Manzoor Azwira Mahu Cipta Kegemilangan Bersama Pulau Pinang Persis Skuad ‘Perlis 2006’

Kerjasama Semuanya BOLA

Manzoor Azwira Pulau Pinang 2020

Manzoor Azwira Abd Wahid menikmati kemuncak kariernya bersama Perlis pada 2006 dan menurutnya, itulah yang akan cuba diciptanya semula bersama Pulau Pinang kini.

Dilantik mengemudi pasukan sejak pertengahan musim 2019, Pulau Pinang yang bersaing di Liga Premier masih belum tumbang sehingga kini – 14 perlawanan liga berturut-turut. Ia satu rekod yang sangat baik bagi pengendali berusia 43 tahun itu.

Mengakui perancangannya sedikit terencat dengan tertangguhnya liga saat ini akibat pandemik COVID-19, beliau mengharapkan rentak pasukannya untuk memburu slot ke Liga Super 2021 tidak akan terjejas selain untuk meneruskan rekod tanpa kalah.

Kapten Singa Utara pada musim 2006 itu membantu Perlis mengucup Piala Malaysia buat kali terakhir pada 2006, selain membantu mereka menjulang kejuaraan Liga Super buat kali pertama dan terakhir pada musim 2005 – menerusi jaringan tunggalnya.

Kejuaraan Liga Super 2005

Jaringannya di minit ke-41 sudah cukup untuk menumbangkan Pulau Pinang di Stadium Utama, Kangar seterusnya mengesahkan kejuaraan Liga Super buat kali pertama untuk Perlis – dengan liga masih berbaki dua perlawanan sahaja lagi.

Perlis pada musim 2005

Ia sudah tentu terpahat segar di minda Manzoor Azwira kerana beliau merupakan pemain tengah Perlis, namun telah menewaskan negeri kelahirannya Pulau Pinang menerusi jaringan tunggal bagi mengesahkan kejuaraan menjadi milik Singa Utara.

“Waktu itu, Pulau Pinang pun kuat. Kita bermain di Stadium Kangar. Gol itu pula gol tunggal dan malam itu juga kita disahkan juara liga. Satu kenangan yang manis bagi saya, cuma saya main Perlis, tetapi jaring gol lawan Pulau Pinang la pula,” ujarnya.

Dihadapan lebih 20,000 penyokong yang hadir, skuad kendalian Abdul Rahman Ibrahim yang diperkuatkan dengan pemain-pemain seperti Yusri Che Lah, Khairi Zainudin dan Khaironnisam Sahabudin berjaya menghadiahkan trofi tersebut untuk buat Perlis.

Boleh dikatakan ia satu perlawanan yang dramatik apabila dalam perlawanan tersebut penalti Zakaria Simukonda diselamatkan dan jaringan Philemon Chipeta pula telah dibatalkan. Namun, anak jati Pulau Pinang ini pula yang berjaya memecah kebuntuan.

Pada musim itu juga, Perlis berhasil melangkah ke final Piala Malaysia buat kali kedua berturut-turut, namun telah dikecewakan Selangor hasil ledakan hatrik, Bambang Pamungkas. Semusim kemudian, mereka kembali untuk menjuarainya semula.

Philemon Chipeta. FOTO: Utusan Malaysia

Kekuatan Perlis di era tersebut

Bercakap mengenai era kehebatan Singa Utara, Manzoor Azwira tidak dapat menafikan yang mereka serba lengkap di setiap posisi ditambah dengan kesefahaman yang dibentuk beberapa musim serta dibantu dengan sokongan hebat para penyokong.

Menurutnya, ketika kembali semula ke Perlis pada musim 2004 selepas dua musim di Kedah, hampir 40 peratus pemain masih kekal sama dan membolehkan keserasian mudah dibentuk oleh pengendali yang tidak kurang hebatnya ketika itu, Norizan Bakar.

Kemuncak pembentukkan Perlis untuk saingan sulung Liga Super 2004 adalah pada 2006 apabila mereka kembali ke pentas saingan Piala Malaysia untuk memenanginya buat kali terakhir sebelum meraih gelaran Sumbangsih pada 2007 dan 2008.

“Saya lihat pada waktu itu, Cikgu Jan [Norizan Bakar] balik ke Perlis. Dia antara coach yang hebat masa itu dan saya rasa macam hendak belajar sesuatu daripadanya selain rakan-rakan yang masih ada di sana,” ceritanya mengenai faktor kembali ke Perlis.

“Perlis ketika itu dibarisi hampir 40 peratus pemain yang sama ketika saya tinggalkan mereka [2002]. Jadi, persefahaman itu boleh kata kuat. Terus terang saya cakap, pemain import kita ketika itu antara yang terhebat dalam liga,” tegas Manzoor Azwira.

Manzoor Azwira bersama Khaironnisam Sahabudin. FOTO: FB Manzoor Azwira

“Sokongan penyokong pada waktu juga sangat hebat. Kalau main home, boleh kata selalu fullhouse,” ujarnya sambil menyamakan keupayaan Philemon Chipeta adalah seperti Dickson Nwakaeme di era tersebut – semua pertahanan gerun dengannya.

Tiga tahun ‘deret’ ke final

Anak kelahiran Bukit Mertajam, Pulau Pinang itu memulakan kariernya bersama Pulau Pinang sebelum berhijrah ke TM Melaka pada 1998 untuk menjuarai Piala FAM. Semusim di sana, Perlis memikatnya untuk bersama mereka buat kali pertama.

Selepas melalui tiga musim yang agak suram di Perlis, Manzoor Azwira ke Kedah dan membantu mereka meraih promosi ke Liga Perdana 1 selepas menjuarai saingan Liga Perdana 2 pada 2002 dan setahun kemudian muncul naib juara Liga Perdana 1.

Jodoh bersama Kedah hanya dua tahun dan beliau memilih untuk kembali ke Perlis buat kali kedua bagi menyertai revolusi Singa Utara untuk saingan pertama Liga Super 2004. Menurutnya, ia adalah tiga musim yang hebat bersama Perlis sehingga 2006.

“Boleh kata tiga tahun itu deret [asyik] ke final. Dan tahun 2006 adalah satu kepuasan bagi saya kerana dapat beraksi di Piala AFC, final Piala FA dan Piala Malaysia,” kenangnya sambil berkata tiada rezekinya untuk bersama skuad kebangsaan.

manzoor, khairul anuar, piala malaysia
Final Piala Malaysia 2006. FOTO: The Star

Tahun 2007 boleh dikatakan kariernya semakin menuju ke penghujung apabila telah menyertai Kuala Muda Naza dan akhirnya menggantungkan but di sana pada 2009, tetapi masih sempat membantu kelab tersebut untuk menjuarai Liga Premier 2008.

Pengaruh besar tiga pengendali

Manzoor Azwira turut berkongsi kepada Semuanya BOLA yang beliau beruntung kerana sepanjang kariernya, beliau bekerjasama dengan pelbagai jurulatih yang memiliki pendekatan yang berbeza serta hebat dalam bidang kejurulatihan.

Daripada pengalaman itulah, beliau mendapati yang pendekatan dalam bola sepak itu sebenarnya luas. Tidak hanya menggunakan satu atau dua taktikal sahaja.

Antara jurulatih yang baginya memberi pengaruh besar dalam kariernya sehingga kini adalah Norizan Bakar, Abdul Rahman Ibrahim dan K. Devan. Selain mereka bertiga, beliau turut pernah bekerjasama bersama Merzagua Abderrazak dan ‘Mamu’ Jacksen.

“Saya untung kerana ketika bersama Perlis, saya duduk dengan Cikgu Jan dan coach Abdul Rahman [Ibrahim]. Boleh kata, pada waktu itu, banyak saya belajar dengan mereka dan sampai ke hari ini, ada pendekatan yang saya masih guna,” katanya.

Bersama Merzagua Abderrazak menjuarai saingan Piala FAM 2013. FOTO: FA Penang

“Dan coach K. Devan yang saya rasa antara yang hebat. Saya pernah bersamanya ketika bermain di Kuala Muda Naza dan sebagai penolongnya ketika di Pulau Pinang,” tambahnya sambil berkata ketiga-tiganya antara jurulatih tempatan yang hebat.

“Masa jadi penolong jurulatih pun, saya beruntung apabila dapat bekerja bersama dua jurulatih yang hebat macam Merzagua Abderrazak dan coach Tiago [Jacksen]. Semua ada kekuatan dan karekter tersendiri yang saya masih guna ketika ini,” ulasnya.

Pendekatan taktikal yang digemarinya

Ketika ditanya Semuanya BOLA mengenai taktikal yang diterapkannya bersama Pulau Pinang, beliau menjelaskan tiada taktikal khusus kerana dalam bola sepak moden, taktikal adalah pelbagai dan mungkin banyak taktikal dalam satu perlawanan.

“Saya cuba ikut bola sepak moden yang ada sekarang ini. Pada masa yang sama, saya ada ambil juga pendekatan coach-coach yang saya telah sebut tadi. Dalam bola sepak sebenarnya, formasi dan sistem macam sekadar nombor sahaja dalam padang.

“Dalam padang, saya boleh guna dua, tiga, empat formasi. Situasi dalam padang akan berbeza-beza,” jelasnya mengenai pendekatan taktikal yang digemarinya.

Manzoor Azwira Pulau Pinang Latihan
FOTO: FA Penang

“Saya cuba untuk jadikan Pulau Pinang bermain dengan aksi yang menarik dan menghiburkan. Salah satu KPI saya adalah untuk tarik penyokong kembali ke stadium dan dalam masa yang sama, kita mahukan kemenangan,” ulas Manzoor Azwira lagi

Setakat ini, sepanjang penglibatannya sebagai pengendali Pulau Pinang bermula pada pertengahan musim lalu, Manzoor Azwira dilihat tidak kekeringan idea biarpun senarai pemain yang ada padanya untuk saingan musim ini, boleh dikatakan berubah.

Pulau Pinang gagal meraih promosi ke Liga Super 2020 atas faktor teknikal apabila dihukum pemotongan enam mata oleh FIFA akibat masalah tunggakan gaji pemain import, Reinaldo Lobo yang beraksi bersama mereka pada musim 2015 hingga 2017.

Penutup

“Kalau boleh hendak cipta rekod jugaklah [tanpa kalah berturut-turut dalam saingan liga],” komen Manzoor Azwira sambil tersenyum mengenai rekod 14 perlawanan tanpa kalah berturut-turut sejak pertengahan musim Liga Premier 2019 yang lalu.

Apa yang cuba dikongsikan olehnya adalah, kejayaan yang pernah diciptanya bersama Perlis pada satu ketika dahulu, akan cuba diciptanya semula bersama Pulau Pinang berdasarkan apa yang pernah dilaluinya dan juga bagaimana untuk melakukannya.

Adakah Harimau Kumbang akan kembali mengaum gah di bawah tunjuk ajarnya? Ayuh, penyokong Pulau Pinang dan Perlis, ‘haria’ sedikit komentar mengenai Manzoor Azwira dan mungkin prestasi Pulau Pinang ketika ini di ruangan komen nanti.

KREDIT FEATURED IMAGE: FA PENANG

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram