Marcos Llorente Jelaskan Tujuan Namakan Anjingnya ‘Anfield’

Marcos Llorente Anjing

Pemain tengah Atletico Madrid, Marcos Llorente merupakan hero pasukannya pada malam mereka menghumban keluar juara bertahan Liga Juara-Juara Eropah (UCL), Liverpool pada Mac lalu sebelum semua aksi bola sepak terhenti ekoran pandemik COVID-19.

Llorente menjaringkan gol pada babak pertama masa tambahan dalam perlawanan timbal balik di Anfield pada 11 Mac lalu dan kemudian sekali lagi menjaringkan gol sebelum Alvaro Morate menambah satu gol lagi untuk pasukannya menang 3-2 di gelanggang keramat tersebut.

Beberapa minggu selepas perlawanan tersebut, Llorente telah dikecam terutamanya dalam kalangan penyokong Liverpool kerana menamakan anjing peliharaannya ‘Anfield’.

Bagaimanapun, Llorente menjelaskan tujuannya berbuat demikian tiada niat untuk menghina juara Eropah tersebut, tetapi adalah demi menghargai kenangan manis di Marseyside yang menjadi antara saat indah dalam kariernya sebagai pemain.

“Kami sangat menikmati malam tersebut. Saya menonton siaran ulangan perlawanan itu beberapa kali pada bulan lepas,” kata Llorente kepada stesen radio Sepanyol, Cadena Ser.

“Di rumah apabila saya kembali menonton perlawanan itu, bulu roma saya akan meremang, Saya sanggup menonton keseluruhan perlawanan sehingga tiga atau empat kali.”

Bagi masyarakat barat, memelihara anjing sebagai haiwan peliharaan adalah perkara biasa. Oleh itu, tindakan meletakkan ‘Anfield’ pada nama anjing kesayangannya tentunya bukan berniat negatif, jauh sekali berniat untuk ‘menganjing’ pasukan atau penyokong Liverpool.

Anak saudara kepada legenda Real Madrid, Paco Gento itu tidaklah terlalu mononjol dalam tahun pertamanya di Atletico sejak berpindah dari Real pada musim panas lepas dan hanya menjaringkan tiga gol sahaja sebelum menyumbat dua gol penting ketika berdepan Liverpool tempoh hari.

Kemenangan ke atas Liverpool itu merupakan perlawanan Atletico Madrid yang terakhir sebelum saingan bola sepak di Sepanyol dihentikan akibat pandemik COVID-19.

Perlawanan di Anfield itu juga telah disahkan menjadi antara punca kes jangkitan dan kematian meningkat di United Kingdom dan disahkan oleh sekumpulan saintis di yang mengetuai projek pengesanan punca jangkitan COVID-19 di United Kingdom (UK) melalui data yang dikumpulkan dari jutaan responden dan sukarelawan.

Atletico Madrid sudah pun kembali menjalani latihan individu pada awal Mei dan akan dibenarkan untuk memulakan sesi latihan berpasukan dalam masa terdekat selepas mendapat kebenaran pihak berkuasa.

Skuad kendalian Diego Simeone itu akan menentang Atletic Bilbao apabila La Liga bersambung pada 14 Jun ini.

Kredit Foto: Getty Images

Baca juga artikel kami yang lain mengenai Atletico Madrid:

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply