Mehmed Durakovic: Perak Sudah Lengkapkan Pasukan

Perak

Ketua jurulatih Perak, Mehmed Durakovic akhirnya mampu menarik nafas lega selepas melengkapkan barisan pemainnya bagi menghadapi saingan Liga Malaysia 2020 setelah membawa masuk dua pemain import, Antony Golec dan Thierry Chanta Bin.

Ia juga sekaligus melengkapkan kuota lima pemain import setelah Perak terlebih dahulu memeterai perjanjian dengan bekas pemain import Kuala Lumpur, Guilherme De Paula serta mengekalkan khidmat dua pemain import dari Brazil, Leandro Dos Santos Oliveira dan Raianderson Da Costa Morais

”Kami akhirnya berjaya melengkapkan pasukan dengan kehadiran Chanta Bin yang bermain dua musim bersama Terengganu FC dan juga Golec daripada kelab Indonesia, Badak Lampung FC.”

”Kami kini sudah boleh memberikan tumpuan penuh bagi membolehkan pasukan bermain dengan sistem dan corak permainan yang kami mahukan,” ujar Mehmed kepada wakil The Star Online.

Guilherme De Paula cuba melepasi kawalan pemain pertahanan Pulau Pinang, Raffi Nagoorgani pada aksi persahabatan di Stadium Bandaraya.

”Ia memerlukan masa untuk kami melengkapkan pencarian pemain. Kami mahu mendapatkan pemain yang tepat. Kami memerlukan pemain yang berpengalaman untuk menggantikan pemain-pemain yang meninggalkan pasukan.”

Selain daripada Brendan Gan dan Nor Hakim Hassan yang berhijrah ke Selangor, Perak turut kehilangan khidmat Nasir Basharudin yang memilih untuk beraksi bersama Terengganu FC. Dua pemain import, Ronaldo Henrique Silva dan Hussein El Dor pula tidak disambung kontrak mereka.

Dalam pada itu, Mehmed turut mengakui dalam perancangan untuk mengadakan perlawanan pra-musim di Singapura, namun wabak Koronavirus yang turut melanda negara tersebut membuatkannya untuk mencari inisiatif lain dalam menguji keupayaan anak buahnya.

”Kami mempunyai kira-kira lima minggu untuk melakukan persiapan, bagi saya ia merupakan tempoh yang mencukupi. Kami merancang untuk beraksi di Singapura tetapi perlu untuk memantau keadaan di sana dahulu.”

”Perancangan kedua [sekiranya tidak ke Singapura] kami akan menentang pasukan-pasukan di Lembah Klang.”

Kredit foto: FA Penang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram