Marlon Alex James Cipta Reputasi Gah Di Sebalik ‘Double Treble’ Kedah

Marlon Alex James

Marlon Alex James, satu nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi buat penyokong bola sepak negara dan Kedah pada satu ketika dahulu.

Ketajaman penyudah dan bijak menghidu peluang yang terhidang di hadapan gol menjadi senjata ampuh buat pemain bertubuh sasa berasal dari Saint Vincent & Grenadines ini.

Sepanjang karier profesionalnya yang bermula sejak tahun 2000, Marlon pernah beraksi di beberapa buah negara seperti di negara kelahirannya, Ireland, Portugal, Kanada dan sudah pastinya di Malaysia.

Ketika di Malaysia, keupayaan beliau menjadi tonggak kepada kejayaan ‘double treble’ buat negeri jelapang padi itu akan sentiasa akan sentiasa kekal menjadi bualan penyokong Kedah sehingga kini dek kehebatan ‘permata hitam’ tersebut.

Terlebih dahulu menyinar di MK Land

Sebelum beraksi bersama Kedah pada musim 2006-07 dan 2007-08 serta kembali semula bagi menabur bakti bersama ATM pada tahun 2012, Marlon terlebih dahulu telah menyarung jersi Selangor MK Land bagi menghadapi saingan Liga Premier 2004 dan 2005.

Walaupun gagal untuk membawa MK Land melayakkan diri ke saingan Liga Super pada 2 tahun tersebut namun Marlon membuktikan beliau layak sememangnya layak dilabelkan sebagai mesin gol pasukan apabila berjaya menghasilkan 19 gol (2004) dan meningkatkan jumlah jaringan kepada 22 gol bagi musim berikutnya.

Pada 2 musim tersebut, Marlon dibayangi dengan kehebatan 2 penyerang Selangor yang lebih menjadi perhatian iaitu Brian Diego Fuentes dan Bambang Pamungkas.

Kegemilangan dicipta bersama Kedah

Penghijrahannya ke Stadium Darul Aman pada musim 2006-07 berjaya memberikan impak yang sangat kuat dalam kem Kedah, ketika itu dibimbing oleh Mohd Azraai Khor Abdullah.

Marlon berjaya membentuk gandingan mantap bersama pemain tempatan ketika itu yang kebanyakkannya berusia 25 tahun dan kebawah seperti Baddrol Bakhtiar (19 tahun) , Khyril Muhymeen (20 tahun), Ahmad Fauzi Shaari (25 tahun), Shafizan Hashim (25 tahun), Solehin Kanasian (24 tahun) dan ramai lagi.

Disamping itu, kombinasi bersama rakan senegara, Cornelius Bernard Huggins yang kental di barisan pertahanan serta perancang tengah, Nelson Sam Martin juga merupakan signifikan kepada kecemerlangan yang dikecapinya bersama Kedah.

3 Kejuaraan pada musim pertama di Kedah (2006-07)

Kedah yang ketika itu baru sahaja kembali semula beraksi dalam saingan Liga Super selepas terpaksa bermain dalam aksi Liga Premier 2005 dan 2005-06 bukanlah pasukan yang pilihan ramai untuk memenangi piala.

Namun kehadiran Marlon serta kombinasi pemain yang dapat membentuk persefahaman yang kukuh disertakan dengan ramuan terbaik diadunkan oleh Azraai Khor ternyata berjaya membuka mata banyak pihak ekoran prestasi cemerlang ditampilkan.

Kedah yang bersaing hebat dengan Perak bagi merebut kejuaraan Liga Super musim tersebut terpaksa menunggu hingga perlawanan terakhir untuk mengesahkan kejuaraan mereka.

Kelebihan memihak kepada Kedah pada perlawanan ke-23 liga apabila Perak ketika itu berada di tangga teratas hanya terikat 1-1 menentang Terengganu di Ipoh. Sementara itu, Marlon Alex James berjaya menyumbat hatrik pada perlawanan bertemu Negeri Sembilan untuk kemenangan besar 7-0 buat Kedah.

Perlawanan terakhir liga pula menyaksikan Perak menumpaskan Sarawak 4-2 di Kuching dan Kedah turut memperoleh kemenangan apabila menewaskan DPMM Brunei di Bandar Seri Begawan untuk memastikan Kedah dinobatkan selaku juara Liga Super 2006/07 dengan berkelebihan 2 mata meninggalkan Perak ditempat kedua.

Pada perlawanan akhir Piala FA pula, Marlon tidak dapat turut serta bagi beraksi di perlawanan yang diadakan di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang.

Perlawanan tersebut berlanjutan sehingga ke penentuan sepakan penalti, akhirnya memihak kepada Kedah bagi meraih kejuaraan Piala FA yang terlebih dahulu didakap mereka sebelum mereka memperoleh kejuaraan Liga Super.

Marlon Alex James terus menunjukkan taringnya apabila menjadi antara watak penting dalam memastikan piala ketiga (treble) buat Kedah apabila sekali lagi menghampakan Perak dalam usaha merebut kejuaraan. Kali ini dalam saingan Piala Malaysia pula.

Dua jaringan Marlon pada minit ke-26 dan 81 berjaya menambah luka Perak yang dibolosi pada minit ke-24 menerusi Khyril Muhymeen Zambri untuk menoktahkan sisa perjuangan pasukan lawan bagi melengkapkan malam indah buat Kedah di Stadium Nasional Bukit Jalil pada tarikh 8 September 2007 itu.

Pada musim ini juga Marlon berjaya menghasilkan 20 gol dalam saingan liga dan secara keseluruhannya menjaringkan 40 gol dalam semua pertandingan (Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia).

Marlon Alex James
Antara individu penting dalam mencipta kejuaraan ‘double treble’. Kredit foto: google

Turut membantu Kedah meraih ‘Double Treble’ (2007-08)

Pencapaian hebat yang dicatatkan pada musim 2006-07 tersebut berjaya diulangi Kedah pada musim berikutnya.

Kejayaan menjuarai Piala FA bagaimanapun tidak dapat diraikan bersama pasukan apabila Marlon Alex James dan Bernard Huggins terpaksa melupakan aksi tersebut kerana mempunyai tugasan bersama skuad kebangsaan Saint Vincent & Grenadines yang bertembung dengan tarikh perlawanan akhir itu.

23 jaringan yang dihasilkan Marlon dalam saingan liga sudah cukup untuk membawa pasukannya menjuarai Liga Super apabila berjaya mengutip 56 mata selepas tamat 24 perlawanan. Negeri Sembilan berada ditempat kedua.

Kedah sekali lagi menempah pertemuan final dengan Selangor. Kali ini dalam perlawanan akhir Piala Malaysia dan mereka tidak mensia-siakan peluang mencipta sejarah menjuarai kejuaraan ‘treble’ buat 2 tahun berturut-turut  apabila berjaya menumpaskan The Red Giants juga dengan keputusan 3-2 seperti diraih sewaktu memenangi Piala FA.

Marlon berjaya menghasilkan satu gol dalam perlawanan itu bagi memahat nama pasukan Kedah sebagai pasukan yang berjaya melakukan kejuaraan ‘double treble’ dalam tempoh masa dua tahun.

Kembali ke Malaysia untuk bersama Angkatan Tentera Malaysia

Selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) melarang penggunaan pemain import bermula tahun 2008, Marlon berkelana ke Kanada untuk merasai pengalaman baru dalam kariernya.

Namun Malaysia jelas tidak dapat dipisahkan dengan beliau apabila kembali ke Malaysia pada tahun 2012 dan pasukan yang menjadi pilihannya adalah Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Marlon beraksi dua musim bersama ATM dan berjaya membantu pasukan The Gladiators menjuarai Liga Premier 2012 dan menjadi naib juara Piala Malaysia 2012.

Pada tahun 2014, ATM telah menamatkan kontrak Marlon akibat dari kecederaan berpanjangan yang dihadapi dan seterusnya memaksa beliau mengambil keputusan untuk bersara daripada bola sepak.

Pencapaian peribadi yang diperolehi di Malaysia

Antara pencapaian peribadi yang dinikmati Marlon sewaktu menabur bakti di Kedah adalah berjaya meraih gelaran Penjaring Terbanyak Liga Super 2008 (23 jaringan) dan turut dipilih sebagai Pemain Import Paling Bernilai dalam Anugerah Bola Sepak FAM-100 Plus buat dua tahun berturut-turut iaitu pada 2006-07 dan 2007-08.

Manakala ketika bersama ATM, Marlon berjaya menjadi Penjaring Terbanyak Liga Super 2013 apabila berjaya menyumbangkan 16 gol.

Rumusan

Kehadiran Marlon Alex James tepat masa masanya disaat Kedah sedang dalam usaha untuk membangunkan sebuah pasukan yang kuat selepas bangkit dari terhumban ke saingan Liga Premier.

Kelibat serta sumbangan yang diberikan pemain yang kini berusia 40 tahun itu pasti terngiang-ngiang di fikiran dan terpahat di sanubari penyokong skuad hijau kuning.

Kredit foto : mStar

 

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN