Manchester United Waspada Ancaman Norwich City – Solskjaer

Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer berkata skuad kendaliannya mampu mengatasi Norwich City di tempat lawan pada Ahad ini, tetapi mereka perlu memberikan yang terbaik untuk beroleh keputusan tersebut.

United kini hanya tiga mata di depan Norwich City yang berada di kedudukan kedua terbawah Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas sembilan perlawanan.

Norwich City musim ini telah menewaskan Manchester City di Carrow Road dan Solskjaer menjangkakan perlawanan sengit akan berlangsung hujung minggu ini.

“Saya harap kami mampu menyekat mereka kerana ianya sentiasa sukar apabila beraksi di Carrow Road,” kata Solskjaer kepada Sky Sports.

“Apabila saya menonton perlawanan pertama mereka [dalam EPL] menentang Liverpool, saya melihat sebuah pasukan yang penuh dengan semangat. Mereka sangat berani dan terus bermain dengan cara mereka sendiri sehingga kini.

“Itu memberikan keputusan yang baik kepada mereka dalam beberapa perlawanan. Mereka menewaskan Newcastle dan kemudian Manchester City. Mereka merupakan pasukan yang mempunyai falsafah yang jelas.

“Kami sudah bersedia untuknya sekarang. Kami baru pulang dari Belgrade dan sekarang beberapa pemain sudah kembali. Saya sudah boleh memilih Aaron Wan-Bissaka dan Anthony Martial setelah mereka berehat lama sebelum ini.

“Jadi diharapkan kami mempunyai skuad yang cergas kerana kami perlu memberikan persembahan terbaik apabila peluang telah tiba.”

Dalam dua perlawanan terakhir menentang Liverpool dan Partizan Belgrade, pengendali warga Norway itu menggunakan formasi lima pertahanan.

Pengendali berusia 46 tahun tersebut menjelaskan perkara itu pada awalnya tiada dalam perancangan beliau untuk musim ini, namun beliau terpaksa melakukan sedikit perubahan sistem memandangkan keadaan semasa telah berubah.

“Beberapa siri kecederaan meletakkan kami dalam situasi di mana prestasi dan persembahan tidak seperti yang diharapkan,” ujar Solskjaer.

“Kami ada deretan pemain pertahanan tengah yang cergas dan berkualiti dan ianya nampak berkesan untuk meletakkan tiga pertahanan tengah ketika berdepan Liverpool dan sekali lagi pada Khamis [menentang Partizan].

“Jesse Lingard bole bermain di bahagian tengah dan kami memiliki beberapa pemain yang sudah biasa bermain dengan formasi tersebut. Contohnya Sergio Romero dan Marcos Rojo beraksi [bersama Argentina] di perlawanan akhir Piala Dunia dengan formasi bek bertiga.

“Begitu juga dengan Phil Jones dan Harry Maguire yang bermain sistem tersebut bersama England di separuh akhir Piala Dunia. Kecederaan ramai pemain memaksa kami bermain dengan sistem baru tetapi ia nampak berkesan setakat ini.”

Anthony Martial memulakan perlawanan buat kali pertama sejak Ogos pada Khamis lalu. Beliau menjaringkan gol menerusi penalti dalam kemenangan United ke atas Partizan Belgrade di Liga Europa.

Paul Pogba, Luke Shaw, Diogo Dalot, Nemanja Matic dan Axel Tuanzebe pula masih dalam senarai kecederaan dan dijangka tidak akan bermain pada perlawanan hujung minggu ini.

“Kami berusaha keras untuk memastikan mereka segera pulih dan berharap kami akan dapat menggunakan khidmat mereka tidak lama lagi. Saya tidak boleh letakkan tarikh yang tepat, tetapi saya percaya sedikit masa sahaja lagi.”

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khasย untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN