Media Sosial: Aset Digital Sebagai Pemangkin Kejayaan Pasukan Di Era Bola Sepak Moden

Lebih kurang sepuluh tahun yang lalu, seorang pegawai eksekutif media sosial Facebook Inc. mencadangkan agar Polaris Sport, iaitu pihak pengurusan yang menguruskan hal ehwal pemasaran Cristiano Ronaldo untuk membuka akaun Facebook untuk pemain tersebut.

Ini adalah kerana pegawai dari Facebook berkenaan berpendapat Ronaldo mampu menarik sehingga 10 juta pengikut, jika memiliki akaun bersama syarikat media sosial yang berpengkalan di California, Amerika Syarikat tersebut.

Pegawai eksekutif Polaris Sports, Luis Correia berpendapat ia adalah idea yang gila.  Ini adalah kerana 10 juta adalah angka populasi keseluruhan Portugal!

Namun secara diam-diam, Ronaldo mulai memiliki akaun Facebook pada 2009. Setahun kemudian, penyerang Real Madrid ini mengumumkan kelahiran anak sulungnya melalui medium Facebook kepada pengikutnya.

Hari ini, Cristiano Ronaldo memiliki 122 juta pengikut di akaun Facebook dari seluruh dunia, dan merupakan ahli sukan pertama yang memiliki pengikut di media sosial melangkaui angka 100 juta.

Ini bermakna pada hari ini, Ronaldo memiliki lebih ramai pengikut daripada penyanyi pop terkenal Amerika Latin, Shakira, yang merupakan manusia pertama mampu menarik pengikut mencecah angka 100 juta di media sosial.

Media sosial hubungkan jenama sukan dengan peminat

Sekarang bayangkan seorang peminat Manchester United di Pajam, Negeri Sembilan bernama Leman. Seumur hidup beliau, Leman tidak pernah menjejakkan kaki ke Eropah. Apatah lagi ke Old Trafford.

Kerana minat terhadap Manchester United, Leman berkunjung ke pasar malam, dan membeli sehelai jersi tiruan gred AAA kelab bola sepak kesayangannya itu. Ini realiti peminat bola sepak eropah di negara ini saban setiap permulaan musim liga.

Namun demikian, Leman gemar membaca artikel-artikel berkaitan Manchester United, terutamanya dari Semuanya BOLA yang mudah diakses, semudah di hujung jari, di mana sahaja, bila-bila masa sahaja.

Pada hujung minggu, Leman akan memperagakan jersi tiruannya, menuju ke Bistro Ali Maju, semata-mata untuk menyaksikan perlawanan siaran langsung membabitkan Manchester United.

Manchester United adalah sebuah kelab bola sepak yang sering berbangga kerana memiliki penyokong teramai dari seluruh dunia. Data dan statistik daripada kelab berkenaan, menunjukkan The Red Devils mempunyai 690 juta penyokong termasuklah Leman.

Hakikatnya, walaupun mempunyai minat yang mendalam untuk Manchester United, Leman tidak menyumbang satu sen pun untuk keuntungan kelab. Lebih menyedihkan, Manchester United tidak mengetahui akan kewujudan Leman di Pajam.

(Photo credit should read Matthew Ashton/AFP/Getty Images)

Inilah masalah utama di dalam industri bola sepak. Sebelum ini kelab bola sepak tidak mempunyai pemudah cara untuk berhubung secara langsung dengan penyokong mereka dari seluruh dunia. Hari ini media sosial mewujudkan peluang untuk kelab bola sepak mengubah perkara ini.

Facebook, Twitter, Instagram, membolehkan kelab seperti Manchester United, dan pemain seperti Cristiano Ronaldo memiliki data penyokong mereka.

Langkah seterusnya ialah: Menjadikan minat dan sokongan pengikut di media sosial kepada keuntungan. Ini adalah cara baru bola sepak moden mengaut keuntungan!

Mitos kepada realiti 

Secara asasnya industri bola sepak tidak boleh disamakan dengan perniagaan fizikal yang lain. Jika asas perniagaan ialah produk, bola sepak menjaja aksi di atas padang, sebelum menjadikan kelab sebagai satu jenama untuk dijaja.

Ini bermakna industri bola sepak berpaksikan kepada keputusan di atas padang. Ia adalah bidang yang berteraskan keputusan (result oriented).

Tanyalah kepada mana-mana penyokong bola sepak di dunia. Tidak ada sesiapa yang mahu melihat pasukan mereka tewas. Apatah lagi jika terlebih dahulu mengetahui pasukan mereka tidak mempunyai prospek untuk bersaing.

Bagaimana media sosial boleh membantu? Adakah jumlah pengikut yang ramai di akaun media sosial akan menjamin kejayaan di dalam dan juga di luar padang?

Data dan statistik KPMG

KPMG adalah sebuah firma berkecuali dan mempunyai rangkaian yang beroperasi secara global untuk melakukan audit, kiraan cukai, dan memberi khidmat nasihat kewangan di dalam pelbagai lapangan, termasuk bola sepak.

Tugas tersebut sekaligus membenarkan mereka untuk memberi cadangan kepada klien untuk mengelakkan risiko, sekaligus untuk merebut peluang yang ada dalam bidang dan industri yang berkaitan.

Untuk bola sepak, KPMG telah melakukan satu analisis secara mendalam, akan hubungkait di antara populariti di media sosial, dan juga nilai keuntungan dari segi komersil yang dikaut oleh kelab-kelab bola sepak utama dunia.

Keuntungan hasil komersi vs jumlah pengikut media sosial 

Sejak September 2014, jumlah keseluruhan pengikut media sosial di sepuluh kelab bola sepak paling popular di Facebook, Instagram dan Twitter telah meningkat sebanyak 70%, sekali gus menggariskan kepentingan platform media sosial menghubungkan entiti sukan dengan penyokong mereka dari seluruh dunia.

Media sosial menghubungkan setiap kelab dengan penyokong mereka tanpa mengira faktor geografi. Ini adalah penjelasan mengapa Manchester City beroperasi menggunakan lebih daripada sepuluh bahasa utama dunia.

(Photo by David Ramos – FIFA/FIFA via Getty Images)

Malah akaun twitter Bahasa Arab milik Real Madrid, mampu menarik sehingga 8.15 juta pengikut sehingga ke hari ini. Secara keseluruhan, Real Madrid dan Barcelona masing-masing telah menarik lebih daripada 65 juta pengikut sejak dua musim terakhir.

Paris Saint-Germain (134%), Bayern Munich (165%), dan Juventus (108%) turut tidak ketinggalan mendatangkan peningkatan pengikut media sosial setelah berjaya mendominasi saingan domestik dan berjaya layak ke peringkat kalah mati saingan UEFA Champions League (UCL) sejak beberapa musim.

Berdasarkan carta di bawah, media sosial telah menarik minat kelab-kelab bola sepak utama dunia untuk menjana keuntungan.

Sumber: KPMG Football Benchmark.

Secara keseluruhan, industri bola sepak pada hari ini menunjukkan jumlah peningkatan dari segi keuntungan hasil dari strategi pemasaran komersil bagi kelab-kelab bola sepak global.

Berdasarkan laporan kewangan untuk musim 2013-14, dan juga 2014-15, Bayern Munich, Juventus dan Paris Saint-Germain merekodkan sedikit penurunan dari segi pendapatan komersil.

Namun jika diperhatikan Barcelona pada musim 2014-15, gergasi Catalan ini mencerminkan kejayaan jumlah pengikut di media sosial kepada nilai pendapatan komersil kelab berkenaan.

Ini mungkin disumbangkan oleh kejayaan di atas padang (kejuaraan UCL), sekaligus membantu Barcelona meningkatkan pendapatan hasil komersil sebanyak 34% (€207 juta kepada €278 juta), melebihi jumlah peningkatan 31% pengikut di media sosial (105 juta kepada 138 juta).

(Photo credit should read JOSEP LAGO/AFP/Getty Images)

Walaupun rata-rata kelab bola sepak dunia mencatatkan keuntungan dari segi hasil komersil selari dengan peningkatan jumlah pengikut di media sosial, perbezaan nilai pendapatan beberapa kelab bola sepak yang mempunyai ramai pengikut harus dikaji semula secara lebih mendalam.

Ini adalah kerana beberapa kelab lain turut mempunyai sumber keuntungan yang berlainan, seperti suntikan kewangan hasil dari pemilikan kelab dan sebagainya, yang tidak berkait langsung dengan kaedah pemasaran secara komersil.

Dengan pengecualian kelab seperti Barcelona, Liverpool dan Arsenal seperti beberapa kelab turut menunjukkan penurunan dari segi jumlah pengikut di media sosial, namun mencatatkan peningkatan keuntungan.

(Photo by Peter Byrne/PA Images via Getty Images)

Ini bermakna peningkatan hasil keuntungan komersil tidak semestinya berpaksi kepada jumlah pengikut di media sosial semata-mata, namun kejayaan di dalam padang turut menjadi salah satu faktor penentu.

Faktor-faktor lain yang menyumbang kepada corak graf sebegitu ialah tempoh perjanjian komersil oleh kelab, keupayaan pengurusan kelab melakukan rundingan dengan penaja berpotensi, demografik pengikut di media sosial, dan juga kerana pengikut yang sama memiliki rangkaian platform media sosial yang berbeza.

Sebagai contoh, Manchester City, PSG dan Bayern Munich mencatatkan purata keuntungan yang lebih baik untuk setiap pengikut di media sosial, disebabkan operasi komersil kelab-kelab ini didukung oleh nilai tajaan yang besar, atau pun oleh kekuatan komersil di pasaran tempatan yang kukuh.

Sumber: KPMG Football Benchmark

Berdasarkan laporan KPMG, satu perkara yang menarik perhatian kami ialah bagaimana kelab seperti Juventus dan Liverpool yang mencatatkan jumlah pengikut yang lebih sedikit, namun mempunyai peratusan keuntungan yang lebih besar berbanding kelab seperti Barcelona dan Real Madrid.

JDT pencetus kepentingan media sosial di Liga Malaysia

Di pentas bola sepak Malaysia Johor Darul Ta’zim (JDT) adalah kelab bola sepak yang mempunyai pengikut teramai di platform media sosial Facebook.

Sehingga ke hari ini, JOHOR Southern Tigers, akaun Facebook milik kelab bola sepak di selatan tanah air tersebut mempunyai lebih daripada 1.8 juta pengikut dari dalam dan juga luar negara.

Merentasi 6 platform media sosial yang berlainan, JDT telah memiliki seramai 2.4 juta pengikut di media sosial.

Berdasarkan laporan oleh Digital Sport Media pada tahun lalu, JDT berada di kedudukan ke-82 dunia, juga ke-8 di Asia sebagai kelab bola sepak yang mempunyai pengaruh terbesar di media sosial.

Kedudukan ini sekaligus meletakkan JDT berada di atas kelab bola sepak lain yang lebih kukuh seperti Athletic Bilbao dan juga Wolfsburg.

Kejayaan di media sosial oleh JDT turut dilihat seiring dengan pencapaian di dalam dan juga di luar padang,

Ini bermakna JDT adalah sebuah kelab bola sepak yang seiring dengan perkembangan global bola sepak moden pada hari ini, dan wajar dijadikan model oleh kelab-kelab dan persatuan bola sepak di Liga Malaysia untuk membangunkan platform media sosial masing-masing.

Rumusan: Media sosial sebagai aset digital bola sepak

Cabaran utama di dalam apa jenis perniagaan termasuk di dalam industri bola sepak ialah untuk mencari kaedah terbaik untuk mengukur kepentingan dan peranan yang media sosial boleh mainkan.

Hari ini, media sosial bukan sahaja medium interaktif yang pantas. Lebih daripada itu, media sosial telah menjadi sejenis bentuk aset digital untuk mengisi kantung kewangan kelab bola sepak.

Berbalik kepada senario yang dibawakan oleh penulis di bahagian pertama artikel ini, mari kita renungkan persoalan ini.

Mengapakah pada usia 32 tahun Cristiano Ronaldo masih mempunyai klausa pelepasan bernilai €1 billion jika mana-mana kelab mahu mendapatkan pemain tersebut daripada Real Madrid?

Adakah Leman masih kekal dengan jersi tiruan Manchester United setelah kelab tersebut mengumumkan promosi jualan replika jersi asli di laman Facebook mereka selepas ini?

Atau adakah anda masih memikirkan muat naik di Facebook semata-mata untuk mengucapkan ucapan ‘selamat pagi’ dan ‘selamat malam’ sebagai sesuatu yang melucukan?

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN