Manzoor Azwira Harap Samuel Somerville Tidak Terlalu ‘Overconfident’

Kerjasama Semuanya BOLA

Samuel Somerville Pulau Pinang Liga Premier Manzoor Azwira

Pasca Covid-19, prestasi penjaga gol Pulau Pinang, Samuel Somerville semakin baik apabila tidak dibolosi dalam dua aksi berdepan Kelantan dan Negeri Sembilan.

Selain belum lagi tewas dalam enam perlawanan di saingan Liga Premier 2020, Pulau Pinang juga merupakan pasukan yang merekodkan bolos terendah dengan hanya empat gol dibolosi. Musim lalu, mereka merekodkan empat cleansheet.

Setiap minggu Manzoor cabar Sam

Pulau Pinang melalui tiga perlawanan berturut-turut tanpa bolos. Mereka terikat tanpa jaringan menentang Kuching FA pada Mac lalu dan selepas liga kembali bersambung, mereka menang 3-0 ke atas Kelantan dan 2-0 (Negeri Sembilan).

Ia merupakan prestasi yang mengagumkan daripada penjaga gol baharu mereka, Samuel Somerville yang menyertai pasukan daripada Johor Darul Ta’zim (JDT) II untuk saingan musim ini. Harimau Kumbang juga berada di puncak liga kini.

Ketika Semuanya BOLA bertanyakan prestasi Somerville, Manzoor Azwira berkata, “Sebenarnya setiap kali perlawanan, kita bagi satu cabaran kepada Samuel supaya kekalkan cleansheet dan setakat ini, dia telah terima cabaran saya itu.”

Ketika ditanya bagaimana situasinya yang bakal berdepan bekas pasukannya, JDT II di Larkin pada Sabtu, Manzoor Azwira yakin penjaga gol utamanya itu mahu buktikan sesuatu disamping mengharapkan beliau akan kekal fokus di sana nanti.

Jangan terlalu menunjuk sangat!

“Saya rasa dia lebih bermotivasi untuk cuba tunjukkan yang dia salah seorang penjaga gol terbaik dalam liga. Sebelum ini di JDT II pun, dia jarang dapat peluang sebab Haziq Nadzli yang banyak beraksi,” ujarnya mengenai Somerville.

Pengendali berusia 43 tahun juga sentiasa mengingatkan penjaga golnya itu agar tidak melepaskan gol jika mahukan pasukannya berjaya. Jelasnya, “Mungkin ini satu peluang untuk dia tunjukkan yang dia mampu menjadi penjaga gol utama.”

Samuel Somerville Pulau Pinang Liga Premier Latihan
Ketangkasannya bakal ditagih Pulau Pinang berdepan JDT II, Sabtu ini. FOTO: FA Penang

“Cuma harapan saya, dia kekalkan momentumnya agar tidak terlalu mahu menunjuk sangat [kemampuannya]. Fokus pada perlawanan,” tambah Manzoor Azwira lagi sambil menjangkakan satu pertembungan yang sengit di Larkin nanti.

JDT II pastinya mahu membalas dendam kekalahan yang dialami mereka pada saingan musim lalu di tempat sendiri pada Mei 2019 – tumbang 0-2, hasil jaringan gandingan penyerang sensasi musim lalu, Ezequiel Aguero dan Casagrande.

Penutup

Pertembungan dengan JDT II penting untuk mengukuhkan kedudukan teratas Harimau Kumbang yang hanya dipisahkan perbezaan gol bersama Kuala Lumpur, sebelum kedua-duanya membuat perhitungan pada 19 September depan.

Berusia 26 tahun, Somerville masih boleh dianggap berada di permulaan kemuncak karier sebagai penjaga gol dan sekiranya beliau kekal fokus dengan prestasi baiknya bersama Pulau Pinang, JDT II bukanlah satu masalah buatnya.

KREDIT FEATURED IMAGE: FA PENANG

Baca lagi artikel mengenai Manzoor Azwira dan Pulau Pinang:

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram