Manzoor Mahu Anak Buah Kekal Fokus Buru Gelaran Juara Liga Premier

Kerjasama Semuanya BOLA

Liga Premier

Keyakinan Pulau Pinang semakin memuncak dalam pemburuan gelaran juara Liga Premier buat kali pertama selepas cemerlang dengan rekod bersih tanpa kalah dalam lapan perlawanan setakat ini.

Skuad kendalian Manzoor Azwira Abdul Wahid kekal di tangga teratas liga selepas menang 2-1 ke atas Kuala Lumpur, Sabtu lalu dengan 20 jumlah mata setakat ini, namun itu masih belum menjamin adakah trofi Liga Premier musim ini bakal menjadi milik mereka.

Jelas Manzoor, Kuala Lumpur yang kini di tangga kedua masih berpeluang untuk mengejar kedudukan takhta liga sekiranya Pulau Pinang gagal mengekalkan momentum kemenangan dalam baki tiga perlawanan akan datang memandangkan dua pasukan ini hanya dipisahkan dengan tiga mata sahaja.

Justeru, amat penting untuk barisan pemain kekal fokus bagi memastikan pasukan kekal dengan rekod bersih tanpa kalah apabila bakal berdepan UKM FC, Kelantan United dan Terengganu II selepas ini.

“Saya bersyukur kerana kita akhirnya dapat tiga mata kerana saingan daripada Kuala Lumpur sebenarnya agak kuat dan ia bukan satu perlawanan yang mudah.

“Tetapi, Pulau Pinang belum lagi bergelar juara Liga Premier dan tiga perlawanan lagi amat penting kerana tidak mustahil Kuala Lumpur boleh menang untuk mengejar kedudukan kami.

“Kami akan cuba pertahankan kedudukan ini daripada segi jaringan dan jumlah mata untuk memastikan kita betul-betul sah menjadi juara nanti,” katanya.

Selepas mengharungi lapan perlawanan, Pulau Pinang yang sudah pun mengesahkan tempat ke kempen Liga Super 2021 mendahului carta liga dengan mengumpul 20 mata hasil enam kemenangan dan dua keputusan seri.

Kredit featured image: FA Penang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram

Leave a Reply