Mario Gomez Akui JDT Sudah Langsai Gaji Tunggakannya

Isu tunggakan gaji di antara bekas jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Mario Gomez dengan pasukan Harimau Selatan itu akhirnya sudah selesai menurut laporan daripada akhbar tempatan, Kosmo.

Bulan Disember tahun lepas, dalam satu artikel yang disiarkan oleh sebuah portal berbahasa Inggeris The Malay Mail Online, Mario Gomez dilaporkan akan mengheret pemilik JDT, DYAM Tunku Ismail Ibrahim (TMJ) ke mahkamah berhubung isu gaji tertunggak.

Mario Gomez dipetik sebagai berkata dalam artikel tersebut:

“Kami akan berjumpa di mahkamah dalam masa terdekat. Mereka enggan membayar gaji saya. Peguam saya sedang bekerja untuk membawa kes saya ke FIFA.”

“Saya akan memberikan maklumat yang sensitif untuk diperkatakan di sini kepada FIFA” ujar Gomez kepada Mailsport ketika dihubungi dari Buenos Aries.

Pada 27 Ogos yang lalu, akhbar yang sama turut melaporkan Mario Gomez telah menggesa JDT melakukan penyelesaian segera ke atas tunggakan gaji beliau, atau akan mengambil tindakan undang-undang jika perlu.

Gomez yang kini melatih kelab Indonesia, Persib Bandung mengakui kemelut itu sudah diselesaikan dengan profesional pada Janua­ri lalu dan enggan mendedahkan jumlah sebenar tunggakan gaji yang dituntutnya.

“Mereka (JDT) telah membayar tunggakan gaji saya. Apa pun, saya sentiasa berte­rima kasih kepada pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim kerana baginda banyak memberikan peluang kepada saya.

“Baginda juga memberikan peluang untuk bekerja di bawahnya dan saya memiliki dua tahun indah ketika mengendalikan JDT. Saya sentiasa bersyukur ketika mewakili JDT.

“Saya gembira kerana perkara itu telah menemui jalan penyelesaian antara kedua-dua pihak,” katanya.

Mario Gomez bersama Tunku Ismail ketika diumumkan sebagai Ketua Jurulatih JDT.

Di bawah kendalian jurulatih dari Argentina itu, JDT berjaya memenangi Piala AFC pada tahun 2015 dan memenangi gelaran Liga Super dua kali berturut-turut pada tahun 2015 dan 2016.

Gomez juga mengakui teruja jika pasukannya, Persib Bandung mendapat peluang untuk menentang JDT di masa yang akan datang.

“Memori di (Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos) Larkin masih segar dalam ingatan saya. Saya masih ingat sorakan penyokong-penyokong dan terlalu sukar untuk saya lupakan.

“Menentang JDT, mengapa tidak? Sudah pasti ia akan menjadi satu perlawanan mengujakan tetapi kali ini, sudah pasti saya mahukan pasukan saya (Persib Bandung) menang. Itu sudah pasti,” katanya.

Bulan Disember tahun lepas, dalam satu artikel yang disiarkan oleh sebuah portal berbahasa Inggeris The Malay Mail Online, Mario Gomez dilaporkan akan mengheret pemilik JDT, DYAM Tunku Ismail Ibrahim (TMJ) ke mahkamah berhubung isu gaji tertunggak.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram