Mazlan Wahid Lega Khairul Fahmi Sudah Ada ‘Sparring Partner’ Yang Lebih Baik

Khairul Fahmi

Dengan Melaka United dilihat mengukuhkan posisi benteng akhir mereka, jurulatih penjaga gol, Mazlan Wahid nyata lega dengan pilihan yang berada di tangannya untuk saingan musim depan.

Untuk saingan musim 2020, Melaka United telah mengekalkan Khairul Fahmi Che Mat dan Solehin Mamat serta turut membawa masuk penjaga gol yang tidak kurang hebatnya iaitu Norazlan Razali yang berpindah masuk daripada FELDA United.

Ketiga-tiganya mampu memberi saingan sengit antara mereka dan jelas Khairul Fahmi boleh menarik nafas lega apabila mempunyai rakan yang lebih baik untuk menjadi rakan ‘sparring’ di pasukan.

Musim lalu, Khairul Fahmi boleh dikatakan pada awal musim tiada saingan untuk posisi tersebut sebelum kemasukkan Solehin Mamat daripada Kuala Lumpur di jendela perpindahan kedua musim 2019.

Dalam Liga Super 2019, Khairul Fahmi telah diturunkan dalam 20 perlawanan, sementara Solehin Mamat pula hanya berjaya tampil dua kali sejak menyarung jersi Melaka United, pada Julai 2019.

“Kali ini saya akui boleh menarik nafas lega untuk membuat pilihan sesuai pada setiap perlawanan berbanding musim lalu yang banyak bergantung kepada Khairul Fahmi,” ujar Mazlan Wahid.

Solehin Mamat baru berusia 23 tahun dan masih boleh belajar banyak perkara daripada dua pemain berpengalaman seperti Khairul Fahmi dan juga Norazlan Razali – kedua-duanya pernah menyarung jersi skuad kebangsaan pada satu masa dahulu.

Begitupun, bekas penjaga gol skuad kebangsaan, Sarawak dan Melaka itu menganggap ketiga-tiga penjaga gol yang dimilikinya ketika ini ada kelebihan dan juga keistimewaan tersendiri.

“Sementara Ahmad Solehin pula mampu belajar sesuatu daripada Khairul Fahmi dan Norazlan sekaligus membina persaingan sihat,” tambahnya lagi sambil menegaskan akan menilai prestasi mereka.

Antara aspek yang akan dinilai adalah dari segi prestasi semasa, tahap kecergasan dan juga kesediaan mental penjaga gol tersebut apabila hendak diturunkan dalam satu-satu perlawanan nanti.

Walaubagaimanapun, benteng yang kukuh juga diperlukan untuk membantu penjaga gol untuk tidak mudah dibolosi lawan. Melaka United mengekalkan Jang Suk-won, Razman Roslan, Faris Shah, Wan Amirul Afiq disamping membawa masuk beberapa muka baharu antaranya Curran Ferns, Annas Rahmat dan Khair Jones.

Kredit Foto: MUSA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram