MB Selangor Arahkan Bumbung Stadium Shah Alam Dibaik Pulih

Stadium Shah Alam

Menteri Besar Selangor, YAB Tuan Amirudin Shari pada hari ini mahu bumbung Stadium Shah Alam dibaik pulih menjelang sepak mula Liga Malaysia yang akan bermula pada 28 Februari ini.

Melalui satu ciapan di akaun Twitter miliknya pada petang tadi, Amirudin berkata beliau telah mengarahkan pihak Darul Ehsan Facilities Management (DEFM) bagi berbincang dengan pihak MBI dan Permodalan Nasional Selangor Berhad (PNSB) untuk memulihkan bumbung stadium.

Menurut Amirudin perkara itu perlu dilaksanakan demi memastikan kesejahteraan dan keselamatan para penyokong pasukan Selangor yang akan hadir ke stadium pada musim ini.

Sebelum ini Selangor berisiko tidak boleh beraksi di gelanggang keramat mereka, Stadium Shah Alam pada saingan Liga Malaysia pada musim ini selepas kerosakan bumbung yang didakwa mampu mengancam keselamatan penonton.

Susulan isu keselamatan yang timbul, Stadium Shah Alam dijadualkan akan menjalani pemeriksaan sekali lagi pada minggu ini untuk memastikan ianya benar-benar bersedia untuk digunakan di saingan Liga Malaysia 2020.

Dalam perkembangan sama, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan berkata Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) digesa untuk merujuk isu bumbung berlubang di Stadium Shah Alam kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi mendapatkan pengesahan berhubung keselamatan venue berkenaan.

Menurut Ab Ghani, Stadium Shah Alam tidak mempunyai masalah kemudahan lain seperti permukaan padang yang jelas menepati syarat kelulusan badan penganjur liga tempatan itu.

“InsyaAllah (akan luluskan) dan MFL akan datang melihat sekali lagi meninjau stadium itu. Selepas perkara ini keluar, saya sudah berhubung dengan FAM dan pihak lain, stadium itu boleh digunakan cuma bumbung saja dan perkara itu kita boleh atasi,” katanya.

Arahan terbaru dari Menteri Besar Selangor ini semestinya melegakan banyak pihak khususnya FAS.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram