Manuel Hidalgo: Sanggup Tinggalkan Eropah Kerana Maradona, Kini ‘Hero Segera’ Sri Pahang

Nama Manuel Hidalgo kini mulai menjadi sebutan peminat bola sepak tempatan. Ia berikutan impak segera yang dihasilkan pemain itu apabila turun beraksi buat kali pertama buat Sri Pahang FC menentang Selangor FC sebelum ini.

Dalam perlawanan tersebut, Hidalgo menjaringkan satu gol sebelum sepakan percuma beliau pada minit akhir perlawanan membenarkan Abdul Malik menanduk masuk bola untuk menyamakan kedudukan untuk Sri Pahang berkongsi mata dengan pelawat.

Kenali Manuel Hidalgo

Sebelum ini nama Manuel Hidalgo amat asing buat pemain bola sepak tempatan. Walaupun dicanang sebagai bekas pemain Benfica dan Sheffield Wednesday pada hari beliau menandatangani kontrak bersama skuad Tok Gajah, ramai yang skeptikal akan kemampuan beliau.

Bertubuh kecil, saiz badan Hidalgo tidak jauh bezanya dengan pemain-pemain tempatan yang lain. Malah Dollah Salleh dan skuad Tok Gajah sebelum ini lebih dikenali dengan pemain import berbadan sasa seperti Dickson Nwakaeme atau pun Lazarus Kaimbi.

Jika deretan pemain dari Amerika Latin yang pernah mencipta nama di Stadium Darulmakmur mahu dijadikan perbandingan, maka nama-nama seperti Matheus Alves, Yamil Romero, atau Matias Conti akan diperkatakan – dan tidak ada di antara mereka memiliki susuk tubuh kecil seperti Hidalgo.

Tidak banyak yang boleh diperkatakan mengenai karier awal pemain ini. Merupakan pemain berdarah campuran Argentina-Itali, Hidalgo memulakan karier bola sepak beliau seawal usia 15 tahun di kelab tempatan di tengah bandar Buenos Aires, Ferro Carril Oeste.

Kelab ini mungkin asing bagi peminat bola sepak tempatan. Ferro Carril Oeste adalah kelab yang sama di mana bekas Ketua Jurulatih JDT, Mario Gomez beraksi suatu ketika dahulu. Di situlah juga karier awal Mario Gomez bermula selepas bersara sebagai pemain.

Terbang ke eropah

Selepas bersama Ferro Carril Oeste, Hidalgo kemudiannya terbang ke eropah dan terlebih dahulu menyertai Tottenham Hotspur selama beberapa minggu untuk latihan sebelum menandatangani kontrak bersma Benfica ketika berusia 16 tahun pada Disember 2015.

Dibebaskan oleh Benfica selepas itu, Hidalgo pantas disambar kelab divisyen ketiga Itali, Triestina dan diberikan kontrak sehingga 2021. Di situlah bakat beliau kembali menyerlah. Tampil dalam 30 perlawanan untuk kelab yang terletak di barat laut Itali itu, prestasi Hdalgo mendapat perhatian kelab Championship, Sheffield Wednesday yang berada di bawah kendalian Gary Monk.

Monk, berusia 42 tahun dan sudah berpengelaman mengendalikan pasukan Premier League seperti Swansea, Leeds United, Middlesbrough, dan Birmingham sebelum menyertai Sheffield Wednesday.

Di Hillsborough, falsafah bola sepak Monk ialah untuk membina The Owls dengan bakat pemain muda. Pemain terlebih dahulu perlu membuktikan keupayaan mereka bersama skuad Bawah-23 sebelum dipromosikan ke dalam pasukan utama. Dan pemain seperti Hidalgo memiliki ciri-ciri pemain yang dikehendaki oleh Monk dan Sheffield Wednesday. Akhirnya, perpindahan Hidalgo ke Hillsborough menjadi kenyataan pada jendela perpindahan Januari 2020.

Corak permainan 

Tidak sukar untuk mengesan kelibat pemain ini di dalam padang. Tangkas, skil, dan penuh dengan tipu helah dengan gerakannya, pemain berusia 22 tahun ini pantas disamakan dengan seorang lagi pemain berdarah Argentina-Itali, Fernando Forestieri selepas menyertai Sheffield Wednesday.

Beraksi di posisi sama di sebelah sayap, perpindahan Hidalgo ke Sheffield dipermudahkan kerana beliau berkongsi ejen yang sama dengan Forestieri iaitu Lucas Cominelli daripada agensi 7ORO SPORTS.

Merupakan seorang pemain yang memiliki kepantasan dan kemampuan teknikal yang baik, Hidalgo membantu mana-mana pasukan dengan kreativiti. Corak permainan beliau lebih direct dan gerakannya agresif ketika bersama bola.

Hidalgo juga adalah seorang pemain yang versatile kerana kemampuan menggunakan kedua-dua belah kaki membenarkan beliau beraksi di posisi sayap kanan dan kiri, atau di bahagian tengah. Selesa dengan bola di kaki, Hidalgo juga adalah seorang pemain perancang dengan visi yang tajam, dan berkemampuan melakukan lorongan memecah barisan pertahanan lawan.

Anda boleh melabel beliau sebagai seorang trequartista – sekiranya Dollah Salleh memilih untuk fleksibel dengan pemain ini.

Jika berada di posisi sayap, beliau gemar untuk melakukan larian ke dalam kotak penalti. Ada masanya beliau seperti tidak mempunyai posisi tertentu di dalam padang. Jika dibenarkan bebas di bahagian serangan, Hadilgo juga cenderung seperti seorang No.10 mengeksploitasi ruangan di antara barisan pertahanan sebelum menghasilkan peluang buat rakan sepasukan lain menjaringkam gol.

Maradona berikan kesedaran

Pandemik yang melanda tidak memihak kepada karier Hidalgo di England. Hanya dengan beberapa aksi sejak berhijrah pada Januari, bola sepak di negara tersebut dan serata eropah diberhentikan pada Mac. Ia mungkin menganggu perkembangan pemain ini di sana, dan Hidalgo tidak pernah lagi beraksi lagi selepas itu.

Hidalgo kemudiannya memohon agar kontrak beliau dibatalkan untuk membenarkan beliau kembali ke Argentina. Legenda bola sepak dunia, Diego Maradona dilaporkan sebagai punca.

Melalui satu perkongsian di Instagram beliau menulis: “Selepas lima tahun di Eropah dan menetap di tiga negara berbeza, diikuti kematian Diego Armando Maradona, ia membuatka saya sedar kini adalah masa untuk menghentikan bola sepak dan kembali kepada perkara terpenting di dalam kehidupan iaitu keluarga dan sahabat handai.

“Dengan itu saya mengumumkan kontrak saya bersama Sheffield Wednesday ditamatkan enam bulan lebih awal. Saya mahu mengucapkan selamat maju jaya kepada pihak kelab kerana memahami situasi, begitu juga dangan pemain-pemain dan individu di dalam kelab, yang saya mampu ucapkan terima kasih kerana menyokong dan memahami saya berhijrah bukan disebabkan perkara berkaitan ekonomi [mengejar wang] tetapi dari hati.”

Kejutkan ramai sertai Sri Pahang FC

Selepas enam bulan tanpa sebarang kelab, akhirnya Hidalgo memilih untuk kembali beraksi tetapi jauh dari eropah untuk menyarung jersi Sri Pahang FC sekaligus mewarnai saingan Liga Super Malaysia.

Satu perlawanan sahaja, sudah cukup untuk membuatkan penyokong Tok Gajah rasa teruja. Dan menurut Hidalgo, ini bukan prestasi terbaik beliau kerana belum cergas sepenuhnya setelah berehat lama sebelum itu.

“Saya belum cergas lagi, saya boleh merasainya dalam badan tetapi saya harap selepas satu perlawanan dan ketika liga berehat 1-2 bulan nanti saya akan kembali cergas sepenuhnya dan membantu pasukan menjadi lebih baik,” jelasnya.

Tiada siapa yang mengetahui sebab sebenar pemain ini memilih untuk beraksi di Malaysia selepas mendapat perhatian dari kelab seperti Sheffield Wednesday. Sekurang-kurangnya saingan domestik di Argentina sendiri adalah lebih kompetitif berbanding di Malaysia.

“Ketika di England, saya teringin nak tahu tentang Malaysia dan ejen saya beritahu makanan di sini sangat bagus, keadaan cuaca juga bagus. Saya benar-benar gembira dapat berada disini.

“Dia beritahu segalanya tentang Malaysia. Saya beritahunya saya hanya mahu bermain serta terus bermain bersama Pahang dan saya sangat gembira,” tambahnya lagi apabila bercakap mengenai negara ini.

Fasih di dalam lima bahasa, kami yakin Hidalgo tidak mempunyai masalah berkomunikasi lantas menyesuaikan diri dengan pasukan baharunya.

Rumusan

Adakah Hidalgo datang beraksi di negara ini disebabkan oleh pilihan makanan di negara kita yang menarik? Atau hanya semata-mata kerana cuaca di negara kita?

Tiada siapa tahu bagaimana hati beliau boleh tergerak untuk beraksi di sini. Pedulikan semua itu. Apa yang penting kini ialah untuk Hidalgo menampilkan aksi memukau saban minggu bersama Sri Pahang. Hal-hal lain, kita tolak tepi dan sembang lain hari.

Welcone al Manu de la Liga de Malasia!

 

 

Baca artikel lain mengenai Manuel Hidalgo:

Liga Super: Manuel Hidalgo Arkitek Sri Pahang Nafikan Kebangkitan Selangor

‘Tiada Kaitan’ – CEO Sri Pahang Nafi Manuel Hidalgo Diperkenal Oleh Kiko Insa

Sumber:

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN