Manzoor Azwira Beri Sebab Penang Senaraikan Azmi Muslim dan Khairul Akmal

Azmi Muslim Safawi Rasid JDT Penang 2021

Azmi Muslim dan Khairul Akmal Rokisham antara kejutan dalam senarai kesebelasan utama Penang FC ketika tewas 0-3 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT), malam tadi.

Disebalik prestasi baik pemain lain, pasti menjadi persoalan mengapa Azmi Muslim dan Khairul Akmal menjadi pilihan utama dalam aksi penting berdepan JDT. Untuk posisi Azmi Muslim, mereka masih memiliki Azmeer Aris di bangku simpanan.

Bek tengah, Khairul Akmal pula diturunkan untuk penampilan pertamanya dalam kesebelasan utama dan beraksi di posisi lain iaitu pemain tengah bertahan sedangkan Harimau Kumbang memiliki Fadhil Idris yang bermain baik dalam aksi sebelum ini.

Adakah ini menjadi punca utama kekalahan Penang kepada JDT, sedangkan ketika di Stadium Sultan Ibrahim pada pusingan pertama liga, mereka tampil bermain baik dalam 80 minit aksi sebelum JDT memenangi perlawanan di sepuluh minit terakhir.

Dua gol JDT hadir daripada zon sebelah kiri gawang, posisi Azmi Muslim, yang mana gol pertama lebih jelas bagaimana Azmi Muslim dengan mudah ditewaskan pemain kebangsaan, Safawi Rasid untuk meledak gol pembukaan perlawanan di minit ke-15.

Dalam pertembungan pertama liga pada awal Mac lalu, Azmeer Aris yang tampil buat kali kedua ketika itu mempamerkan prestasi mengejutkan apabila berjaya mengikat Safawi Rasid sehingga pemain itu kempunan meledak dan dikeluarkan oleh JDT.

Mengapa dalam perlawanan ini, Azmeer Aris diketepikan dan Azmi Muslim yang sudah jarang beraksi tiba-tiba kembali ke dalam skuad utama. Menurut Manzoor Azwira, kesebelasan utama yang dipilih adalah yang terbaik untuk aksi pada malam itu.

Ujarnya di sidang media, “Setiap pemain ada kelebihan dan kekuatan mereka. Jadi, untuk aksi pada malam ini, kita bersetuju untuk meletakkan Azmi di situ. Kita harap, dengan pengalaman yang dia ada, dia akan berjaya mengekang Safawi Rasid tetapi dalam bola sepak sedikit kelekaan dan kehilangan fokus boleh menghukum pasukan.”

“Saya tidak katakan itu sebagai kelemahan sebab dalam bola sepak, sedikit kelekaan boleh menghukum. Ditambah pula dengan pasukan JDT yang memiliki pemain yang baik dan penjaringnya Safawi Rasid, pemain yang sangat berkualiti,” tambahnya.

Sebagaimana Azmi Muslim, Manzoor Azwira juga memilih untuk memberikan jawapan yang sama terhadap penyenaraian Khairul Akmal yang kali pertama diturunkan dalam kesebelasan utama. Ulasnya lagi, “Kita cuba untuk mengekang di bahagian tengah.”

“Kita tahu [Natxo] Insa bermain baik di situ bersama Safiq Rahim dan Syamer Kutty. Kita telah buat yang terbaik tetapi belum cukup. Jadi, kita kena pastikan selepas ini kita akan buat lebih baik,” tegasnya yang menggantikan Tomas Trucha di sidang media.

Ketika diajukan persoalan, adakah Penang ‘merindui’ pemain tengah bertahan, Khairu Azrin Khazali, Manzoor Azwira seperti dalam nada bersetuju sambil berkata Penang juga kehilangan beberapa pemain lain yang sudah tersisih dalam beberapa aksi.

Kali terakhir beraksi berdepan Sri Pahang ketika menang 3-0 di Stadium Bandaraya, Khairu Azrin yang dianggap sebagai jeneral oleh rata-rata penyokong Penang akhirnya telah diusung keluar apabila mengalami kecederaan pada minit ke-37.

Selepas tiga aksi tanpanya, Penang melalui dua kekalahan besar iaitu berdepan KL City dengan keputusan 1-3 dan JDT (0-3). Hanya satu kemenangan diraih iaitu ketika menang mengejut 4-1 ke atas Terengganu FC di Kuala Terengganu.

Akhirnya selepas tujuh perlawanan di Bandaraya, Penang tewas dan berpotensi di pintas Selangor FC, jika The Red Giants merekodkan kemenangan besar, malam ini. Saat ini, Penang di tangga ke-4 Liga Super 2021 dengan mengumpul 22 mata.

Baca lagi artikel lain mengenai Manzoor Azwira dan Penang FC:

Liga Super: Harimau Kumbang Dilanyak Harimau Selatan Di Kandang Sendiri

Tomas Trucha Kredit ‘Urus Niaga’ Manzoor Azwira Pacu Prestasi Terkini Penang

Admin FB Penang FC Mohon Maaf Selepas Balas Komen ‘Babi’ Oleh Penyokong

Sumber:

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN