Megumi, Raspopovic, Velez Trio Import Baharu Felda United

Selepas mengumumkan kemasukan tiga pemain import baharu, Felda United sudah semakin hampir untuk melengkapkan senarai penuh pemain skuad utama yang akan beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan dan hanya tinggal satu sahaja kuota pemain import yang masih belum diisi.

Tiga pemain berkenaan, Ryutaro Megumi, Nikola Raspopovic dan Nicolas Velez telah disahkan akan bersama pasukan itu selepas Felda United mengumumkan penyertaan ketiga-tiga pemain import tersebut menerusi akaun media sosial pada Rabu.

Kuota pemain import Asean sudah pun dimuktamadkan lebih awal selepas pasukan itu mengekalkan khidmat penyerang berpengalaman dari Singapura, Mohammad Khairul Amri Mohammad Kamal.

Ketua Jurulatih Felda United, Nidzam Jamil ketika dihubungi SemuanyaBOLA menjelaskan, tiga pemain tersebut dipilih berdasarkan analisis yang dibuat mengenai apa yang mereka miliki untuk menampung kekurangan pasukan terutama apabila The Fighters telah ‘kehilangan’ beberapa pemain penting.

Pemain import dari Jepun, Ryutaro Megumi akan mengusi kuota pemain import Asia. Pemain berusia 26 tahun itu merupakan rakan sepasukan Khairul Amri di pasukan Tampines Rovers pada dan apa yang menarik adalah mereka berdua pernah bermain menentang Felda United pada musim 2017.

“Apabila kami kehilangan pemain sayap seperti S. Chanturu, kami telah merisik Megumi lebih awal berdasarkan statistik dan corak permainannya di Liga Singapura. Saya gemar menggunakan pemain yang bijak memanfaatkan ruang dan mempunyai kemahiran yang tinggi. Megumi ada ciri-ciri itu,” ujar Nidzam.

Nicolas Velez yang berasal dari Brazil pula adalah bekas pemain import Negeri Sembilan pada musim 2018 dan beliau merupakan pengganti kepada Hadin Azman yang beraksi akan di posisi sayap kiri. Pemain berusia 29 tahun ini juga pernah beraksi di liga Argentina, Sepanyol, Singapura, India, Croatia, Thailand dan Portugal.

“Apa yang baik tentang Velez ialah beliau pemain yang rajin berlari si atas padang dan dia juga boleh bermain di posisi nombor 10 di belakang penyerang. Kemampuannya untuk memegang bola dan menjaringkan gol akan melengkapkan barisan serangan bersama Khairul Amri dan Megumi.”

Menurut jurulatih berusia 39 tahun itu lagi, beliau menjangkakan Megumi dan Velez lebih cepat dan mudah untuk serasi dengan bola sepak Malaysia memandangkan mereka sudah mempunyai pengalaman beraksi di rantau ini.

Nikola Raspopovic pula merupakan pemain import dari Serbia yang akan beraksi di posisi pertahanan tengah. Dengan pengalamannya beraksi di beberapa kelab Eropah, pemain berusia 30 tahun itu diharapkan dapat memimpin barisan pertahanan Felda United dengan baik.

Apabila ditanya adakah beliau akan memanfaatkan satu lagi kuota pemain import yang berbaki, Nidzam tanpa ragu-ragu mengatakan beliau akan menggunakannya untuk memastikan Felda United mampu bersaing dengan pasukan-pasukan lain di Liga Super.

“Kami kehilangan Chanturu, Hadin dan [Kei] Ikeda. Jadi kami perlukan seseorang yang cukup bijak untuk bermain di posisi nombor 10 di belakang penyerang. Jadi barulah kita dapat gunakan [Khairul] Amri dengan lebih baik.”

Kredit Foto: Felda United FC

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN