Quantcast

BERITA

Manchester United Akan ‘Main Sampai Mati’ Demi Ole – De Gea

Penjaga gol Manchester United, David de Gea berkata beliau dan rakan sepasukan yang lain bertekad untuk ‘main sampai mati’ demi pengurus pasukan, Ole Gunnar Solskjaer.

Pengendali dari Norway itu semakin tertekan selepas United hanya menang dua dari enam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) setakat ini. Pasukan itu juga tampak bergelut ketika menewaskan Rochdale di pusingan ketiga Piala Carabao pada pertengahan minggu.

“Perkara paling penting ialah untuk semua pihak berada di belakang beliau,” ujar Degea kepada DAZN ketika ditanya mengenai Solskjaer.

“Kami [pemain] semua berada di belakang beliau. Kami akan berjuang sampai mati untuk beliau. Beliau adalah jurulatih yang bagus, dan kami akan sentiasa bersama beliau sehingga ke akhir.”

Solskjaer tiba di Old Trafford menggantikan Jose Mourinho sebagai pengurus interim pada Disember lalu, dan United mengumpul 25 mata dari sembilan perlawanan pertama EPL.

Bekas penyerang itu kemudiannya ditawarkan dengan kontrak tetap pada Mac, namun kisah United mulai berubah pada ketika itu. De Gea bagaimanapun masih yakin Solskjaer adalah jurulatih tepat untuk mengendalikan Manchester United.

“Anda semua boleh melihat ketika beliau baru tiba di sini, kami menang 10 atau 12 perlawanan.

“Beliau mengambil alih [Manchester United] pada waktu yang amat sukar. Beliau adalah sebahagian daripada keluarga [United] di sini, ianya sudah sebegitu sejak bertahun sebelum itu. Beliau amat mengenali semua orang yang bekerja di sini.,” tambah De Gea.

De Gea menyertai Manchester United pada 2011 dari Atletico Madrid, dan baru sahaja menandatangani kontrak baharu bersama Red Devils untuk menamatkan segala spekulasi perpindahan.

“Ini adalah kelab yang istimewa, ia adalah kelab terbesar di England, dan ia adalah satu kebanggaan untuk terus berada di kelab ini.

“Saya amat gembira. Saya sudah lama di sini dan sangat gembira. Ia adalah sebuah kelab yang istimewa dengan penyokong yang luar biasa.

“Kami melalui beberapa musim yang sukar tetapi itulah sebab untuk kami terus berada di sini, iaitu untuk terus membantu. Saya harap kami mampu mencapai kejayaan besar pada tahun-tahun mendatang.”