Manchester City vs FFP

Ramai pengamal media telah menerima edaran dokumen yang bersaiz lebih 3 terabytes oleh Der Spiegel ataupun Football Leaks berkaitan Gianni Infantino, Manchester City dan PSG.

Der Spiegel merupakan satu laman yang membongkar (whistleblower) salah laku dalam bola sepak.

Der Spiegel adalah penyebab pemain seperti Messi dan Ronaldo terpaksa mengakui di mahkamah kerana salah laku cukai sebelum ini. Mereka juga membuatkan ramai ejen bola sepak di Eropah ditangkap kerana salah laku.

Dalam pembongkaran Der Spiegel ke atas Man City, mereka mendedahkan bagaimana bekas Setiausaha Agung Uefa – Gianni Infatino terlibat dalam salah laku berkaitan dengan Financial Fair Play (FFP).

FFP untuk kawal perbelanjaan kelab

Uefa merupakan badan yang memperkenal Financial Fair Play 2010 – untuk mengawal perbelanjaan dan sumber dana kelab di Eropah. Ia juga akan memberikan lebih keadilan kepada semua kelab agar tidak menerima dana yang terlalu besar daripada sumber tidak sepatutnya.

Financial Fair Play, 11 Perkara Asas Yang Anda Perlu Tahu

Kelab-kelab diminta untuk menjana pendapatan sendiri daripada penajaan, menyertai kejohanan seperti UCL & UEL untuk hadiah kewangan dan juga kutipan hari perlawanan.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Presiden La Liga – Javier Tebas – pula berterusan menegaskan bahawa Uefa pilih kasih dalam prosedur FFP.

Kenapa kelab kecil – seperti di Rusia, Romania dan Turki – mudah dihukum apabila defisit lebih daripada yang ditetapkan. Tetapi Manchester City dan PSG masih tidah dihukum?

Selepas anda membaca kenyataan ini lebih ke bawah lagi, anda mungkin membuat rumusan bahawa Javier Tebas antara orang yang menerima dokumen daripada Der Spiegel ini.

Infantino selamatkan Manchester City dan PSG

Agak ironi apabila Gianni Infantino dijulang sebagai wira menyelamatkan FIFA – dengan menggantikan Sepp Blatter yang ‘kantoi’ terlibat dalam banyak isu rasuah – termasuk melibatkan pemberian hak penganjuran Piala Dunia dan juga undian dalam kejohanan besar.

Laporan oleh Der Spiegel kini menuduh Presiden FIFA – Gianni Infatino sebagai orang yang telah menyalah guna kuasa – mengganggu dan campur tangan ataupun mencabuli siasatan badan bebas yang berkaitan FFP – ketika beliau menjadi setiausaha agung Uefa.

Siasatan dan audit oleh FFP dilakukan oleh Club Financial Control Body (CFCB) yang dilantik oleh Uefa. Football Leaks mendedahkan dokumen yang berkaitan dengan salah laku Infantino seperti berikut:

  • Pilih kasih dalam menjatuhkan hukuman – guna dasar siapa kawan dan kelab besar diberikan ‘budi bicara’
  • Mengganggu siasatan oleh badan bebas CFCB
  • Menetapkan hadiah projek $25 juta sebagai trofi kemenangan – sedangkan Presiden FIFA dilarang terlibat dalam perkara yang berkaitan urusan seperti ini
  • Meletakkan tekanan tambahan secara dalaman (kepada pihak penganjur) yang menyerupai ugutan agar wang dibayar terlebih dahulu kepada kelab-kelab tertentu – untuk menyelamatkan kelab tertentu daripada salah laku FFP kerana defisit.
  • Tidak menerima kritikan dan memecat sesiapa sahaja yang tidak bersetuju dengan keputusannya.
Manchester City dan PSG terus kebal?

Der Spiegel dan gabungan pengamal media sukan Eropah iaitu European Investigation Collaborations (EIC) – telah bergabung dalam melancarkan siasatan khas ke atas Gianni Infatino – ketika menjadi Setiausaha Agung Uefa.

Laporan itu menuduh Infatino telah melindungi 2 kelab iaitu Manchester City dan PSG. Der Spiegel menyatakan, anda tak perlu menjadi pakar audit untuk melihat salah laku kelab ini dalam FFP. Hanya dengan cara mereka berbelanja – anda sudah tahu mereka berlebihan dalam berbelanja melebihi pendapatan setahun.

Pembelian Neymar dan Mbappe sahaja sudah menelan kos sekitar €400 juta. Jadi bagaimana PSG boleh menepati piawaian FFP?

Beribu-ribu dokumen diedarkan oleh Football Leak bagi mendedahkan salah laku berikut:

  • Manchester City dan PSG melanggar FFP secara sistematik sejak bertahun-tahun lamanya
  • Infantino – ketika menjadi Setiausaha Uefa – akur dengan tekanan dari Abu Dhabi dan Qatar – dan beliau membenarkan 2 kelab ini beroperasi seperti biasa walaupun melanggar syarat FFP
  • Uefa mengenakan hukuman ringan kepada 2 kelab – manakala kelab kecil yang lain dilarang untuk menyertai UCL dan UEL atas kesalahan serupa
  • Infantino yang sepatutnya bersikap neutral telah mengadakan pertemuan rahsia dengan bos-bos Manchester City dan PSG untuk ‘penyelesaian belakang’. Infantino menafikannya tetapi Der Spiegel melaporkan mereka ada bukti.
  • Infantino memasukkan informasi tak betul ke dalam persatuan (Uefa) untuk memastikan 2 kelab tersebut ‘bersih’ daripada salah laku.
  • Menggunakan ‘penyelesaian belakang’ yang dipanggil budi bicara untuk kesalahan mandatori – sedangkan Infantino sepatutnya tidak boleh sama sekali berbuat begitu.
  • Uefa secara sistematik membelakangkan prosedur mereka sendiri dalam prosedur FFP
Infantino mencabuli audit CFCB

Manchester City dimiliki oleh Sheikh Mansour bin Zayed Al Nahyan sejak 2010. Manakala PSG pula dimiliki oleh Qatar Sports Investments yang mendapat sokongan dana daripaa Emir Qatar – Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani.

Ketika Uefa melancarkan siasatan ke atas 2 kelab ini – Manchester City dan PSG didapati menerima dana yang tidak sepatutnya. Ianya dikaburi dengan dimasukkan sebagai duit tajaan. Anda bayangkan, Jabatan Perlancongan Qatar memberikan tajaan bernilai €700 juta sehingga €1.125 billion kepada mereka dalam masa kira-kira 5 tahun – seperti yang terkandung di dalam kontrak.

Der Spiegel melaporkan siasatan oleh CFCB mendapati jumlah tajaan daripada Tourism Qatar hanyalah sekitar €3 juta – €5 juta setahun. Ianya kira-kira 40-60 kali ganda lebih rendah daripada jumlah yang dinyatakan secara berlebihan (overstated).

Der Spiegel mengesahkan yang Manchester City menerima dana tak bersih daripada penaja dari Abu Dhabi termasuk wang kerajaan menerusi Aabar. Mereka juga menyatakan beberapa tajaan secara tak tepat dengan berlebihan.

Aabar dilaporkan menaja Man. City £15 juta semusim. Namun satu dokumen e-mel dibocorkan oleh Der Spigel menyatakan: Pada Mei 2010, Pengarah Man. City – Simon Pearce menghantar e-mel peringatan bahawa Aabar perlu membayar sekitar £3 juta seperti yang tertakluk dalam obligasi pada kontrak tajaan mereka.

Dari mana £12 juta lagi? Dalam e-mel yang sama Simon Pearce menyatakan angka itu akan ditanggung oleh Sheikh Mansour. Pearce menafikan hal ini dan memberitahu beliau tidak mahu buang masa komen akan hal yang dilabel oleh Der Spiegel sebagai kebocoran e-mel hasil daripada godaman komputer.

Manchester City owner Sheikh Mansour bin Zayed bin Sultan Al Nahyan (third from right) waves from the stands prior to kick-off (Photo by Peter Byrne/PA Images via Getty Images)

Mengikut peraturan Uefa: Sesebuah kelab itu tidak boleh defisit lebih €5 juta – kini €10 juta. Jika melanggar peraturan itu, pasukan tersebut akan dikenakan tindakan termasuk dilarang bermain dalam UCL dan UEL. Ini akan membuatkan kelab itu hilang wang yang besar daripada hak penyiaran terutama sekali UCL.

Namun begitu, pemilik ataupun pemegang sahal kelab boleh menyuntik dana sehingga €15 juta – kini dihadkan kepada €10 juta sahaja – atas sebab-sebab tertentu tanpa sesekali menyatakan secara berlebihan angka tajaan.

Mereka mendedahkan Gianni Infatino terlibat dalam memberikan perjanjian rahsia (di belakang) kepada Manchester City dan PSG sebelum beliau meninggalkan Uefa untuk menjadi Presiden FIFA.

Rundingan belakang

Infantino bertindak dengan meyalah guna kuasanya – merosakkan peraturan yang diwujudkan oleh organisasi beliau sendiri – ini apabila beliau telah berjumpa pihak Manchester City dan PSG bagi membantu kelab itu agar tak dihukum. Infantino telah mengganggu dan mencabuli sasiatan CFCB.

Sebagai contoh, PSG terus dibenarkan menerima dana €100 juta setahun daripada Qatar. Angka yang jauh lebih tinggi daripada yang ditetapkan oleh Uefa. Sebagai balasan – kelab itu setuju mengurangkan perbelanjaan pasukan dan juga angka defisit. Maklumat perjanjian ini adalah rahsia di antara PSG dan Infantino.

Pada 8 Mei 2014 – Infantino pergi ke England untuk campur tangan dalam siasatan CFCB. Beliau membantu Man. City dengan cara sama – memberikan penyelesaian belakang. Infantino bertemu dengan CEO Man. City – Ferran Soriano.

Soriano diminta oleh EIC untuk menjelaskan isu itu. Beliau sehingga ke hari ini tidak berminat memberikan komen.

Infantino juga enggan memberikan komen akan hal ini. Dan agak mengejutkan apabila The Black Sea melaporkan ada pegawai FIFA yang membantu Infantino dalam memberikan kenyataan mewakilinya. Pegawai itu berkata:

“FFP diwujudkan untuk meningkatkan standard pengurusan kewangan kelab-kelab di Uefa. Sekaligus untuk mengurangkan beban hutang mereka dan membantu kelab beroperasi dengan sumber kewangan mereka sendiri. Ini akan mewujudkan pegurusan kelab yang stabil dan berdaya saing.”

Manchester City bukanlah kelab seperti Barcelona, Real Madrid mahupun Manchester United yang menjana keuntungan hasil tajaan sehigga €500-€650 juta setahun. Tetapi mereka berbelanja dengan sangat besar dalam pasaran perpindahan pemain. Kesannya CFCB melaporkan Man. City berhadapan defisit €233 juta.

MANCHESTER, ENGLAND – NOVEMBER 04: Raheem Sterling of Manchester City celebrates with teammates after scoring his team’s fifth goal during the Premier League match between Manchester City and Southampton FC at Etihad Stadium on November 4, 2018 in Manchester, United Kingdom. (Photo by Clive Brunskill/Getty Images)

Jadi kenapa mereka masih tak digantung daripada pertandingan Uefa? Dan sebelum ini hanya dikenakan denda ringan.

Lantas Der Spiegel mempersoalkan kenapa perlu ada peraturan berbeza diamalkan untuk setiap kelab? Adakah kerana Uefa takut kehilangan publisiti daripada pasukan besar ini termasuk nama-nama pemain besar seperti Aguero, De Bruyne dan Neymar?

Sebagai rekod sejak 2012, audit oleh CFCB membuatkan beberapa kelab digantung kerana defisit. 8 kelab Romania; Targu Mures, Dinamo Bucharest, CFR CLUJ, FC Astra Giurgiu, Botosani, Rapid Bucharest, FC Petrolul Ploiesti dan CS Pandurii Targu Jiu – 5 kelab Turki; Bursaspor, Trabzonspor, Karabükspor Beşiktaş dan Fenerbahce – kesemua mereka gagal menepati piawaian FFP dan dikenakan penggantungan daripada kejohanan UCL dan UEL.

Kelab-kelab tersebut juga hilang wang hadiah daripada Uefa serta dilarang untuk membeli pemain pada jendela perpindahan. Uefa mengarahkan mereka menjual pemain mereka sehingga angka tertentu dicapai dalam akaun mereka.

Oleh itu pada pra-musim 2019/20, PSG dilaporkan perlu menjual pemain bintang mereka termasuk Kylian Mbappe untuk memastikan mereka mengimbangi defisit mereka. Tetapi buat masa ini Uefa masih menyatakan kelab ini dalam siasatan susulan. Itupun selepas ditekan oleh beberapa kelab serta La Liga menerusi Javier Tebas.

Tetapi itu tak berlaku, PSG malah terus membeli pemain walaupun tidak seagresif sebelum ini.

Infatino dan Manchester City pula menuduh tuduhan Der Spiegel sebagai tak berasas.

Komplot FFP: Manchester City Dan Infantino Anggap Tuduhan Football Leaks Tak Berasas

Menurut Infantino, sudah menjadi tugasan beliau untuk berunding dengan mana-mana pasukan ketika menggalas jawatan itu dahulu.

Oleh kerana tekanan daripada pengamal media hasil daripada laporan Der Spiegel, UEFA kemudiannya mengumumkan mereka akan menyiasat semula Manchester City dan PSG.

UEFA Arahkan Audit Susulan Akaun PSG Untuk Financial Fair Play

PSG pula telah naik ke mahkamah CAS meminta arahan kehakiman kepada UEFA agar menghentikan siasatan semula ke atas mereka. Ini kerana PSG merasakan mereka sudah bersih dan disahkan sendiri oleh UEFA sebelum ini.

PSG Membuat Rayuan Kepada CAS Untuk Hentikan Siasatan Semula FFP

UEFA buka semula siasatan

UEFA menegaskan sekali lagi bahawa Manchester City tidak akan terlepas daripada hukuman penggantungan daripada UCL sekiranya mereka melanggar Financial Fairp Play (FFP).

Namun Pep Guardiola menyatakan pasukan mereka bersih dan tidak terkesan dengan tuduhan yang dilabel beliau sebagai berniat jahat. Manchester City tidak terganggu dengan isu itu dan masih berada dalam persaingan kejuaraan EPL, UCL serta kempen domestik yang lain.

Siasatan terbaru ke atas Man. City dibuka sekali lagi selepas desakan daripada banyak pihak. Kenyataan yang sama diulangi oleh Yes Leterme – ketua Club Financial Control Body (CFCB) – badan yang bertanggungjawab dalam menyiasat

Leterme berkata: “Jika benarlah seperti yang dilaporkan, ianya adalah masalah serius. Ini boleh membawa kepada hukuman berat; digantung daripada pertandingan Uefa, jika informasi yang diberikan itu tepat. Namun laporan tersebut juga mungkin bercanggah dengan laporan sebenar.”

“Peraturan FFP adalah berasaskan sistem deklarasi, 3 bulan selepas kelab menutup akaun, mereka harus menyatakan jumlah pendapatan mereka. Selepas itu kami akan melakukan pemeriksaan untuk memastikan angka yang diberikan adalah tepat. Akaun setiap pasukan akan dinilai secara dalaman dan luaran.”

Keputusan siasatan itu akhirnya didedahkan pada Februari 2020. Dan UEFA mendapati Manchester City bersalah kerana melanggar peraturan FFP.

Manchester City digantung 2 tahun daripada sebarang pertandingan UEFA. Dan yang paling terkesan pastinya digantung daripada UCL. Larangan yang sama yang dikenakan ke atas AC Milan, namun untuk setahun.

Seterusnya Manchester City didenda €30 juta oleh UEFA.

Manchester City menganggap hasil siasatan UEFA sebagai prejudis kerana segala proses adalah dilakukan oleh UEFA dan bukannya badan bebas.

Mereka akan memfailkan rayuan di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN