McDonald Tanya, Mana Liverpool Dapat Idea Rekaan Jersi Kuning Itu?

Apabila masuk musim baharu saingan bola sepak di Eropah, sudah menjadi kebiasaan untuk penyokong – termasuk di Malaysia – untuk membeli jersi pasukan kegemaran masing-masing bagi membuktikan sokongan mereka.

Bagi kebanyakkan penyokong, jersi sesebuah pasukan dilihat dengan penuh keramat. Ramai yang sanggup mengumpul wang saku berbulan lamanya demi mendapatkan jersi kelab kegemaran masing-masing, walaupun sehelai jersi boleh mencecah harga RM300 atau lebih.

Ini bermakna, seorang penyokong mungkin akan berbelanja sekitar RM600 untuk jersi Home dan Away. Dengan kebanyakkan pasukan kini mengeluarkan sehingga tiga pasang jersi semusim, seorang penyokong berkemungkinan akan membelanjakan sehingga RM900 jika mendapatkan jersi replika yang original.

Jersi Liverpool warna kuning

Liverpool adalah salah sebuah kelab dengan pengikut teramai di negara ini. Sinonim dengan panggilan The Reds, jersi Liverpool yang paling terkenal sekali semestinya berwarna merah untuk kegunaan khusus untuk aksi di Anfield.

Musim ini jersi Liverpool keluaran Nike agak unik. Diinspirasikan dari rekaan jersi pada musim 1996/97, jersi away Liverpool pada musim ini berwarna perang.

Ia warna yang unik, dan sedap dipandang mata bagi mereka yang mahukan kelainan.

McDonald tanya Liverpool

Bagaimanapun jersi ketiga Liverpool yang dilancarkan pada hari ini mengundang pertanyaan dari ramai pihak. Cantik atau tidak jersi berwarna kuning itu, ia perkara yang subjektif.

Peminat warna kuning misalnya, pasti akan menyukai jersi tersebut. Mereka yang tidak gemarkannya, mungkin berpendapat sebaliknya. Ada juga tidak kisah, asalkan ia mewakili Liverpool, maka ia harus dimiliki. Semuanya terpulang kepada pandangan masing-masing.

Namun demikian rekaan terkini jersi tersebut turut mengundang reaksi dari syarikat makanan segera, McDonald’s UK.

“Alamak, saya sukakan jersi ini, mana kamu dapat [rekaan] ini?” Tanya syarikat makanan segera itu.

Soalan tersebut sebenarnya membawa maksud rekaan jersi terbaru Liverpool ini mempunyai persamaan dengan warna koporat syarikat makanan segera itu yang terkenal di seluruh dunia.

Terdiri dari warna kuning sebagai warna asas, ia turut disertai dengan corak berwarna merah di lengan dan kolar yang didatangkan di dalam rekaan berkotak.

Rekaan sebegitu seperti dijangka akan mendapat pelbagai reaksi di media sosial, dan tidak ketinggalan pasti ada yang menyamakannya dengan pakaian Ronald McDonald – watak badut yang amat sinonim dengan syarikat makanan segera itu.

Untuk rekod, ini bukan kali pertama Liverpool memilih warna kuning untuk jersi mereka. Warna yang sama turut pernah dipakai pada musim 1982, musim 1997/98, dan 2014/15 antaranya.

Adakah Liverpool akan mendapat sambutan jualan jersi untuk rekaan terbaru dari Nike ini?

 

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply