Manchester United Akan Bayar Balik Pas Bermusim Jika Liga Ditamatkan Atau Bermain Tanpa Penyokong

Manchester United akan menawarkan kepada penyokong mereka sama ada wang tunai secara pro-rata atau rebat untuk tiket bermusim pada musim akan datang sekiranya Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini dibatalkan atau pasukan terpaksa bermain tanpa penyokong berikutan isu pandemik coronavirus (COVID-19).

Penularan wabak tersebut telah menyebabkan acara sukan di seluruh dunia terpaksa dihentikan. EPL setakat ini telah digantung sekurang-kurangnya sehingga 30 April.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak kelab, United juga memaklumkan mereka telah menggantung semua pembaharuan tiket bermusim sehingga 1 Mei kerana kelab tersebut belum mendapat kepastian bilakah tarikh sebenar musim depan akan bermula.

“Kami tahu penyokong setia kami tidak mahu terlepas sebarang perlawanan pada bulan-bulan akan datang, tetapi apa yang pasti kita semua perlu memainkan peranan masing-masing untuk memerangi wabak coronavirus ini,” kata pengarah urusan kelab, Richard Arnold.

“Kami perlu menangguhkan pembaharuan tiket bermusim ke tarikh yang akan dimaklumkan kelak kerana baki saingan musim ini mungkin akan berlangsung di stadium tanpa kehadiran penyokong. Kami harap para penyokong tidak terlalu bimbang dengan keadaan ini.”

Tambah Arnold lagi, semua tiket bermusim itu masih boleh digunakan sekiranya ‘keajaiban’ berlaku jika musim ini boleh bersambung seperti biasa dengan kehadiran penyokong.

Manchester United memperuntukkan 53,000 pas bermusim dan lebih daripada 100,000 penyokong berada dalam senarai menunggu walaupun harganya bermula £532 (RM2,858) dan boleh mencecah sehingga £950 (RM5,092).

Bagaimanapun ianya jauh lebih murah berbanding empat kelab lain yang berpangkalan di London iaitu Tottenham Hotspur (£795 – £1,995), Arsenal (£891 – £1,768), Chelsea (£595 – £1,250) dan West Ham United (£320 – £1,200).

Baca juga artikel kami yang lain mengenai Manchester United:

Bacaan Seterusnya Bulan Ini

Leave a Reply