kedudukan kedua liga bersama 4 pasukan lain.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN