Manzoor Azwira Yakin Amer Azahar Dan Daniel Irfan Ada Potensi Untuk Menyerlah

Amer Azahar Pulau Pinang 2020

Pulau Pinang dilihat kali ini telah membawa masuk pemain yang tampak boleh membantu pasukan dalam misi meraih promosi ke Liga Super 2021. Walaupun bukan pemain berstatus bintang, namun kesesuaian mereka telah diambil kira sebaik-baiknya.

Pengendali pasukan, Manzoor Azwira ketika dihubungi Semuanya BOLA menjelaskan yang semua pemain yang dibawa masuk adalah hasil penelitian dan pemilihannya atas dasar keperluan pasukan..

“Kebanyakkan [pemain baharu] saya yang cari. Saya cari pemain yang mengikut keperluan pasukan dan sesuai dengan pasukan. Bukan setakat dalam padang, saya juga lihat di luar padang,” ujarnya mengenai pemilihan pemain bagi skuad kali ini.

Ketika ditanya Semuanya BOLA mengenai pemain muda yang perlu diberikan perhatian untuk musim baharu nanti, Manzoor Azwira memilih dua nama iaitu Amer Azahar dan Daniel Irfan.

Amer Azahar merupakan penyerang daripada UiTM FC yang kembali menabur bakti di negeri kelahirannya dan dilihat akan menyerlah walaupun sudah berusia 24 tahun namun sebagai pemain yang masih ‘hijau’ dengan pengalaman, Manzoor Azwira masih menganggap pemain tersebut adalah pemain muda.

“Saya rasa yang bepotensi adalah Amer [Azahar]. Satu lagi yang kita ada adalah Daniel Irfan,” tuturnya mengenai pemain muda yang bakal menarik perhatian untuk saingan musim baharu.

“Kedua-duanya bakat dari Pulau Pinang. Cuma Amer sudah di UiTM FC selama empat tahun dan meraih pengalaman ketika di sana. Selepas tamat pengajian dan kembali ke Pulau Pinang, saya lihat permainannya semakin matang,” jelas Manzoor Azwira.

Menurutnya lagi, Amer Azahar dilihat mudah sesuaikan diri dengan pasukan dan cepat serasi walaupun baru sebulan kembali selain memiliki peluang cerah bagi membarisi kesebelasan utama.

“Untuk Daniel Irfan, kematangan dalam permainan dilihat semakin meningkat dan boleh saya kata bakal menjadi satu penyerang yang baik di masa depan,” tambahnya lagi sambil berharap yang pemain muda lain juga boleh menyerlah jika diberi peluang musim depan.

Dalam aksi pra-musim menentang UiTM FC baru-baru ini, Daniel Irfan berhasil meledak satu gol untuk menewaskan lawan dengan keputuan 4-0. Tiga gol lagi adalah sumbangan Casagrande.

Kredit Foto: FA Penang

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply