Manuel Hidalgo Jadi Antara Penjaring Terpantas Liga Malaysia Sepanjang Zaman

Nama Manuel Hidalgo terus meniti bibir peminat skuad Tok Gajah pada musim ini. Walaupun hanya tampil dalam tiga perlawanan sejak tiba di Liga Super Malaysia pada jendela perpindahan kedua, Hidalgo dianggap telah berjaya membuktikan kualiti dirinya kepada pengurusan Sri Pahang dan penyokong bola sepak tempatan.

Hidalgo cemerlang dalam perlawanan debutnya menentang Selangor di Stadium Darul Makmur awal Mei lalu. Dalam perlawanan tesebut, Hidalgo menjaringkan satu gol sebelum sepakan percuma beliau pada minit akhir perlawanan membenarkan rakan sepasukan, Abdul Malik menanduk masuk bola untuk menyamakan kedudukan untuk Sri Pahang berkongsi mata dengan pelawat.

Hidalgo terus cemerlang selepas itu apabila kemudian beliau juga bermain dengan baik untuk membantu pasukannya menang 3-2 ke atas Perak di tempat lawan.

Dan apabila Liga Malaysia kembali selepas tempoh rehat yang panjang, Hidalgo tidak mengambil masa yang lama apabila hanya memerlukan 40 saat untuk meletakkan dirinya selaku penjaring ketika membantu Sri Pahang FC mengikat Melaka United 1-1 pada hujung minggu lalu.

Jaringan tersebut merupakan antara jaringan terpantas yang pernah dihasilkan dalam saingan Liga Malaysia – menurut rekod yang disimpan oleh kami.

Di manakah jaringan Hidalgo pada minggu lalu di kalangan gol terpantas pernah dihasilkan di Liga Malaysia?

6. Syahmi Safari (40 saat)

Berkongsi kedudukan dengan Hidalgo adalah Syahmi Safaari yang turut pernah menghasilkan gol sepantas 40 saat. Bek kanan pasukan Selangor itu hanya berusia 19 tahun ketika menghasilkan jaringan tersebut dalam perlawanan menentang PKNS FC.

Menjadikan ianya lebih menarik, ia adalah jaringan pertama Syahmi untuk skuad senior Selangor pada musim 2017 itu. Bagaimanapun Selangor tewas 5-3 kepada PKNS FC dalam perlawanan tersebut, walaupun mendahului pada awal perlawanan.

5. Matías Conti (34 saat)

Matias Conti

Selain Hidalgo, seorang lagi bekas penyerang import Pahang turut berada di dalam senarai ini. Conti yang telah menjaringkan sejumlah 40 gol untuk Pahang sepanjang musim 2013-2015 menjaringan gol hanya selepas 34 saat.

Gol dari situasi kelam kabut di hadapan gawang itu terhasil ketika Pahang menentang PKNS FC dalam saingan suku akhir pertama Piala Malaysia 2013.

4. Andik Vermansyah (33 saat)

Andik Vermansyah menceriakan penyokong Selangor apabila berjaya menjaringkan gol seawal 33 saat ketika Selangor menentang JDT dalam aksi Liga Super 2015.

Berpunca daripada sepakan percuma Azmi Muslim yang gagal dikeluarkan dengan baik oleh pertahanan JDT, Andik memanfaatkan situasi kelam-kabut itu untuk melepaskan rembatan ke arah bucu bawah sebelah kanan gol.

3. Juan Muriel Orlando (16 saat)

Pemain import Johor FA pada musim 2012 dan 2013 ini mencipta nama apabila bukan sahaja menjaringkan gol cantik. Malah gol tersebut merupakan gol kedua terpantas dalam rekod liga Malaysia. Sekali lagi PKNS FC menjadi mangsa gol terpantas di dalam senarai ini.

Tenang menerima hantaran lintang rakan sepasukan, Orlando melakukan satu pusingan badan mengelirukan sebelum melepaskan rembatan voli. Semuanya dilakukan ketika perlawanan baru berusia 16 saat.

2. Ahmad Fakri Saarani (12 saat)

Ahmad Fakri Saarani mempunyai daya penarik beliau tersendiri dalam mewarnai kancah saingan Liga Malaysia. Beliau amat dikenali dengan kata-kata beliau, “Bola kalau tak nak masuk, tak masuk juga. Kita buatlah macam mana pun.” yang dipetik dari satu temubual di TV3.

Ahmad Fakri Saarani mengejutkan peminat bola sepak tempatan apabila menjaringkan gol seawal 12 saat Ketika saingan Liga Super 2015 antara Kelantan menentang Terengganu. Ia adalah rekod gol terpantas pernah dijaringkan dalam rekod Liga Super sehingga ke hari ini.

1. Pengiran Bala (8 saat)

Rekod gol terpantas dalam sejarah Piala Malaysia mungkin menjadi milik pemain Sarawak era lewat 80-an, Pengiran Bala.

Semasa kempen Piala Malaysia 1989 antara Sarawak dengan Pahang, Pengiran Bala berjaya menjaringkan gol seawal 8 saat!

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply