Manzoor Azwira Puas Hati Persembahan Anak Buah

Manzoor

Ketua jurulatih Pulau Pinang, Manzoor Azwira Abdul Wahid tetap berpuas hati dengan persembahan anak buahnya meskipun skuad bimbingannya itu gagal meraih tiga mata penuh pada aksi Liga Premier Malaysia 2020 menentang Perak II, malam tadi.

Keputusan seri 1-1 yang dicatatkan pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Manjung itu menyaksikan Pulau Pinang gagal meneruskan rentak dua kemenangan awal diraih ketika bertemu Sarawak United dan Selangor 2.

Peledak berbisa, Casagrande Anselmo Arruda terlebih dahulu menggembirakan kem Pulau Pinang apabila membuka tirai jaringan pada minit ke-20 tetapi Bruno Luiz Pires Bezerra memadamkan kelebihan tersebut di minit ke-71 untuk kedua-dua pasukan berpuas hati dengan satu mata.

”Syukur Alhamdulillah kita berjaya membawa pulang satu mata di tempat lawan. Ini adalah perlawanan pertama kita di tempat lawan.”

”Bukan satu perkara yang mudah buat kita untuk mendapatkan mata di gelanggang pasukan Perak II, di mana saya amat hormati ‘coach’ Abu Bakar Fadzim (ketua jurulatih Perak II).”

Kredit foto: FA Penang

”Pada malam ini (malam tadi) kita mempunyai beberapa peluang tetapi kita tidak berjaya menyudahkannya tetapi itu merupakan perkara lumrah dalam bola sepak,” ujar Manzoor bercakap dalam sidang media selepas perlawanan.

” InsyaAllah untuk perlawanan akan datang, kita akan buat yang terbaik di tempat sendiri dan saya berpuas hati dengan pemain-pemain saya.”

Dalam pada itu, Manzoor turut mengakui ketiadaan pemain tengah, Endrick dos Santos dan Lee Chang Hoon sedikit menjejaskan aksi pasukannya malam tadi.

”Memang sedikit kekurangan buat pasukan kita di bahagian tengah dan serangan tetapi saya harap pada perlawanan akan datang Endrick dapat beraksi dan termasuk juga dengan Lee Chang Hoon.”

” Pada malam ini saya rasa pemain kita dapat menguasai permainan cuma hanya tidak dapat menjaringkan gol sahaja.”

Kredit foto: Malaysian Football League (MFL)

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram