Manchester United Tidak Perlu Tunggu Sehingga 30 Tahun Untuk Juarai EPL – Solskjaer

Iklan

Ole Gunnar Solskjaer seolah-olah menyindir Liverpool apabila berkata Manchester United tidak memerlukan tempoh 30 tahun untuk menjuarai satu lagi kejuaraan.

Kali terakhir Liverpool bergelar juara Inggeris ialah pada 1990 ketika di bawah kendalian Kenny Danglish.

Sejak itu Manchester United menjuarai kejuaraan liga sebanyak 13 kali – memintas seteru mereka itu dengan 20 kali kejuaraan secara keseluruhan – dua kali lebih kerap berbanding Liverpool.

Malam ini Liverpool akan bertandang ke Old Trafford dengan kelebihan lima mata berbanding Manchester City di persada liga.

United sebaliknya bergelut di tangga ke-14 selepas hanya berjaya mengumpul sembilan mata dari lapan perlawanan pertama musim ini.

Bercakap kepada The Telegraph yang disiarkan di Sky Sports, Solskjaer dipetik sebagai berkata:

“Saya amat yakin kelab ini mampu untuk kembali bangkit dan menjuarai gelaran liga.

“Dan saya sangat yakin kelab ini tidak memerlukan sehingga 30 tahun untuk memastikan gelaran Liga Perdana Inggeris yang seterusnya.”

Manchester United kini sudah ketinggalan 15 mata di belakang skuad kendalian Jurgen Klopp, dan yakin kemenangan ke atas juara eropah pada musim lalu itu boleh dijadikan batu loncatan untuk memperbaiki kedudukan pada musim ini.

“Persembahan dan keputusan yang baik boleh membantu kami untuk mengubah nasib pada musim ini,” tambah beliau.

“Ia mampu mengubah keyakinan pemain, mood mereka, dan persepsi pemain mengenai diri mereka.

“Mungkin adakala mereka tidak yakin bahawa mereka cukup bagus.

“Ketika anda beraksi dengan kurang keyakinan, anda akan berfikir dua kali untuk melakukan sesuatu berpandu kepada naluri.

“Tetapi saya tahu kelompok pemain ini cukup bagus – saya tidak risaukan perkara [kualiti] itu.”

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram