Manchester United Pun Berminat Dengan Messi, Cuba ‘Sailang’ Perpindahan Ke PSG

Messi Manchester United

Manchester United dilaporkan akan mengambil tindakan mengejutkan untuk mendapatkan Lionel Messi selepas pemenang enam kali anugerah Ballon d’Or meninggalkan Barcelona apabila kontraknya telah tamat.

Walaupun pemain berusia 34 tahun itu telah bersetuju dengan pengurangan gaji sehingga 50 peratus bagi melanjutkan lagi khidmatnya di pasukan tersebut selepas 21 tahun, namun ia terhalang dengan keadaan kewangan kelab yang begitu meruncing.

Penjaring gol terbanyak dalam sejarah The Blaugrana itu kini merupakan pemain ejen bebas dan dikatakan semakin hampir untuk membuka lembaran baharu dalam kariernya bersama Paris Saint-Germain (PSG).

Walaupun perpindahan tersebut masih belum dimuktamadkan secara rasmi, namun beberapa media termasuk pakar perpindahan Fabrizio Romano telah mengemas kini status terkini yang melihatkan segala proses sedang berjalan lancar.

Seorang wartawan sukan, Duncan Castles menerusi The Daily Star mendedahkan United turut menjadi pasukan yang cuba untuk ‘mencuri’ pemain ini dari PSG pada saat-saat akhir dengan menawarkan kontrak.

“Agak menarik bagi Manchester United untuk membicarakan tentang  stategi dan perancangan mereka dalam aktiviti perpindahan ini,” ujar Castles.

“Mereka cekap dalam mengambil peluang untuk mendapat dua pemain penting di posisi yang mereka amat memerlukan. Adakah mereka boleh buat sesuatu untuk Messi?”

Jadi tidak hairan mengapa PSG sedang berusaha sedaya upaya untuk segera menyelesaikan urusan bagi mendapatkan tandatangan Messi kerana pastinya bukan hanya Manchester United yang mahu mengambil peluang.

Pasukan-pasukan Eropah lain juga pastinya mahu mendapatkan pemain terbaik dunia itu secara percuma.

Dalam ucapan perpisahannya di Barcelona tempoh hari, Messi mengakui perpindahan ke PSG adalah ‘satu kemungkinan’. Sehingga semalam, Messi dilihat masih berada di rumahnya di Barcelona bersama keluarga.

Apa yang mengejutkan, semalam penyokong PSG telah pun berkumpul di stadium Parc des Princes bagi menyambut kehadiran Messi.

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply